Ads: (Please Click!)

Sunday, January 30, 2011

Si Gadis Kecil : Mengharap (Bahagian Akhir)


Pagi itu adalah seperti pagi hari-hari kebiasaannya. Cuacanya agak redup dan berbalam-balam. Dihidupkan lagi dengan kicauan rancak burung-burung di pohonan pokok yang ada di sekitar kawasan perkampungan tersebut. Sungguh indah dan syahdu.

Klik sini untuk meneruskan bacaan..

Lelaki itu menarik nafas dalam-dalam menghirup udara pagi yang segar sambil memejamkan matanya. Terasa nikmatnya menghirup udara segar menerobosi rongga hidung. Berbeza benar udara di kampung berbanding udara di bandar, bisik hati kecilnya. Badannya masih berbogel, hanya berkain pelikat. Dingin pagi terasa menusuk-nusuk kulit badannya sehingga terasa hingga ke tulang hitam. Lelaki itu lantas memeluk tubuhnya. Dirinya mula terasa liat untuk mandi menghilangkan bau busuknya.

Dia menuruni tangga dan terus duduk di salah satu anak tangga rumahnya. Dia melihat nun jauh di seberang jalan bangunan sekolah yang tersergam indah. Sudah bertahun sekolah itu tersergam di situ. Lelaki itu merasakan itulah sekolah yang cantik dari pandangan matanya. Seakan bangunan kolej mahupun bangunan rasmi kerajaan. Di sudut kanan sekolah itu terdapat sebuah kantin. Dan terbentang padang sekolah dengan rumput-rampai yang menghijau. Pokok kemuncup tumbuh meliar. Pokok-pokok pain yang berderet di tepi-tepi padang amat menyejukkan mata pandang lelaki itu. Waktu itu, sudah kelihatan puluhan kelibat budak-budak sekolah berlari ke sana ke mari.

"PJK dah start agaknya," fikir lelaki itu.

Pandangannya di alihkan ke arah satu gelanggang ada berhampiran dengan kantin. Diamati seorang gadis sunti yang terloncat-loncat. Di tangannya memegang sesuatu yang bulat. Di lontarkan benda itu ke salah seorang teman. Kedengaran jerit-jeritan keseronokan kumpulan gadis-gadis diselarikan dengan hilai tawa. Lelaki itu tersenyum melihat keletah gadis-gadis itu merebut benda bulat tersebut.

Tidak semena-mena lelaki itu terkenangkan peristiwa lalu. Peristiwa bertahun-tahun yang sudah. Pengamatannya pada gadis sunti berpakaian hitam itu tadi mengusik hati lelakinya. Puas dia cuba ingin memadamkan peristiwa itu sebelum ini. Yang dirasakan amat pahit untuk dikenang. Namun, telatah gadis berbaju hitam tadi seakan-akan memaksa lelaki itu untuk mengenang kembali sejarah lama. Sejarah yang tidak akan dilupakannya.




Lelaki itu berjalan menyelusuri koridor itu. Sayup-sayup kedengaran suara dan lagu berselang seli, rancak. Bingit-bingit bising itu agaknya kedengaran lebih 1 kilometer. Hari itu adalah hari tiada kelas. Dia terasa begitu bosan duduk di kelas tanpa membuat apa-apa. Sudahlah keseorangan, teman pula tiada. Hendak ke perpustakaan, tutup pula. Hendak ke kantin, kelibat yang ditakutinya pula ada. Dia gusar. Lantas, dia ke arah suara dan lagu yang bingit tadi.

"Tu la kau. Orang suruh join, kau tak nak," tegur salah seorang rakan sekelasnya, awal tengahari tadi. "Aktif la sikit. Badan cergas. Rekod sekolah pun molek. Cemerlang. Nanti masuk universiti senang."

Dia hanya diam seribu bahasa. Dia tidak langsung berpaling ke arah rakannya itu. Sebaliknya pandangan dilontarkan ke luar menerusi tingkap bangunan tingkat dua itu. Memandang ke arah yang lebih selesa dimatanya. Rumput-rampai yang menghijau, pohonan pokok, kelibat orang, jentera yang keluar masuk, dan sebagainya. Baginya itu lebih selesa dari merenung memandang perhiasan suasana di dalam kelas yang dirasakan agak jelek dan menjengkelkan.

"Aku tak minat," ringkas dijawabnya.

"Suka hati kaulah. Ni.. jom ikut aku. Kau tengok dari jauh pun okey. Sekurang-kurangnya, bagilah support kat aku. Boleh?" soal rakannya lagi.

"Yelah. Kau pergi dulu. Kejap lagi aku turun."

"Turun tau. Aku nak buat rekod larian 100 meter hari ni. Harap layaklah untuk MSSD nanti."

Dia tidak segera menjawab. Hanya mengangguk laju. Dia masih seperti tadi.

"Ada-ada saja Wady ni. Ah, sekurang-kurangnya aku tidaklah bosan sangat duduk di dalam kelas," gumamnya seorang.

Di sepanjang koridor, hanya dia seorang. Dialah salah seorang antara puluhan pelajar yang lain yang sangat kurang aktif di dalam aktiviti kesukanan sekolah. Kelab pun begitu juga. Dia pernah mencuba dahulu, iaitu sukan lompat jauh. Badannya yang tinggi dan kurus menjadi kelebihan di dalam sukan itu. Bukan itu sahaja malah lontar peluru, lompat tinggi, balapan, dan sebagainya. Semua sudah dicubanya. Namun pada sesi kelayakan pertengahan tahun dahulu, dia telah gagal. Justeru, dia rasakan seolah-olah tidak layak untuk itu. Sejak itu dia telah hilang minat untuk mengambil bahagian.

Sedang dia berjalan menuju ke arah padang sekolah, tiba-tiba bahunya dicuit. Dia menoleh ke belakang.

"Hai, awak. Nak ke mana ni? Seorang saja?"

Teguran yang bersuara halus dan lembut itu membuatkan dia tersenyum dan tergagap-gagap. Rupa-rupanya dia diekori oleh seseorang. Si gadis kecil!

"Errr.. aaa.. saya nak ke padang. Nak tengok kawan buat larian 100 meter. Errr.. awak.. awak buat apa kat sini?"

Kelibat si gadis kecil di hadapannya itu hanya tersenyum. Raut wajahnya bersih dan manis. Matanya yang munggil berkedip beberapa kali. Tenungannya tulus terus ke kaca mata lelaki itu. Kelihatan pula lesung pipit terukir di kedua-dua belah pipinya. Cantik lagi berseri-seri.

"Sokong kawan, ya? Saya juga mahu ke padang ni. Bolehlah kita jalan sama-sama, ya?"

"Errr.. ya.. b.. bo.. boleh!" balas lelaki itu gagap sambil mengangguk laju.

Kelibat manis itu tersenyum.

"Awak tak masuk sukan ke?" soalnya.

"Tak."

"Kenapa?"

"Malaslah. Tak suka."

"Kelab?"

"Ada. Tapi jarang hadir."

Pandangannya di alihkan ke arah badan si gadis kecil di hadapannya. Dia perhatikan terdapat logo terpalit di baju bahagian dada. Ya, dia amat mengenali logo tersebut.

"Wow!" kata lelaki itu.

Si gadis kecil memandang ke arah lelaki itu sambil mengerutkan muka.

"Hei! Awak tengok apa tu?" tempik si gadis kecil lantas menutup dadanya dengan lengan.

"Eh, awak! Ja.. jangan salah faham. Maksud saya.. tu! Logo tu! Kat baju awak tu!" balas lelaki tadi, gelabah.

"Awak ahli kelab bola jaring, ya?" sambungnya lagi.

Si gadis kecil berhenti berjalan. Kemudian dia tiba-tiba ketawa.

"Saya ingatkan awak pandang kat ‘tempat’ lain tadi."

Melihat si gadis kecil ketawa, lelaki itu juga turut ketawa.

"Awak ni. Mudah sungguh salah sangka dengan saya," kata lelaki itu.

"Em, ya! Saya ahli kelab bola jaring," kata si gadis kecil sambil menunjuk-nunjukkan logo yang terpalit di bajunya. Mereka berjalan kembali dengan perlahan menuju ke padang sekolah.

"Hebatlah awak. Wakil sekolah!"

Si gadis kecil hanya tersipu-sipu malu menerima pujian dari lelaki itu.




"Laju Wady!!! Lajuuuuuuu..!!! Lari laju lagiii wooooiiii..!!!" tempik lelaki itu. Disertai oleh puluhan lagi penyokong-penyokong di situ yang rata-rata tergolong daripada pelajar, ibubapa dan pelawat luar. Bingit-bingit jeritan sokongan manusia memecahkan suasana di padang itu. Berselang seli dengan muzik dan bunyi letupan di suatu sudut padang yang lain bagi acara sukan yang lain.

Kelihatan Wady, rakan sekelasnya berlari bersungguh-sungguh menuju ke garisan penamat. Badan yang tinggi tegap, dan langkah kaki yang kejab seakan menjadi bonus kepada Wady. Wady cuba mengejar pesaingnya yang berada di depan bagi acara 100 meter tersebut.

"Wooooiii..!!! Lajulah sikiiittt!!! Macam pondan laaaa kau lariiii..!!!" jerit lelaki itu. Teriak perli itu membuatkan beberapa penonton yang turut sama menjerit memberi sokongan, ketawa. Si gadis kecil yang berdiri di hadapannya juga turut ketawa.

"Tak baik tau awak cakap macam tu," tegur si gadis kecil sambil memalingkan muka ke arah lelaki itu.

"Tak apa. Kalau cakap begitu, dia jadi marah. Lepas tu Wady pasti menang," jawab lelaki itu.

"Kenapa plak?"

Lelaki itu ketawa.

"Sebab maruah. Dia dipersenda. Kerana malu, dia akan cuba untuk menang walau bagaimana cara sekali pun. Habis tenaga pun takpe. Itu salah satu sifat lelaki yang takde pada perempuan tau! EGO! Tengok tu!"

Lelaki itu mengacukan jari telunjuk ke arah padang. Si gadis kecil segera memalingkan muka.

"Woooooo..!!! Menaaaaaaannnnnnnnnggggggggg..!!!" tempik lelaki itu girang, sambil melompat-lompat. Si gadis kecil turut melompat girang.




"Penatlah, awak. Sakit tekak menjerit tadi," rungut lelaki itu sambil melabuhkan punggungnya di atas rumput di tepi padang. Dilunjurkan kakinya ke depan. Tangan mengurut-urut kedua-dua belah lututnya. Si gadis kecil juga duduk di sebelahnya. Juga melunjurkan kaki ke hadapan dan menongkatkan tangan ke belakang. Si gadis kecil hanya memerhati lelaki itu dengan senyuman.

"Awak nak air ke? Saya ambilkan, ya?"

Belum pun panas punggung, si gadis kecil bingkas bangkit dan terus ke khemah. Di situ dia mengambil dua gelas air sirap yang telah disediakan oleh pihak sekolah. Kemudian, si gadis kecil mendapatkan kembali lelaki tadi. Dihulurkan segelas air sirap kepadanya.

"Susahkan awak sajalah saya ni, kan? Terima kasih," ucap lelaki itu sambil ketawa kecil.

"Eh, takdelah. Biasa saja," balas si gadis kecil sambil melabuhkan punggungnya rapat di sebelah lelaki tadi. Serentak, mereka berdua meneguk air minuman di dalam gelas tersebut. Air sirap yang sejuk melegakan tekak mereka.

"Seronok, kan? Kawan sekelas awak menang tadi. Tak sangka," kata si gadis kecil.

"Ya! Nampaknya Wady bakal jadi wakil sekolah," kata lelaki itu.

"Awak. Minggu depan kerongkong awak pasti sakit lagi," kata si gadis kecil beberapa minit kemudian.

"Kenapa plak, awak?" soal lelaki itu sambil mengerutkan dahinya. Dia seolah-olah tidak mengerti maksud kata-kata si gadis kecil tadi.

Si gadis kecil memperbetul duduknya. Dia menghadap ke arah lelaki itu lalu bersimpuh. Lelaki itu hanya memerhati si gadis kecil tanpa rasa takjub.

"Hari Ahad... Ahad minggu depan.. saya ada perlawanan akhir bola jaring," kata si gadis kecil lantas tersenyum. Seolah-olah ada satu pancaran cahaya yang timbul dan lahir dari wajahnya. Berseri-seri. Dia agak teruja untuk memberitahu perkhabaran itu.

"Jadi?" soal lelaki tadi.

"Jadi.. emmm.. saya nak awak.." kata si gadis kecil tadi sambil menundukkan muka ke tanah. Tangannya menarik-narik rumput yang tumbuh sehingga terdedah akarnya. Beberapa kali dia mematah-matahkan batang rumput yang sedia lembut itu.

"Nak saya.. apa?"

"Nak awak.. bagi sokongan pada saya.. hari Ahad nanti.. boleh?" Si gadis kecil mengangkat mukanya separuh. Dia menjeling ke arah lelaki yang ada di hadapannya itu.

"Lagipun.. perlawanan tu penentu bagi saya mewakili daerah juga tau bulan depan. Kalau team saya menang, seronoklah."

"Oh, itu je ke? Haha!" Lelaki tadi ketawa.

"Perkara remeh je tu.. tapi.. kenapa saya? Kawan-kawan awak macam mana? Takkan tak bagi sokongan kot."

Si gadis kecil terdiam seketika.

"Biarlah diorang. Saya nak awak ada sama," kata si gadis kecil ringkas.

Lelaki tadi mengangguk-anggukkan kepalanya perlahan. Faham benarlah dia. Mungkin dirinya itu adalah pembakar semangat kepada si gadis kecil. Mendengar jeritan lantangnya, lagilah si gadis bakal bersungguh-sungguh untuk menang dalam perlawanannya kelak. Sepertimana dia buat pada Wady tadi sehingga berjaya menang tempat pertama. Permainan psikologi.

"Hmmm.. InsyaAllah," jawab lelaki itu ringkas.

"Janji?" soal si gadis kecil.

"InsyaAllah."

"Janjilaaahhh.."

"InsyaAllah."

"Janji!"

"InsyaAllah. Tak boleh janji. Bimbang terlupa."

"Awak! Janjilah!"

"InsyaAllah!"

"Janjiii..!"

"Yelah, yelah! Janji. Janji. Puas?"

Lelaki itu mengalah. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali. Si gadis kecil tersenyum girang. Dia menepuk-nepuk kedua belah tangannya beberapa kali lantas mengangkat ke udara. Melihat telatahnya itu membuatkan lelaki itu tersengih.

Adakah jawapan lelaki itu memberikan sinar harapan kepada si gadis kecil?




Hari itu, dia bangkit lambat dari tidur. Jam menunjukkan sudah pukul 8.45 pagi. Menggelabah lelaki itu mandi dan bersiap siaga dengan pakaian sekolahnya. Tanpa sarapan, dia terus menjemba ke arah motosikal buruknya dan terus menghidupkan enjin.

"Ah, apa pula bala kali ni?" gumamnya.

Berkali-kali ditendang penghidup enjin motosikalnya. Namun enjin motosikalnya itu seperti tidak mahu hidup pula. Dari sepuluh kali, menjadi dua puluh kali. Dari dua puluh kali, menjadi tiga puluh kali. Keringat mula membasahi dahi lelaki itu. Akibat keletihan, lelaki itu berehat seketika. Dia mendongak ke langit. Seperti bomoh peramal cuaca, dia cuba menganggar waktu yang sesuai. Sudah pukul 9.30 pagi barangkali, fikirnya.

"Mampus aku!"

Lelaki itu sudah 2 jam lewat. Bukan kerana takut lewat ke sekolah. Bukan kerana takut hadir ke kelas Matematik, subjek kegemarannya itu. Bukan kerana takut kepada pengawas yang mengawal pintu pagar sekolah. Bukan kerana takut kepada guru disiplin juga. Bukan. Semua itu bukan. Sebaliknya, di benaknya hanya terfikir tentang si dia.

"Ah, pasti A** kata kat aku macam-macam! Pasti dia ingat aku ni seorang yang mungkir janji! Pasti dia kecewa gila dengan aku! Mati aku, mati! Macam mana aku nak menjawab dengan dia nanti?!"

Jam menunjukkan tepat pukul 10 pagi. Dengan langkah yang terhincut-hincut, lelaki itu berlari-lari anak ke gelanggang bola jaring yang tidak jauh dari dewan perhimpunan. Setibanya di situ, dia agak terkejut dan hampa. Hanya kelihatan beberapa kerat pelajar lelaki dan perempuan yang bergotong royong membersihkan kawasan gelanggang dan sekitarnya. Mata lelaki itu melilau mencari si gadis kecil. Di suatu sudut, dia ternampak kelibat si Aida. Lantas lelaki itu pergi mendapatkannya.

"Aida," tegur lelaki itu kepada seorang gadis yang mencangkung membelakanginya.

"Eh, kau rupanya. Hah, kenapa? Apa hal?" balas Aida.

"Errr.. kau nampak A**, tak? Tadi dia ada tournament, kan? Dah habis ke? Mana dia?"

"Ha, yalah. Entah. Mana aku tahu dia pergi mana. Balik ke kelas kot."

Lelaki itu diam. Kecewa dan rasa bersalah menerpa dan membesar di dalam jiwanya. Dia pasti benar telah melukakan hati si gadis kecil. Dia melepaskan geram dengan menghembus nafas yang berat, sekali.

"Haaaaa.. tiba-tiba aje cari A** ni.. apa hal? Rindu ke? Haha!" usik Aida sambil ketawa terbahak-bahak. Lelaki itu tidak langsung mengendahkan kata-kata Aida. Dia berlalu pergi tanpa sebarang kata. Tindakan lelaki itu membuatkan Aida kehairanan. Dia terkebil-kebil seperti kera kena belacan.




Petang itu, dia menanti di tempat letak basikal dan motosikal. Tangan kirinya menggenggam kertas tisu dan dipekup pada siku kanannya. Keringat telah membasahi dahi dan belakang badannya. Terik benar petang itu. Dia masih tertanya-tanya ke manakah agaknya kelibat si gadis kecil. Waktu rehat sebentar tadi pun tidak nampak batang hidung. Puas dicarinya di merata tempat dalam kawasan sekolah. Dia juga memberanikan diri bertanya pada kawan-kawan sekelas si gadis kecil. Namun, dia hampa.

Saat berganti minit dan minit berganti jam. Kawasan tempat letak basikal dan motosikal mula lengang. Hanya terdapat beberapa buah sahaja basikal yang ada. Kawan-kawannya sudah lama pulang ke rumah. Hanya tinggal dia. Dia yang masih ternanti-nanti.

"Dia ni balik ikut pintu depan sekolah ke?" fikirnya.

Sedang kekecewaan mula terbit dihatinya, dia ternampak satu kelibat jauh berjalan berdua-duaan. Kenal benar dia dengan kelibat salah seorang darinya. Seorang lagi pun begitu juga. Si Aida dengan si gadis kecil berjalan menuju ke arah pintu pagar sekolah.

"A**!" jerit lelaki itu apabila dua kelibat tadi menghampir.

"Kau nak apa?" tanya Aida meninggikan suaranya.

"Aku panggil A** lah. Bukan kau."

Dia melihat si gadis kecil seolah-olah tidak mempedulikan lelaki itu. Memang sah merajuk, bisik lelaki itu dihatinya. Perasaan berbaur mula bersipongang di dalam dadanya.

"Tolonglah. Saya minta maaf!" jerit lelaki itu lagi.

Dia melihat Aida dan si gadis kecil berbisik sesuatu. Sesekali mereka berdua menjeling ke arahnya. Kemudian, si gadis kecil berjalan mendekat, meninggalkan Aida berjalan keseorangan menuju ke luar pagar sekolah. Sebaik sahaja si gadis kecil berada di depan lelaki itu, dia hanya terdiam. Si gadis kecil hanya menunduk dan sesekali pandangannya dilontarkan ke arah lain. Langsung tidak memandang ke arah wajah lelaki itu.

"Awak merajuk pada saya ke? Awak terasa?"

Diam.

"Saya minta maaf, awak. Saya bangkit tidur lambat pagi tadi. Saya.. saya minta maaf banyak-banyak. Saya sampai sekolah, terus saya ke gelanggang tadi. Tapi malangnya.. perlawanan awak baru je habis," ujar lelaki itu cuba memujuk si gadis kecil.

Si gadis kecil masih terdiam dan menunduk merenung jalan. Lelaki tadi menjadi serba salah. Syaitan-syaitan celaka berbisik perkara yang tidak baik di telinganya.

"Perlawanan tadi team mana menang?" soal lelaki itu. Si gadis kecil masih membisu.

"Haaa.. saya tahu. Team awak menang, kan? Saya dah agak! Team sekolah kita hebat! Nak pula awak ada dalam team sekolah. Pasti menang, kan?"

Lelaki tadi cuba menyelamatkan keadaan yang agak suram itu.

"Tak," jawab si gadis kecil ringkas selepas sekian lama membisu.

Lelaki itu tersentak. Dia amat tidak menyangka jawapan itu yang terpancul keluar dari mulut si gadis kecil.

"Hah?! Tak?! Maksud awak.."

"Team saya kalah! Saya dah cuba sedaya upaya tapi.. lawan kami kuat. Saya kalah, awak," kata si gadis kecil, tegas.

Ucapan si gadis kecil agak bernada hampa. Lelaki itu mula diselubungi rasa bersalah yang amat sangat. Kalaulah dia ada semasa perlawanan itu, keputusan tidak seharusnya seperti ini. Kalaulah...

"Awak.. saya.. saya minta maaf.." kata lelaki itu, sayu.

Si gadis kecil hanya terdiam. Dia memandang tepat ke arah mata lelaki itu, tidak berkedip.

"Tak apalah. Tak ada rezeki untuk saya terus ke peringkat daerah. Nak buat macam mana, kan?"

Lelaki tadi terdiam.

"Eh! Kenapa dengan tangan awak tu? Berdarah!"

Jari telunjuk kanan si gadis kecil diacu ke arah siku tangan kanan lelaki di hadapannya.

"Eh.. ini.. ini.." kata lelaki itu, gagap. Dia menyorokkan lengan kanannya ke belakang.

"Kenapa? Kenapa boleh berdarah tu? Bak sini nak tengok," pinta si gadis kecil.

Mahu atau tidak, si gadis sudah nampak. Dia cuai. Ah, terperasan pula dia.

"Darah dah kering pun. Awak tak usah risau, ya. Sikit je ni," kata lelaki itu cuba menyembunyikan sesuatu.

"Dah kering? Kenapa ni? Kenapa boleh berdarah? Besar kesan lukanya ni. Baik awak terangkan kepada saya. Kalau tak, saya takkan maafkan awak untuk hari ini!"

Lelaki tadi serba salah. Dia menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal. Dia terpaksa. Lalu diceritakan kejadian sewaktu berangkat ke sekolah pagi tadi.

"Apa?! Jatuh motor?! Macam mana awak boleh jatuh motor ni?!" soal si gadis kecil, ranjat. Matanya membulat. Jelas terpancar kebimbangan di raut wajahnya.

"Entahlah. Nak cepat punya fasal, tak perasan kat satu selekoh tu.. jalannya berpasir. Jadi.. tengah ambil selekoh leper.. saya.. saya rebah atas jalan," cerita lelaki itu sambil ketawa kecil.

Si gadis kecil menggeleng-gelengkan kepala beberapa kali.

"Sakit tak?" soal si gadis kecil.

"Haha. Eh, taklah. Tak sakit! Tapi... sedaaaaapppp..!" jawab lelaki itu lantas ketawa.

"Saya tergolek-golek atas jalan tau. Macam.. macam dalam cerita hindustan tu. Lelaki dan perempuan golek-golek jatuh dari bukit."

Si gadis tergelak besar. Lelaki itu juga turut ketawa.

"Awak ni.. dah jadi macam ni pun masih nak berlawak tau. Geram!" kata si gadis kecil lalu mencubit lengan lelaki di hadapannya.

"Aduh! Sakitlah," kata lelaki itu sambil ketawa.

"Tau pun sakit. Lain kali, bawak motor hati-hati tau. Taknak bawak laju. Taknak merempit sana sini. Tak bagus. Nanti awak sakit, tentu susah kan. Tengok ni. Habis berdarah. Patutlah Aida cakap tadi awak berjalan terhincut-hincut. Balik nanti lepas mandi, awak ke klinik tau," bebel si gadis kecil.

Lelaki itu hanya tersengih. Tahulah dia bahawa si gadis kecil amat menyayanginya. Amat mengambil berat tentang dirinya. Namun, egonya masih menebal di dalam jiwa. Perasaan itu cuba dibuang jauh-jauh. Walapun begitu, gurau sendanya tadi berjaya membuatkan si gadis kecil tersenyum.

"Saya minta maaf ya, awak?" kata lelaki itu. Dia merenung ke arah mata si gadis kecil dalam-dalam.




Satu teguran telah mematikan lamunannya. Dia segera menoleh ke belakang. Kelihatan kelibat lelaki tua berkopiah, berbaju tee, dan berkain pelikat berdiri di belakangnya. Terselit dibibir segulung rokok daun. Di celahan kopiah kelihatan jelas rambut-rambut yang memutih dan mati. Kedut seribu pula juga telah terukir pada wajah lelaki tua itu.

"Tak mandi lagi? Dah pukul berapa ni? Tak kerja ke hari ni?" soal lelaki tua tadi.

"Errr.. tak, ayah. Hari ni cuti. MC," balas lelaki itu.

"MC? Mu demam ke? Nampak sihat segar bugar je."

Lelaki itu tidak segera menjawab. Dia memperbetulkan kain pelikat yang sudah longgar. Pandangannya dialihkan kembali ke arah kelibat gadis-gadis sunti di padang sekolah di seberang jalan itu. Suara jerit teriak keseronokan mereka itu telah menghiburkan hatinya buat seketika. Biarlah tanpa irama berlagu. Hatinya basah. Jiwanya layu.

A**,

Entah kenapa saya masih rasa bersalah pada awak fasal perlawanan hari tu walaupun awak telah memaafkan saya. Tapi, kerana parut yang ada pada siku lengan kanan saya inilah yang menjadi bukti. Bukti akibat mengingkari janji. Saya menerima balasan awal sebelum awak memaafkan saya. Selagi parut ini ada pada saya, saya takkan dapat lupakan peristiwa hari itu. Jadi, saya minta maaf. Saya sebenarnya tidak mahu melukakan hati awak. Saya tahu awak ikhlas berkawan dengan saya. Saya seronok ada awak. Terima kasih sebab menjadi kawan baik saya.


Masih tergambar coretan surat yang ditulisnya dulu, berlegar-legar dibenaknya. Itulah surat balas pertama yang ditulisnya buat si gadis kecil. Namun entah kenapa langsung surat itu tidak diserahkan kepada si gadis kecil. Pendek tapi memedihkan nurani lelaki.

Dia masih termenung. Jari jemari kirinya mengusap-usap parut yang masih ada pada siku kanannya. Parutnya sudah lama. Namun peristiwa itu masih segar dalam ingatannya. Seolah-olah baru berlaku dalam beberapa bulan yang lalu.

"Oh, Tuhan. Alangkah moleknya kalau masa boleh diundurkan semula," bisik hatinya sendirian.


PERHATIAN! Aktiviti PLAGIAT (copy & paste) sesuatu artikel tanpa pengetahuan dan kebenaran penulis adalah satu aktiviti/perbuatan yang TIDAK BERMORAL!

Ads: (Please Click!)
Comments
1 Comments


1 Orang Kentut Madu:

Jihad Al-Quran said... [Reply]

Assalammualaikum.. blog yg cantik dan cool. teringin pula nk belajar buat mcmtu. bagaimana caranya untuk sy buat seperti sahabat aduka pnya page ni.. sy ingin buat di sini : http://www.facebook.com/?ref=home#!/pages/Jihad-Al-Quran/154082267940068 tapi tak tau caranye.

Post a Comment

Ruang komen telah di-set sebagai 'dofollow'. Sila tinggalkan URL blog anda dengan cara yang bijak. Baca DI SINI untuk mempelajari SEO mengenai 'dofollow' link.

Kepada ANONYMOUS, sila tinggalkan link dengan cara yang bermoral sedikit.

Terima kasih kerana sudi membaca artikel ini dan menurunkan komen anda.

 

Blog Aduka Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger