Ads: (Please Click!)

Sunday, April 04, 2010

Si Gadis Kecil : Nasihat Mu (Bahagian 3)



Sewaktu di alam sekolah menengah, waktu kelas-kelas terakhir biasanya aku selalu ponteng. Biasanya tempat lepak adalah samada di perpustakaan ataupun di kantin. Kelas aku berada di tingkat tiga blok A. Oleh kerana blok bangunan A berhampiran dengan kantin, aku jarang ponteng ke kantin. Selain daripada dua tempat tersebut, aku akan beranikan diri untuk terus ke motosikal dan keluar dari sekolah.

Klik sini untuk meneruskan bacaan..

Suatu hari, aku keluar dari kelas. Aku ponteng kelas Kimia. Kebetulan kelas Kimia dilangsungkan di makmal yang terletak di tingkat bawah blok B. Blok B itu pula hanya mempunyai 2 tingkat. Maka, aku mengambil kesempatan itu untuk ke kantin. Kawan-kawan aku yang lain mula bergerak ke makmal apabila Mr Foo mula mengarah. Aku antara orang yang terakhir keluar ke kelas. Aku tidak terus ke makmal, sebaliknya melencong ke kantin keseorangan.

Di kantin bilangan pelajar tidak ramai. Hanya ada beberapa kumpulan kecil pelajar sesi petang di suatu sudut. Cikgu pula jarang berada di kantin. Aku membeli sedikit kuih muih. Aku mengambil tempat duduk yang tersorok sedikit. Kerusi panjang itu sengaja diletakkan di sebalik dinding kantin oleh kawan-kawan aku. Setiap masa perhimpunan berlangsung, di situlah kami 'lari' dari perhimpunan. Itu pun jika ada 'spot-check'. Tetapi, amat jarang kami terlepas. Biasanya cikgu atau ketua pengawas sudah tahu taktik kami. 'Spot-check' mengejut akan dilakukan. Aku jarang tertangkap atau kantoi ketika 'spot-check'. Alasannya, aku berkawan rapat dengan ketua pengawas. Maka senanglah aku meloloskan diri ketika tersangkut semasa 'spot-check' rambut panjang, kasut kotor, tidak memakai stokin, dan sebagainya.

Aku mengunyah perlahan karipap inti kentang kegemaranku. Aku amat gemar karipap pada waktu hidangan tengahari. Ini adalah kerana ia baru dimasak. Panas dan rangup. Intinya pula agak pedas dan manis. Di tepi peha, aku sandarkan air sirap yang dibungkus di dalam plastik. Sedang aku senang menatap kuih yang dibeli, aku terdengar suara perempuan sedang berbual sayup-sayup mendekati. Mereka melintas di belakang dinding tanpa menyedari aku di situ. Mereka meletakkan beg dan masih lagi berbual. Aku tidak endah seraya terus saja mengunyah perlahan karipap yang masih berbaki.

"Eh, awak. Buat apa kat sini?"

Aku hampir tersedak. Aku menelan dengan mengejut karipap yang aku kunyah tadi. Hampir tercekik, aku meneguk sedikit air sirap. Aku memandang kelibat perempuan tadi dengan mata yang terbeliak. Aku menahan sakit di kerongkong sebenarnya.

"Haaaaaa.. ponteng yeeeeee!" kata perempuan itu sambil menunding-nunding jari ke arah aku. Tangan kirinya mencekak pinggang. Aku meletakkan jari telunjuk di atas bibirku.

"Sssyyhhhhh..! Diam la kau!" jerit aku separa berbisik.

"Heh! Takde muka lain kat sini. Kau, kau, kau! Report kat cikgu kang baru padan muka," katanya, mengugut. Aku melempar bungkusan sirap ke dalam semak. Aku terus berlari anak merapati perempuan itu. Tangan kiriku masih memegang bungkusan kuih yang dibeli tadi.

"Oi, Aida. Kau diam boleh tak? Kang aku.. eii eiii..!" kataku sambil jari kananku membuat gaya untuk mencubit betul-betul hampir dengan hidungnya. Aida cepat-cepat menutup hidungnya.

"Heh! Camne la A** tu suka kat kau ek? Nasib baik dia tak nampak. Kalau tak, aku suruh dia tak suka kat kau!" ugut Aida. Aku mengajuk bebelannya itu dengan muka yang dibuat-buat. Aida menampar-nampar bahuku bila aku mengajuknya. Aku menunjuk penumbuk padanya.

"Suka hati akulah. Yang dia suka kat aku tu kenapa?" kataku. Aku kembali duduk di atas kerusi panjang. Aida duduk di sebelahku. Aku kembali makan kuih. Karipap tadi yang tinggal separuh sudah jatuh ke tanah akibat terkejut sebentar tadi. Aida merenung aku makan.

"Kau ni la lelaki yang pelik pernah aku jumpa," kata Aida. Aku menoleh. Mulutku tidak berhenti mengunyah.

"Orang dah suka kat kau. Kau terima je la. Nak kata A** tu hodoh, takde la hodoh. Nak kata A** tu nakal, takde la pulak. Kau tak suka kat dia sebab dia kementot ke ape?" soal Aida. Aku masih menyantap kuihku. Aku buat-buat tidak dengar apa yang keluar dari mulut Aida. Tiba-tiba aku rasakan sakit di bahu sebelah kiri. Aida menumbukku.

"Kau ni jangan ganggu aku boleh tak?" kataku sambil menjegilkan mata sebesarnya. Aida memuncungkan mulutnya. Dia terus beredar dari situ sambil mulutnya membebel-bebel. Aku menulikan telinga.

"Huh, budak-budak apa tahu tentang cinta!" jerit aku, perli.

Aku habiskan kuihku. Masa masih panjang. Waktu kelas Kimia tentunya memakan masa yang lama. Maka, lama jugalah masa yang perlu aku ambil untuk duduk di situ. Aku menyandar pada dinding kantin. Perut sudah kenyang. Mata pula rasa berat. Ah, kalu tidur bimbang terlajak. Nanti kantoi, bisikku.

"Hai, awak! Assalamualaikum!"

Sapaan itu membuatkan aku terkejut. Aku bingkas bangun dan mengurutkan dada. Jantung aku berdegup kencang. Kepala berasa berdenyut-denyut. Aku lihat dua orang perempuan berdiri di hadapanku. Salah seorangnya ketawa.

"Errr.. maaf. Buat awak terkejut pulak," kata Si Gadis Kecil sambil tersengih. Dia menoleh beberapa kali ke arah Aida yang berdiri di sebelahnya. Aida hanya tersenyum sinis. Dia memeluk tubuhnya.

"Heh! Padan muka dia. Ni la akibatnya selalu ponteng. Biar dia dapat sakit jantung!" kata Aida menakut-nakutkan aku. Dia kembali ketawa terbahak-bahak. Si Gadis Kecil memandang aku dengan wajah yang bersalah. Aku melambaikan tangan menandakan aku tidak ada apa-apa. Si Gadis Kecil duduk di sebelahku. Aida pula pergi sambil menjelirkan lidah ke arah aku. Peluh yang memercik di dahi aku lap dengan belakang tanganku.

"Fuuuhhh! berderau darah saya," kataku seraya tersengih. Si Gadis Kecil ketawa kecil, malu-malu.

"Awak ponteng ke?" soal Si Gadis Kecil.

"Errr.. taklah! Mana ada! Saja.. duduk sini ambil-ambil angin sepoi-sepoi bahasa," kataku, sengaja menipu.

"Elehhh.. Aida yang cakap. Dia bagitahu kat saya, awak selalu ponteng kat sini. Jadi saya datang jenguk awak kat sini," kata Si Gadis Kecil sambil menggoyangkan kepalanya beberapa kali. Dia mengenyitkan mata kepadaku. Aku memandang ke arah lain sambil menyeringai.

"Aida tu memang! Tak habis-habis cari fasal dengan saya," kataku.

Tiba-tiba aku rasakan lenganku dipegang. Aku memandang ke lenganku. Terasa sentuhan yang amat lembut. Jari tangan yang memegang lenganku terasa kecil. Halus. Terdapat jam tangan Mickey Mouse terlilit di pergelangan tangan itu. Aku memandang muka Si Gadis Kecil.

"Awak. Lepas ni jangan ponteng lagi tau. Tak elok lah," kata Si Gadis Kecil lembut. Jelas manis ukiran senyum diwajahnya. Aku tergamam. Sebaik sedar, aku menarik lenganku dari pegangan Si Gadis Kecil.

"Yelah. Saya tau. Tak payahlah awak nak nasihatkan saya," kataku.

"Kalau awak tahu, kenapa ponteng? Awak kan dari kelas yang pandai."

"Pandai? Haha. Pandai la sangat."

"Yelah. Kelas sains, kelas budak-budak pandai, kan?"

"Hei! Tak semua budak pandai tu takde masalah disiplin tau?"

"Awak.. tak eloklah. Awak dah ada rekod disiplin yang lepas-lepas. Awak tak takut nama awak buruk di sekolah?" soal Si Gadis Kecil. Dia berdiri menghadapku. Dia mengerutkan mukanya. Wajahnya seolah-olah penuh kerisauan dan prihatin.

"Biarkan! Buat apa nak takut?" kataku bongkak. Egoku masih menebal di dalam jiwa.

"Kesian kat mak ayah awak hantar awak ke sekolah tau," kata Si Gadis Kecil. Aku tersentak dan terdiam. Terhiris rasanya hati aku. Kata-kata Si Gadis Kecil membuatkan lidah aku kelu seribu bahasa. Tanpa mempedulikan nasihatnya, aku bingkas bangkit dan terus beredar dari situ meninggalkan Si Gadis Kecil di belakang.

"Awak! Nanti dulu!" panggil Si Gadis Kecil. Dengan keegoan yang masih kuat berkubu didada, aku teruskan berjalan juga. Perasaan amarah tiba-tiba membuak di dalam hati. Hampir di simpang jalan memasuki kawasan blok A, aku berhenti melangkah seraya menoleh ke belakang. Aku lihat Si Gadis Kecil dan Aida berdiri memandang aku dari jauh. Walaupun agak berjarak, jelas sayu dan kecewa terpancar di wajah Si Gadis Kecil.

* * * * * * * * * *

"Awak.. saya tak berniat nak hinakan ibu dan ayah awak. Saya minta maaf."

Aku melipat kembali kertas kecil yang ada ditanganku. Aku terus memasukkan semula ke dalam sampulnya. Rakanku Wadi yang duduk di sebelah hanya diam sambil matanya memandang ke arahku. Dia mengangkat kepalanya beberapa kali.

"Tiada apa-apa," jawabku ringkas.

"Awek ek?" soal Wadi.

"Taklah. Kawan."

"Kawan konon. Siap berutus-utus surat ni. Sakan ek?"

Wadi ketawa kecil. Aku hanya terdiam. Aku memandang ke luar tingkap. Aku mengalih pandangan ke arah padang sekolah. Pembelajaran hari itu sedikit pun tidak melekat di dalam otak. Hanya termenung. Wajah Si Gadis Kecil seolah-olah tergambar di depan mata.

Baca bahagian yang seterusnya. KLIK SINI!

PERHATIAN! Aktiviti PLAGIAT (copy & paste) sesuatu artikel tanpa pengetahuan dan kebenaran penulis adalah satu aktiviti/perbuatan yang TIDAK BERMORAL!

Ads: (Please Click!)
Comments
5 Comments


5 Orang Kentut Madu:

C++ said... [Reply]

Pergh... cintan cintun tue... hahaha

dayah said... [Reply]

cinta munyet sume nya indah ke. . latip tgh angau dekat si gadis kecil sbb tu xleh study

Aduka said... [Reply]

x angau lah.. kenang2kan aje..
=)

amry said... [Reply]

SALAM BRO..LAMA AKU BERTAPA KAT BLOG KO NI BACA ENTRY KO NI.AKU DAPAT TAHU DARI BLOG MISMERA.FIRST AKU BACA ENTRY KE 2, PAS TU KE TIGA, LAST AKU BACA YANG PERTAMA....

HM...RUGI KO BRO, BAIK SI GADIS KECIL TU.....

Aduka said... [Reply]

@amry
kenapa baca terbalik? hehe..
nak buat camne.. jual mahal sgt.. for the lesson, jgn jual mahal lepas ni.. =P

Post a Comment

Ruang komen telah di-set sebagai 'dofollow'. Sila tinggalkan URL blog anda dengan cara yang bijak. Baca DI SINI untuk mempelajari SEO mengenai 'dofollow' link.

Kepada ANONYMOUS, sila tinggalkan link dengan cara yang bermoral sedikit.

Terima kasih kerana sudi membaca artikel ini dan menurunkan komen anda.

 

Blog Aduka Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger