Ads: (Please Click!)
Showing posts with label Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerpen. Show all posts

Friday, June 03, 2011

Kenangan Di Hari Guru

Berdasarkan kisah benar.

Seorang budak kecil datang kepadaku sambil menghulurkan sesuatu kepadaku. Tingkahnya yang comel dan lirik senyumnya begitu mempersonakan. Terang anak mata yang memutih seakan memberitahuku bahawa perbuatannya itu lahir dari hati yang kudus dan ikhlas. Walaupun sebenarnya aku bukanlah pawang. Aku bukanlah penafsir. Yang bisa membaca pemikiran sesiapa termasuklah budak kecil yang berdiri di hadapanku kini.

READ MORE / LESS >>

Kebelakang, aku agak terkesima tatkala budak kecil itu datang kepadaku. Suasana masih gelap. Hanya ruangan bilik itu diterangi dengan lampu kalimantang. Ia memutih menerangi bilik lantas menyuluh susunan buku-buku yang menimbun di hadapanku. Satu persatu buku itu aku selak dan teliti. Sesekali kaca mataku yang menggelongsor dari batang hidung, aku perbetulkan. Tatkala itu, budak kecil itulah berdiri tidak jauh dari mejaku.

Aku memandangnya dari bawah ke atas. Dari kasutnya hingga ke rambutnya. Pakaiannya kusut dan terdapat kekotoran di sana sini. Namun, semua itu tenggelam dengan senyumannya yang comel. Tangannya ke belakang seakan menyembunyikan sesuatu.

"Eh, awalnya kamu datang ke sekolah hari ni, Iqbal?" tegurku. Pandanganku masih tidak lekang dari melihat tepat ke arah anak matanya. Budak kecil tadi tersengih.

"Saya nak datang lebih awal dari Muhaimin. Saya tak nak Muhaimin mendahului saya," jawabnya.

"Eh? Kenapa pula?"

Berlegar wajah Muhaimin di mataku. Ya. Selalunya setiap hari Muhaimin yang berbadan gemuk itulah yang paling awal hadir ke kelas. Tetapi kenapa kali ini Iqbal pula yang awal? Malah terlalu awal. Jam ditanganku pun masih menunjukkan pukul 6 pagi! Iqbal masih tersengih-sengih seperti kerang busuk. Aku masih tidak mengerti.

"Saya tak mahu Muhaimin atau orang lain mendahului saya, cikgu. Saya nak saya orang pertama dan awal datang ke sekolah," kata Iqbal.

Aku masih terkesima. Hairan. Kenapa pula? Pelik benar gelagat budak Iqbal 'ni, fikirku.

"Saya nak bagi ni sempena Hari Guru. Selamat Hari Guru, cikgu."

Kata-kata Iqbal membuat aku tersentak. Ya, benar! Aku betul-betul terlupa. Aku menarik nafas panjang seraya menggelengkan kepala beberapa kali.

Melihat tingkahku, Iqbal menghulurkan satu bungkusan yang cantik kepadaku. Sederhana besar saiznya. Aku mengambilnya seraya mengucapkan terima kasih. Rasa terharu menerjah jiwa sanubariku. Kotak itu yang dibaluti dengan kertas balutan hadiah berwarna merah putih, ku capai. Terdapat lukisan berbentuk hati di tengah-tengahnya. Besar. Aku memuji-muji hadiah yng diberi oleh Iqbal.

"Bukalah, cikgu," pinta Iqbal.

Aku hanya membalasnya dengan ukiran senyum. Aku membuka hadiah tersebut dengan perlahan. Bila habis balutan hadiah ku buka, aku terperanjat.

"Cikgu suka tak?" soal Iqbal, sambil menyeringai sengih.

Aku tidak segera menjawab. Hanya merenung ke arah hadiah yang ku pegang.

"Banyak duit kamu beli hadiah ni? Ayah kamu bagi duit?" soalku.

"Tak, cikgu. Ayah saya tak ada duit."

"Jadi, dari mana kamu dapat duit?"

Iqbal menundukkan kepala lalu ceritakannya satu persatu.

"Cikgu. Saya sayang cikgu," katanya di pengakhiran cerita.

Seperti ada seketul batu menghimpit perasaan dan emosiku, aku melurut-lurutkan dada dengan tangan. Jiwaku tersentuh dengan kata-kata budak kecil di hadapanku ini. Aku rasakan pipiku membasah. Raut wajah Iqbal yang manis memaksa aku untuk mengukir senyum sedangka di dalam hati diterjah seribu kesayuan. Terdorong dengan perasaan itu, aku memeluk budak kecil di hadapanku itu. Kusut dan bau hamis budak itu tidak lagi aku hiraukan.

* * * * * * * * * *

"Hey, Cikgu Reen! Apa yang kau tilik-tilik tu?" tegur Cikgu Adah, rakan sejawatku.

Tegurnya membuat ku tersentak. Aku melepaskan keluh dengan agak berat. Cikgu Adah kulihat masih mengangkat-angkat kepalanya.

"Hadiah ni," kataku sambil menunjukkan sebiji mug berwarna kuning kepada Cikgu Adah.

"Wah! Baju kurung?" soal Cikgu Adah.

Aku mengangguk perlahan. Cikgu Adah hanya ketawa kecil.

"Siapa yang bagi?"

"Iqbal. Murid kelas aku," kataku ringkas.

"Iqbal? Budak selekeh lagi nakal yang kau cerita tu ke? Budak kelas kau?"

Aku menganggukkan kepala.

"Eh, banyak duit dia?"

Aku terdiam. Ya, dahulunya Iqbal memang budak yang sangat nakal. Dengan didikan aku, lama kelamaan dia jadi baik. Sesekala sahaja dia nakal namun tidaklah seteruk dahulu. Iqbal memang selekeh. Pakaian sekolahnya tidak pernah dibasuh selama penggal baru sekolah dibuka.

Aku letakkan kembali baju kurung berwarna ungu dan berbunga putih kuning itu di atas mejaku. Bersama ia, terdapat beberapa lagi bungkusan-bungkusan dengan saiz yang pelbagai terdapat di atas mejaku. Itulah hadiah Hari Guru yang aku terima sedari pagi tadi daripada murid-murid kelasku. Namun hanya hadiah dari Iqbal satu-satunya hadiah yang kubuka setakat ini.

Aku memandang wajah Cikgu Adah lama. Kemudian aku menceritakan perihal Iqbal dari mula aku mengajarnya di kelasku sehingga kejadian pagi tadi. Aku lihat Cikgu Adah mula mengalirkan air mata. Disekanya perlahan dengan hujung kain lengannya. Tanpa sebarang patah kata, Cikgu Adah mengambil timbunan buku di atas mejanya lalu meminta izin untuk keluar mengajar.

Aku mencapai beg sandangku yang kuletakkan di bawah meja. Lalu aku capai diariku. Dengan perlahan aku membelek mukasurat bertarikh hari ini. Dengan bacaan basmallah, aku menulis dengan tenang.

"Aku ada seorang murid. Nama dia Iqbal. Dia budak miskin. Selama dia ke sekolah, dia tidak pernah bawa duit. Kerana kasihan, setiap hari aku bagi dia duit untuk makan. Hari ini, dia bagi aku baju kurung yang sangat cantik. Sangkaanku, mungkin hampir mencecah RM100 atau lebih. Hadiah sempena Hari Guru untukku. Aku tanya dari mana dia dapat duit? Dia cakap dia guna duit aku yang aku beri untuk membeli makanan tengahari. Ujarnya dia simpan duit yang aku kasi tiap-tiap hari tu untuk beli pembalut hadiah, baju kurung, bunga plastik, dan kotak. Dia tak guna langsung pun duit yang aku kasi tu. Sungguh murni hati budi budak itu walaupun dia miskin. Perbuatan Iqbal membuka hatiku untuk terus berjasa, mendidik, dan membentuk jati dirinya supaya cemerlang di dalam pelajaran. Ya Allah, berikanlah aku kekuatan untuk tidak menghampakan ibubapa dan Iqbal sendiri!"

Sunday, January 30, 2011

Si Gadis Kecil : Mengharap (Bahagian Akhir)

Pagi itu adalah seperti pagi hari-hari kebiasaannya. Cuacanya agak redup dan berbalam-balam. Dihidupkan lagi dengan kicauan rancak burung-burung di pohonan pokok yang ada di sekitar kawasan perkampungan tersebut. Sungguh indah dan syahdu.

Klik sini untuk meneruskan bacaan..

Lelaki itu menarik nafas dalam-dalam menghirup udara pagi yang segar sambil memejamkan matanya. Terasa nikmatnya menghirup udara segar menerobosi rongga hidung. Berbeza benar udara di kampung berbanding udara di bandar, bisik hati kecilnya. Badannya masih berbogel, hanya berkain pelikat. Dingin pagi terasa menusuk-nusuk kulit badannya sehingga terasa hingga ke tulang hitam. Lelaki itu lantas memeluk tubuhnya. Dirinya mula terasa liat untuk mandi menghilangkan bau busuknya.

Dia menuruni tangga dan terus duduk di salah satu anak tangga rumahnya. Dia melihat nun jauh di seberang jalan bangunan sekolah yang tersergam indah. Sudah bertahun sekolah itu tersergam di situ. Lelaki itu merasakan itulah sekolah yang cantik dari pandangan matanya. Seakan bangunan kolej mahupun bangunan rasmi kerajaan. Di sudut kanan sekolah itu terdapat sebuah kantin. Dan terbentang padang sekolah dengan rumput-rampai yang menghijau. Pokok kemuncup tumbuh meliar. Pokok-pokok pain yang berderet di tepi-tepi padang amat menyejukkan mata pandang lelaki itu. Waktu itu, sudah kelihatan puluhan kelibat budak-budak sekolah berlari ke sana ke mari.

"PJK dah start agaknya," fikir lelaki itu.

Pandangannya di alihkan ke arah satu gelanggang ada berhampiran dengan kantin. Diamati seorang gadis sunti yang terloncat-loncat. Di tangannya memegang sesuatu yang bulat. Di lontarkan benda itu ke salah seorang teman. Kedengaran jerit-jeritan keseronokan kumpulan gadis-gadis diselarikan dengan hilai tawa. Lelaki itu tersenyum melihat keletah gadis-gadis itu merebut benda bulat tersebut.

Tidak semena-mena lelaki itu terkenangkan peristiwa lalu. Peristiwa bertahun-tahun yang sudah. Pengamatannya pada gadis sunti berpakaian hitam itu tadi mengusik hati lelakinya. Puas dia cuba ingin memadamkan peristiwa itu sebelum ini. Yang dirasakan amat pahit untuk dikenang. Namun, telatah gadis berbaju hitam tadi seakan-akan memaksa lelaki itu untuk mengenang kembali sejarah lama. Sejarah yang tidak akan dilupakannya.




Lelaki itu berjalan menyelusuri koridor itu. Sayup-sayup kedengaran suara dan lagu berselang seli, rancak. Bingit-bingit bising itu agaknya kedengaran lebih 1 kilometer. Hari itu adalah hari tiada kelas. Dia terasa begitu bosan duduk di kelas tanpa membuat apa-apa. Sudahlah keseorangan, teman pula tiada. Hendak ke perpustakaan, tutup pula. Hendak ke kantin, kelibat yang ditakutinya pula ada. Dia gusar. Lantas, dia ke arah suara dan lagu yang bingit tadi.

"Tu la kau. Orang suruh join, kau tak nak," tegur salah seorang rakan sekelasnya, awal tengahari tadi. "Aktif la sikit. Badan cergas. Rekod sekolah pun molek. Cemerlang. Nanti masuk universiti senang."

Dia hanya diam seribu bahasa. Dia tidak langsung berpaling ke arah rakannya itu. Sebaliknya pandangan dilontarkan ke luar menerusi tingkap bangunan tingkat dua itu. Memandang ke arah yang lebih selesa dimatanya. Rumput-rampai yang menghijau, pohonan pokok, kelibat orang, jentera yang keluar masuk, dan sebagainya. Baginya itu lebih selesa dari merenung memandang perhiasan suasana di dalam kelas yang dirasakan agak jelek dan menjengkelkan.

"Aku tak minat," ringkas dijawabnya.

"Suka hati kaulah. Ni.. jom ikut aku. Kau tengok dari jauh pun okey. Sekurang-kurangnya, bagilah support kat aku. Boleh?" soal rakannya lagi.

"Yelah. Kau pergi dulu. Kejap lagi aku turun."

"Turun tau. Aku nak buat rekod larian 100 meter hari ni. Harap layaklah untuk MSSD nanti."

Dia tidak segera menjawab. Hanya mengangguk laju. Dia masih seperti tadi.

"Ada-ada saja Wady ni. Ah, sekurang-kurangnya aku tidaklah bosan sangat duduk di dalam kelas," gumamnya seorang.

Di sepanjang koridor, hanya dia seorang. Dialah salah seorang antara puluhan pelajar yang lain yang sangat kurang aktif di dalam aktiviti kesukanan sekolah. Kelab pun begitu juga. Dia pernah mencuba dahulu, iaitu sukan lompat jauh. Badannya yang tinggi dan kurus menjadi kelebihan di dalam sukan itu. Bukan itu sahaja malah lontar peluru, lompat tinggi, balapan, dan sebagainya. Semua sudah dicubanya. Namun pada sesi kelayakan pertengahan tahun dahulu, dia telah gagal. Justeru, dia rasakan seolah-olah tidak layak untuk itu. Sejak itu dia telah hilang minat untuk mengambil bahagian.

Sedang dia berjalan menuju ke arah padang sekolah, tiba-tiba bahunya dicuit. Dia menoleh ke belakang.

"Hai, awak. Nak ke mana ni? Seorang saja?"

Teguran yang bersuara halus dan lembut itu membuatkan dia tersenyum dan tergagap-gagap. Rupa-rupanya dia diekori oleh seseorang. Si gadis kecil!

"Errr.. aaa.. saya nak ke padang. Nak tengok kawan buat larian 100 meter. Errr.. awak.. awak buat apa kat sini?"

Kelibat si gadis kecil di hadapannya itu hanya tersenyum. Raut wajahnya bersih dan manis. Matanya yang munggil berkedip beberapa kali. Tenungannya tulus terus ke kaca mata lelaki itu. Kelihatan pula lesung pipit terukir di kedua-dua belah pipinya. Cantik lagi berseri-seri.

"Sokong kawan, ya? Saya juga mahu ke padang ni. Bolehlah kita jalan sama-sama, ya?"

"Errr.. ya.. b.. bo.. boleh!" balas lelaki itu gagap sambil mengangguk laju.

Kelibat manis itu tersenyum.

"Awak tak masuk sukan ke?" soalnya.

"Tak."

"Kenapa?"

"Malaslah. Tak suka."

"Kelab?"

"Ada. Tapi jarang hadir."

Pandangannya di alihkan ke arah badan si gadis kecil di hadapannya. Dia perhatikan terdapat logo terpalit di baju bahagian dada. Ya, dia amat mengenali logo tersebut.

"Wow!" kata lelaki itu.

Si gadis kecil memandang ke arah lelaki itu sambil mengerutkan muka.

"Hei! Awak tengok apa tu?" tempik si gadis kecil lantas menutup dadanya dengan lengan.

"Eh, awak! Ja.. jangan salah faham. Maksud saya.. tu! Logo tu! Kat baju awak tu!" balas lelaki tadi, gelabah.

"Awak ahli kelab bola jaring, ya?" sambungnya lagi.

Si gadis kecil berhenti berjalan. Kemudian dia tiba-tiba ketawa.

"Saya ingatkan awak pandang kat ‘tempat’ lain tadi."

Melihat si gadis kecil ketawa, lelaki itu juga turut ketawa.

"Awak ni. Mudah sungguh salah sangka dengan saya," kata lelaki itu.

"Em, ya! Saya ahli kelab bola jaring," kata si gadis kecil sambil menunjuk-nunjukkan logo yang terpalit di bajunya. Mereka berjalan kembali dengan perlahan menuju ke padang sekolah.

"Hebatlah awak. Wakil sekolah!"

Si gadis kecil hanya tersipu-sipu malu menerima pujian dari lelaki itu.




"Laju Wady!!! Lajuuuuuuu..!!! Lari laju lagiii wooooiiii..!!!" tempik lelaki itu. Disertai oleh puluhan lagi penyokong-penyokong di situ yang rata-rata tergolong daripada pelajar, ibubapa dan pelawat luar. Bingit-bingit jeritan sokongan manusia memecahkan suasana di padang itu. Berselang seli dengan muzik dan bunyi letupan di suatu sudut padang yang lain bagi acara sukan yang lain.

Kelihatan Wady, rakan sekelasnya berlari bersungguh-sungguh menuju ke garisan penamat. Badan yang tinggi tegap, dan langkah kaki yang kejab seakan menjadi bonus kepada Wady. Wady cuba mengejar pesaingnya yang berada di depan bagi acara 100 meter tersebut.

"Wooooiii..!!! Lajulah sikiiittt!!! Macam pondan laaaa kau lariiii..!!!" jerit lelaki itu. Teriak perli itu membuatkan beberapa penonton yang turut sama menjerit memberi sokongan, ketawa. Si gadis kecil yang berdiri di hadapannya juga turut ketawa.

"Tak baik tau awak cakap macam tu," tegur si gadis kecil sambil memalingkan muka ke arah lelaki itu.

"Tak apa. Kalau cakap begitu, dia jadi marah. Lepas tu Wady pasti menang," jawab lelaki itu.

"Kenapa plak?"

Lelaki itu ketawa.

"Sebab maruah. Dia dipersenda. Kerana malu, dia akan cuba untuk menang walau bagaimana cara sekali pun. Habis tenaga pun takpe. Itu salah satu sifat lelaki yang takde pada perempuan tau! EGO! Tengok tu!"

Lelaki itu mengacukan jari telunjuk ke arah padang. Si gadis kecil segera memalingkan muka.

"Woooooo..!!! Menaaaaaaannnnnnnnnggggggggg..!!!" tempik lelaki itu girang, sambil melompat-lompat. Si gadis kecil turut melompat girang.




"Penatlah, awak. Sakit tekak menjerit tadi," rungut lelaki itu sambil melabuhkan punggungnya di atas rumput di tepi padang. Dilunjurkan kakinya ke depan. Tangan mengurut-urut kedua-dua belah lututnya. Si gadis kecil juga duduk di sebelahnya. Juga melunjurkan kaki ke hadapan dan menongkatkan tangan ke belakang. Si gadis kecil hanya memerhati lelaki itu dengan senyuman.

"Awak nak air ke? Saya ambilkan, ya?"

Belum pun panas punggung, si gadis kecil bingkas bangkit dan terus ke khemah. Di situ dia mengambil dua gelas air sirap yang telah disediakan oleh pihak sekolah. Kemudian, si gadis kecil mendapatkan kembali lelaki tadi. Dihulurkan segelas air sirap kepadanya.

"Susahkan awak sajalah saya ni, kan? Terima kasih," ucap lelaki itu sambil ketawa kecil.

"Eh, takdelah. Biasa saja," balas si gadis kecil sambil melabuhkan punggungnya rapat di sebelah lelaki tadi. Serentak, mereka berdua meneguk air minuman di dalam gelas tersebut. Air sirap yang sejuk melegakan tekak mereka.

"Seronok, kan? Kawan sekelas awak menang tadi. Tak sangka," kata si gadis kecil.

"Ya! Nampaknya Wady bakal jadi wakil sekolah," kata lelaki itu.

"Awak. Minggu depan kerongkong awak pasti sakit lagi," kata si gadis kecil beberapa minit kemudian.

"Kenapa plak, awak?" soal lelaki itu sambil mengerutkan dahinya. Dia seolah-olah tidak mengerti maksud kata-kata si gadis kecil tadi.

Si gadis kecil memperbetul duduknya. Dia menghadap ke arah lelaki itu lalu bersimpuh. Lelaki itu hanya memerhati si gadis kecil tanpa rasa takjub.

"Hari Ahad... Ahad minggu depan.. saya ada perlawanan akhir bola jaring," kata si gadis kecil lantas tersenyum. Seolah-olah ada satu pancaran cahaya yang timbul dan lahir dari wajahnya. Berseri-seri. Dia agak teruja untuk memberitahu perkhabaran itu.

"Jadi?" soal lelaki tadi.

"Jadi.. emmm.. saya nak awak.." kata si gadis kecil tadi sambil menundukkan muka ke tanah. Tangannya menarik-narik rumput yang tumbuh sehingga terdedah akarnya. Beberapa kali dia mematah-matahkan batang rumput yang sedia lembut itu.

"Nak saya.. apa?"

"Nak awak.. bagi sokongan pada saya.. hari Ahad nanti.. boleh?" Si gadis kecil mengangkat mukanya separuh. Dia menjeling ke arah lelaki yang ada di hadapannya itu.

"Lagipun.. perlawanan tu penentu bagi saya mewakili daerah juga tau bulan depan. Kalau team saya menang, seronoklah."

"Oh, itu je ke? Haha!" Lelaki tadi ketawa.

"Perkara remeh je tu.. tapi.. kenapa saya? Kawan-kawan awak macam mana? Takkan tak bagi sokongan kot."

Si gadis kecil terdiam seketika.

"Biarlah diorang. Saya nak awak ada sama," kata si gadis kecil ringkas.

Lelaki tadi mengangguk-anggukkan kepalanya perlahan. Faham benarlah dia. Mungkin dirinya itu adalah pembakar semangat kepada si gadis kecil. Mendengar jeritan lantangnya, lagilah si gadis bakal bersungguh-sungguh untuk menang dalam perlawanannya kelak. Sepertimana dia buat pada Wady tadi sehingga berjaya menang tempat pertama. Permainan psikologi.

"Hmmm.. InsyaAllah," jawab lelaki itu ringkas.

"Janji?" soal si gadis kecil.

"InsyaAllah."

"Janjilaaahhh.."

"InsyaAllah."

"Janji!"

"InsyaAllah. Tak boleh janji. Bimbang terlupa."

"Awak! Janjilah!"

"InsyaAllah!"

"Janjiii..!"

"Yelah, yelah! Janji. Janji. Puas?"

Lelaki itu mengalah. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali. Si gadis kecil tersenyum girang. Dia menepuk-nepuk kedua belah tangannya beberapa kali lantas mengangkat ke udara. Melihat telatahnya itu membuatkan lelaki itu tersengih.

Adakah jawapan lelaki itu memberikan sinar harapan kepada si gadis kecil?




Hari itu, dia bangkit lambat dari tidur. Jam menunjukkan sudah pukul 8.45 pagi. Menggelabah lelaki itu mandi dan bersiap siaga dengan pakaian sekolahnya. Tanpa sarapan, dia terus menjemba ke arah motosikal buruknya dan terus menghidupkan enjin.

"Ah, apa pula bala kali ni?" gumamnya.

Berkali-kali ditendang penghidup enjin motosikalnya. Namun enjin motosikalnya itu seperti tidak mahu hidup pula. Dari sepuluh kali, menjadi dua puluh kali. Dari dua puluh kali, menjadi tiga puluh kali. Keringat mula membasahi dahi lelaki itu. Akibat keletihan, lelaki itu berehat seketika. Dia mendongak ke langit. Seperti bomoh peramal cuaca, dia cuba menganggar waktu yang sesuai. Sudah pukul 9.30 pagi barangkali, fikirnya.

"Mampus aku!"

Lelaki itu sudah 2 jam lewat. Bukan kerana takut lewat ke sekolah. Bukan kerana takut hadir ke kelas Matematik, subjek kegemarannya itu. Bukan kerana takut kepada pengawas yang mengawal pintu pagar sekolah. Bukan kerana takut kepada guru disiplin juga. Bukan. Semua itu bukan. Sebaliknya, di benaknya hanya terfikir tentang si dia.

"Ah, pasti A** kata kat aku macam-macam! Pasti dia ingat aku ni seorang yang mungkir janji! Pasti dia kecewa gila dengan aku! Mati aku, mati! Macam mana aku nak menjawab dengan dia nanti?!"

Jam menunjukkan tepat pukul 10 pagi. Dengan langkah yang terhincut-hincut, lelaki itu berlari-lari anak ke gelanggang bola jaring yang tidak jauh dari dewan perhimpunan. Setibanya di situ, dia agak terkejut dan hampa. Hanya kelihatan beberapa kerat pelajar lelaki dan perempuan yang bergotong royong membersihkan kawasan gelanggang dan sekitarnya. Mata lelaki itu melilau mencari si gadis kecil. Di suatu sudut, dia ternampak kelibat si Aida. Lantas lelaki itu pergi mendapatkannya.

"Aida," tegur lelaki itu kepada seorang gadis yang mencangkung membelakanginya.

"Eh, kau rupanya. Hah, kenapa? Apa hal?" balas Aida.

"Errr.. kau nampak A**, tak? Tadi dia ada tournament, kan? Dah habis ke? Mana dia?"

"Ha, yalah. Entah. Mana aku tahu dia pergi mana. Balik ke kelas kot."

Lelaki itu diam. Kecewa dan rasa bersalah menerpa dan membesar di dalam jiwanya. Dia pasti benar telah melukakan hati si gadis kecil. Dia melepaskan geram dengan menghembus nafas yang berat, sekali.

"Haaaaa.. tiba-tiba aje cari A** ni.. apa hal? Rindu ke? Haha!" usik Aida sambil ketawa terbahak-bahak. Lelaki itu tidak langsung mengendahkan kata-kata Aida. Dia berlalu pergi tanpa sebarang kata. Tindakan lelaki itu membuatkan Aida kehairanan. Dia terkebil-kebil seperti kera kena belacan.




Petang itu, dia menanti di tempat letak basikal dan motosikal. Tangan kirinya menggenggam kertas tisu dan dipekup pada siku kanannya. Keringat telah membasahi dahi dan belakang badannya. Terik benar petang itu. Dia masih tertanya-tanya ke manakah agaknya kelibat si gadis kecil. Waktu rehat sebentar tadi pun tidak nampak batang hidung. Puas dicarinya di merata tempat dalam kawasan sekolah. Dia juga memberanikan diri bertanya pada kawan-kawan sekelas si gadis kecil. Namun, dia hampa.

Saat berganti minit dan minit berganti jam. Kawasan tempat letak basikal dan motosikal mula lengang. Hanya terdapat beberapa buah sahaja basikal yang ada. Kawan-kawannya sudah lama pulang ke rumah. Hanya tinggal dia. Dia yang masih ternanti-nanti.

"Dia ni balik ikut pintu depan sekolah ke?" fikirnya.

Sedang kekecewaan mula terbit dihatinya, dia ternampak satu kelibat jauh berjalan berdua-duaan. Kenal benar dia dengan kelibat salah seorang darinya. Seorang lagi pun begitu juga. Si Aida dengan si gadis kecil berjalan menuju ke arah pintu pagar sekolah.

"A**!" jerit lelaki itu apabila dua kelibat tadi menghampir.

"Kau nak apa?" tanya Aida meninggikan suaranya.

"Aku panggil A** lah. Bukan kau."

Dia melihat si gadis kecil seolah-olah tidak mempedulikan lelaki itu. Memang sah merajuk, bisik lelaki itu dihatinya. Perasaan berbaur mula bersipongang di dalam dadanya.

"Tolonglah. Saya minta maaf!" jerit lelaki itu lagi.

Dia melihat Aida dan si gadis kecil berbisik sesuatu. Sesekali mereka berdua menjeling ke arahnya. Kemudian, si gadis kecil berjalan mendekat, meninggalkan Aida berjalan keseorangan menuju ke luar pagar sekolah. Sebaik sahaja si gadis kecil berada di depan lelaki itu, dia hanya terdiam. Si gadis kecil hanya menunduk dan sesekali pandangannya dilontarkan ke arah lain. Langsung tidak memandang ke arah wajah lelaki itu.

"Awak merajuk pada saya ke? Awak terasa?"

Diam.

"Saya minta maaf, awak. Saya bangkit tidur lambat pagi tadi. Saya.. saya minta maaf banyak-banyak. Saya sampai sekolah, terus saya ke gelanggang tadi. Tapi malangnya.. perlawanan awak baru je habis," ujar lelaki itu cuba memujuk si gadis kecil.

Si gadis kecil masih terdiam dan menunduk merenung jalan. Lelaki tadi menjadi serba salah. Syaitan-syaitan celaka berbisik perkara yang tidak baik di telinganya.

"Perlawanan tadi team mana menang?" soal lelaki itu. Si gadis kecil masih membisu.

"Haaa.. saya tahu. Team awak menang, kan? Saya dah agak! Team sekolah kita hebat! Nak pula awak ada dalam team sekolah. Pasti menang, kan?"

Lelaki tadi cuba menyelamatkan keadaan yang agak suram itu.

"Tak," jawab si gadis kecil ringkas selepas sekian lama membisu.

Lelaki itu tersentak. Dia amat tidak menyangka jawapan itu yang terpancul keluar dari mulut si gadis kecil.

"Hah?! Tak?! Maksud awak.."

"Team saya kalah! Saya dah cuba sedaya upaya tapi.. lawan kami kuat. Saya kalah, awak," kata si gadis kecil, tegas.

Ucapan si gadis kecil agak bernada hampa. Lelaki itu mula diselubungi rasa bersalah yang amat sangat. Kalaulah dia ada semasa perlawanan itu, keputusan tidak seharusnya seperti ini. Kalaulah...

"Awak.. saya.. saya minta maaf.." kata lelaki itu, sayu.

Si gadis kecil hanya terdiam. Dia memandang tepat ke arah mata lelaki itu, tidak berkedip.

"Tak apalah. Tak ada rezeki untuk saya terus ke peringkat daerah. Nak buat macam mana, kan?"

Lelaki tadi terdiam.

"Eh! Kenapa dengan tangan awak tu? Berdarah!"

Jari telunjuk kanan si gadis kecil diacu ke arah siku tangan kanan lelaki di hadapannya.

"Eh.. ini.. ini.." kata lelaki itu, gagap. Dia menyorokkan lengan kanannya ke belakang.

"Kenapa? Kenapa boleh berdarah tu? Bak sini nak tengok," pinta si gadis kecil.

Mahu atau tidak, si gadis sudah nampak. Dia cuai. Ah, terperasan pula dia.

"Darah dah kering pun. Awak tak usah risau, ya. Sikit je ni," kata lelaki itu cuba menyembunyikan sesuatu.

"Dah kering? Kenapa ni? Kenapa boleh berdarah? Besar kesan lukanya ni. Baik awak terangkan kepada saya. Kalau tak, saya takkan maafkan awak untuk hari ini!"

Lelaki tadi serba salah. Dia menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal. Dia terpaksa. Lalu diceritakan kejadian sewaktu berangkat ke sekolah pagi tadi.

"Apa?! Jatuh motor?! Macam mana awak boleh jatuh motor ni?!" soal si gadis kecil, ranjat. Matanya membulat. Jelas terpancar kebimbangan di raut wajahnya.

"Entahlah. Nak cepat punya fasal, tak perasan kat satu selekoh tu.. jalannya berpasir. Jadi.. tengah ambil selekoh leper.. saya.. saya rebah atas jalan," cerita lelaki itu sambil ketawa kecil.

Si gadis kecil menggeleng-gelengkan kepala beberapa kali.

"Sakit tak?" soal si gadis kecil.

"Haha. Eh, taklah. Tak sakit! Tapi... sedaaaaapppp..!" jawab lelaki itu lantas ketawa.

"Saya tergolek-golek atas jalan tau. Macam.. macam dalam cerita hindustan tu. Lelaki dan perempuan golek-golek jatuh dari bukit."

Si gadis tergelak besar. Lelaki itu juga turut ketawa.

"Awak ni.. dah jadi macam ni pun masih nak berlawak tau. Geram!" kata si gadis kecil lalu mencubit lengan lelaki di hadapannya.

"Aduh! Sakitlah," kata lelaki itu sambil ketawa.

"Tau pun sakit. Lain kali, bawak motor hati-hati tau. Taknak bawak laju. Taknak merempit sana sini. Tak bagus. Nanti awak sakit, tentu susah kan. Tengok ni. Habis berdarah. Patutlah Aida cakap tadi awak berjalan terhincut-hincut. Balik nanti lepas mandi, awak ke klinik tau," bebel si gadis kecil.

Lelaki itu hanya tersengih. Tahulah dia bahawa si gadis kecil amat menyayanginya. Amat mengambil berat tentang dirinya. Namun, egonya masih menebal di dalam jiwa. Perasaan itu cuba dibuang jauh-jauh. Walapun begitu, gurau sendanya tadi berjaya membuatkan si gadis kecil tersenyum.

"Saya minta maaf ya, awak?" kata lelaki itu. Dia merenung ke arah mata si gadis kecil dalam-dalam.




Satu teguran telah mematikan lamunannya. Dia segera menoleh ke belakang. Kelihatan kelibat lelaki tua berkopiah, berbaju tee, dan berkain pelikat berdiri di belakangnya. Terselit dibibir segulung rokok daun. Di celahan kopiah kelihatan jelas rambut-rambut yang memutih dan mati. Kedut seribu pula juga telah terukir pada wajah lelaki tua itu.

"Tak mandi lagi? Dah pukul berapa ni? Tak kerja ke hari ni?" soal lelaki tua tadi.

"Errr.. tak, ayah. Hari ni cuti. MC," balas lelaki itu.

"MC? Mu demam ke? Nampak sihat segar bugar je."

Lelaki itu tidak segera menjawab. Dia memperbetulkan kain pelikat yang sudah longgar. Pandangannya dialihkan kembali ke arah kelibat gadis-gadis sunti di padang sekolah di seberang jalan itu. Suara jerit teriak keseronokan mereka itu telah menghiburkan hatinya buat seketika. Biarlah tanpa irama berlagu. Hatinya basah. Jiwanya layu.

A**,

Entah kenapa saya masih rasa bersalah pada awak fasal perlawanan hari tu walaupun awak telah memaafkan saya. Tapi, kerana parut yang ada pada siku lengan kanan saya inilah yang menjadi bukti. Bukti akibat mengingkari janji. Saya menerima balasan awal sebelum awak memaafkan saya. Selagi parut ini ada pada saya, saya takkan dapat lupakan peristiwa hari itu. Jadi, saya minta maaf. Saya sebenarnya tidak mahu melukakan hati awak. Saya tahu awak ikhlas berkawan dengan saya. Saya seronok ada awak. Terima kasih sebab menjadi kawan baik saya.


Masih tergambar coretan surat yang ditulisnya dulu, berlegar-legar dibenaknya. Itulah surat balas pertama yang ditulisnya buat si gadis kecil. Namun entah kenapa langsung surat itu tidak diserahkan kepada si gadis kecil. Pendek tapi memedihkan nurani lelaki.

Dia masih termenung. Jari jemari kirinya mengusap-usap parut yang masih ada pada siku kanannya. Parutnya sudah lama. Namun peristiwa itu masih segar dalam ingatannya. Seolah-olah baru berlaku dalam beberapa bulan yang lalu.

"Oh, Tuhan. Alangkah moleknya kalau masa boleh diundurkan semula," bisik hatinya sendirian.

Friday, January 21, 2011

Cerpen : Kasih Sahabat

Sahabat, kawan atau rakan amat penting dalam hidup. Tanpa mereka, hidup kita tidak akan bermakna. Tidak kira usia, pangkat, atau keturunan, Islam menyeru kita untuk menjalinkan ukhuwah dan tali persaudaraan sesama manusia. Sedangkan Rasulullah kasihkan semua makhluk di muka bumi ini, masakan pula sesama manusia kita saling sombong dan bongkak? Oleh itu, ingin aku mengajak anda semua untuk ikuti kisah ini. Moga-moga ada pengajaran dan iktibar kita boleh ambil dari cerita ini. Terimalah sebuah cerpen dari aku...

Read more/less..

* * * * * * * * * *

Daaaammm!!! Daaaaaaaaammmmmmmmmmm!!!

Kedengaran dua das tembakan senapang patah menggegarkan hutan rimba itu. Suara nyaring sahut-sahutan sang cengkerik segera terhenti. Bunyi bingit tadi membuatkan semua unggas yang berkampung di dalam rimba tersebut lari bertempiaran kerana tersentak. Kelihatan burung-burung terbang meninggalkan sarangnya. Serentak dengan itu, suasana rimba yang tadinya rancak umpama pesta kini sunyi sepi.

Puteh, sang burung merpati yang berehat di dalam sarangnya turut tersentak. Lalu dia terbang meninggalkan sarangnya. Dia melilau di udara bersama kawanannya.

Semasa Puteh terbang di udara, dia terpandang beberapa susuk tubuh manusia menyelinap sambil terbongkok-bongkok di sebalik semak seolah-olah mencari sesuatu.. satu susuk tubuh manusia dewasa dan satu susuk tubuh manusia kecil. Jelas pada pandangan Puteh akan senapang yang dipegang oleh lelaki dewasa. Di tangan manusia kecil itu pula kelihatan membawa kotak kecil dan guni coklat hitam.

"Pemburu hutan!", pekik Puteh kepada kawan-kawannya.

Gegas kawanan merpati itu bertempiaran lari meninggalkan ruang udara terus ke kawasan bukit di sebelah utara rimba tersebut. Takut pemburu hutan itu mensasarkan kepada mereka. Namun Puteh tidak langsung mengekori kawanannya. Dia terpandang kepada seekor kera terbaring di bawah pohon besar. Dia kaget. Puteh terbang betul-betul di atas pohon besar tersebut. Manusia dewasa dan kecil tadi segera merapati kera tadi. Kera itu tidak bergerak. Lantas Puteh memberanikan diri untuk merapati. Dia bertenggek di atas dahan pohon yang tidak jauh dari kera itu.

Alangkah terperanjatnya Puteh melihat kera tersebut. Rupa-rupanya ia adalah ibu kera! Dia melihat anak kera merengek menangis dan menolak-nolak tubuh ibu kera seolah-olah mengejutkan ibunya dari tidur. Walhal ibu kera tersebut sudah pun tidak bernyawa lagi. Jelas kelihatan darah membuak keluar dari mulut ibu kera..Tangan ibu kera tersebut memegang perut yang sudahpun terburai. Matanya terkatup rapat. Anak kera tadi meraung sepuas hatinya.

Manusia dewasa tadi terus saja mencapai ibu kera tersebut dan terus masukkan ke dalam guni. Lalu manusia tersebut terus meninggalkan tempat tersebut. Anak kera itu menjerit. Manusia-manusia tadi langsung tidak menoleh. Mereka terus saja lenyap di dalam kegelapan hutan rimba tersebut.

Kasihan melihat rengek tangisan anak kera, Puteh terbang dan merapati anak kera tadi. Anak kera tadi berhenti menangis. Anak kera itu tersedu-sedan. Matanya yang berkaca dan berair memandang tepat ke mata Puteh.

* * * * * * * * * *

"Kau lapar, Cumu?", tanya Puteh. Cumu melompat-lompat, girang.

"Kau tunggu di sini.. nanti aku bawakan makanan untuk kau, ya," kata Puteh lantas terus terbang tinggi dan jauh meninggalkan Cumu terkebil-kebil.

Cumu duduk saja di dalam pondok kecil itu. Sementara menunggu ketibaan Puteh, dia menggaru-garukan badannya dan bergolek-golek. Dia menggosok-gosok perutnya yang sedari pagi tadi belum terisi dengan sedikit makanan pun. Dia melihat ke udara. Dia menanti dengan penuh sabar.

Beberapa ketika kemudian, Puteh berada di hadapan Cumu. Cumu bertempik kesukaan. Lebih-lebih lagi melihat di paruh Puteh terdapat sedikit cebisan makanan kegemaran Cumu, iaitu pisang. Puteh menyuap cebisan pisang itu ke mulut Cumu. Lalu kembali terbang. Beberapa minit kemudian, Puteh kembali lagi, juga dengan cebisan pisang. Begitulah selanjutnya. Berulang-ulang. Itulah rutin Puteh setiap pagi.

"Cumu.. Tergamak manusia membuat begini pada kau, ya? Sudahlah ibumu dibunuhnya. Sekarang kau pula dikurungnya. Manusia memang kejam!" rintih Puteh..

Cumu hanya mengangguk. Puteh diam. dia hanya memandang Cumu mengunyah pisang yang dibawanya tadi. Walaupun sedikit jumlahnya, Cumu tidak pernah marah atau mengeluh. Jika tidak kerana Puteh, sudah tentu dia mati kebuluran di dalam pondok kecil lagi sempit itu. Biarlah. Cukuplah sekadar mengalas perut.

"Suatu hari nanti, kau akan aku lepaskan dari genggaman manusia ini, Cumu," kata Puteh. Cumu hanya memandang mata Puteh. Walaupun dia tidak dapat berkata-kata, namun dia faham maksud dan niat Puteh.

* * * * * * * * * *

Suatu malam yang gelap gulita, angin bertiup kencang di sekitar buana. Daun-daun pohonan rimba seolah-olah melambai-lambai ditiup angin kencang. Nun jauh kelihatan petir sabung menyabung disertai guruh berdetum detam. Namun, tiada langsung titisan air halus jatuh ke muka bumi. Dicelahan bukit bukau kelihatan awan kehitaman yang menggerunkan suasana malam. aura ribut seperti taufan melanda dipinggiran rimba tersebut.

Puteh risaukan Cumu. Sudahlah keseorangan di dalam kurungan. Makan minum pun tidak terjaga. Entah bagaimana keadaannya. Datang pula ribut sebegini. Puteh terlalu risaukan Cumu.

Lantas Puteh terbang meninggalkan sarangnya. Angin yang bertiup kencang mengganggu dirinya. Dia hampir-hampir saja berputus asa memandangkan kudratnya tidak seperti keturunan burung yang hidup berhijrah. Bukan, dia bukan keturunan itu. Namun kerana Cumu, dia sanggup bergadai nyawa. Dia lebih bimbangkan anak kera kecil itu berbanding dirinya sendiri.. sepenerbangan Puteh, dia terkenang saat-saat dia pertama kali bertemu Cumu. Waktu itu Cumu masih kecil. Dia menjaga Cumu sehinggalah Cumu ditangkap oleh manusia durjana. Puteh sedih melihat Cumu dikurung tanpa memberi makan.

Setiap hari, Puteh hanya mampu menjenguk Cumu dari jauh. Dia akan bertenggek di atas dahan sepohon pokok rendang berdekatan dengan pondok yang mengurung Cumu. Awalnya, manusia tua itu memberi segala kasih sayang dan jagaan yang cukup kepada Cumu..Cumu amat bahagia kerana dilayan sebegitu rupa walaupun dirinya dikurung. Namun, disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Kegembiraannya tidak lama. Manusia tua itu tidak mempedulikan Cumu lagi. Bermulalah detik hitam bagi Cumu. Cumu dibiarkan kelaparan. Beberapa purnama lamanya dia tidak terurus dan terjaga. Tiap-tiap malam Cumu menangis kerana kelaparan.

"Cumu! Cumu!! Cumuuu!!!" pekik Puteh.

Puteh melihat Cumu berpeluk tubuh kerana kesejukan dari tiupan angin dan dingin malam. Pondok kecil itu bergegar dan bergoyang kerana tiupan angin. Cumu menjerit-jerit seolah-olah minta di selamatkan.

"Cumu! Aku tak boleh biarkan kau lagi di sini! inilah peluangnya!" pekik Puteh.

"Cumu! Aku mahu menolak pintu rumah kau ini! bila pintunya terbuka, kau cepat-cepat keluar!"

Berbantu tiupan angin yang kencang, Puteh menggunakan segala kudratnya menolak pondok kecil itu. Sekali ditolak, langsung tidak berganjak. Dua kali ditolak, begitu juga. Cumu hanya terpaku. Dia melihat kesungguhan dan usaha Puteh, lantas dia menggoncang-goncangkan pintu kecil pondok tersebut. Nah, tercabutlah kekuncinya. Sesendi pintu kecil itu membengkok dan pintu kecil itu dapat dibuka walaupun separuh.

"Cepat keluar!" teriak Puteh.

Akibat ketakutan dan cemas, Cumu lari meluru ke rimba yang gelap gulita. Tinggal Puteh keseorangan di pondok tersebut. Puteh melihat kelibat Cumu berlari memasuki perut rimba. Puteh terbang membontoti Cumu namun larian Cumu cukup pantas. Cumu terus lenyap dari penglihatan.

"Cumuuuuu!!!"

* * * * * * * * * *

Jam berganti hari. Hari berganti minggu. Dan akhirnya, sebulan sudah berlalu. Puteh rindukan Cumu. Malam itulah kali terakhir dia melihat kelibat Cumu. Puteh langsung tidak dapat melelapkan matanya. Dibenaknya selalu saja teringatkan kecomelan dan kenakalan Cumu. Dia begitu bersimpati dengan Cumu. Cumu senasib dengan dirinya. Tidak beribu mahupun berbapa. Selama beberapa purnama dia menjaga makan dan minum Cumu. Masakan dia boleh melupakan segalanya. Itu baru Puteh. Bagaimana dengan Cumu? Ah, sudah tentunya Cumu amat-amat rindukan kasih sayang Puteh. Sudah mesti! Siang dan malam Puteh hanya berada di sarangnya, mengenangkan nasib Cumu.

Tiba-tiba Puteh tersentak dari lamunan. Dia terdengar satu suara yang amat dikenalinya. Suara pekikan itu datangnya dari bawah. Dia memanjangkan lehernya. Dia menjenguk ke bawah.

"Cumu!!!" pekik Puteh. Cumu melompat-lompat kegembiraan. Tangannya terkapai-kapai memanggil Puteh. Langsung saja Puteh terbang dan hinggap ke tanah. Gembira bukan kepalang Puteh melihat Cumu.

"Cumu!!! Aku amat rindukan kau!! Ke mana kau pergi? Kenapa tinggalkan aku?!"

Cumu hanya melompat-lompat. Dia memekik-mekik. Namun pekikannya langsung tidak difahami Puteh. Jelas kelihatan di mata Cumu manik-manik jernih. Langsung manik jernih itu membasahi pipi Cumu.

"Cumu..." kata Puteh tidak menghabiskan katanya. Puteh tidak mampu menangis seperti Cumu. Dia keturunan yang berlainan sama sekali dengan Cumu. Dia tidak mampu. Namun hatinya tetap terdetik kerinduan dan kesayuan.

Lantas Cumu memeluk Puteh.

"Kau sudahpun bebas dari genggaman manusia durjana. Mulai hari ini, aku akan tetap akan jaga kau. Kau janganlah tinggalkan aku. Walaupun aku berlainan keturunan, anggaplah aku sebagai SAUDARA mu!" pujuk Puteh.

Cumu mengangguk laju. Dia mengemaskan dakapannya. Laju manik jernih membasahi pipi Cumu, namun dia cepat-cepat mengusap dengan tangannya.

"Cumu. Kita sahabat selama-lamanya..."


**********

"Cumu.. Kau tak bosan?" tanya Puteh. Cumu membalas dengan menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia mengangkat jari telunjuk dan di acungkan kepada Puteh. Seraya dia mendabik-dabik dadanya.

"Oh.. Jadi jika ada aku, kau tidak bosan?"

Cumu mengangguk laju. Dia melompat-lompat girang sambil menjerit.

"Aku sudah tua. Tua dari kau, Cumu. Aku pun belum mempunyai pasangan. Namun aku bertuah mengenali kau," kata Puteh. Cumu berhenti melompat. Dia terdiam.

Puteh menunduk, lalu dia berkata, "Kau masih kecil. Hayat umurku tidak sama dengan hayat umur mu, Cumu. Suatu hari nanti, kau mesti berdikari. Kerana.. Waktu itu, mungkin aku pun sudah tiada di sisimu."

Cumu masih terdiam. Lalu dia mengangguk perlahan.

"Cumu. Kalaulah kau dapat bercakap, ingin benar aku mendengar ucapan kasih dan sayang dari mulut kau," kata Puteh lalu terbang ke sarangnya. Meninggalkan Cumu terkebil-kebil.

Cerpen ini dikarang oleh aku sendiri pada 5 Jun 2009 bagi menyertai satu kontes yang dianjurkan oleh saudara Khairil Afzal. Cerpen ini juga telah memenangi tempat pertama kontes tersebut. Cerpen ini ditulis dengan alasan "mengajak kawan-kawan blogger untuk minat membaca dan mengarang cerpen". Cerpen ini diterbitkan kembali bagi mengajak kawan-kawan blogger untuk terus menulis dalam tatabahasa yang betul. Bukan dalam bahasa SMS, bahasa pasar, dan bahasa percakapan biasa hari-harian. Sekian.

Sunday, November 28, 2010

Si Gadis Kecil : Sepucuk surat itu.. (Bahagian 1)

Artikel ini diterbitkan kembali (re-post) bagi menyertai contest dari vivagirls.


Pagi itu, dia, si lelaki selekeh, tiba awal. Dia memarkir motosikalnya bersebelahan dengan deretan basikal di tempat khas yang telah disediakan. Di sudut pagar utama, kelihatan beberapa orang yang berpakaian hijau cerah daun pisang dan berseluar gelap sedia menanti kedatangan-kedatangan kelibat berpakaian putih hijau memasuki ruang bangunan tersebut. Setiap muka diperhatikan. Setiap jentera keluar masuk ditelitikan. Semua diawasi dengan begitu cermat sekali.

Read more/less..

Nun dari jauh dia lihat sudah ada beberapa orang berpakaian sukan sedang berlari-lari anak di kawasan padang yang cukup luas. Ada juga sesetengahnya berbual, dan tidak kurang juga ada yang berlari berkejar-kejaran di tepi padang tersebut. Dia melangkah memasuki bilik 5 ST 2 dengan melalui pintu belakang. Dia menarik kerusi dan meletakkan beg galasnya di atas meja biru itu. Seraya dia duduk dan termenung di luar. Begitulah rutin hariannya setiap hari. Tidak lagi seperti dulu.

Jika dulunya, setiap pagi, ada saja perkara yang akan dilakukan. Selain bergaduh, paling tidak akan dia akan mengganggu kelibat-kelibat yang bertudung. Tapi kebanyakkan masa paginya dihabiskan dengan bersembang dan melepak di tepi koridor. Jika ada si gadis lalu di depan, akan dikacau dan diuratnya.

Tapi zaman keseronokkannya kini sudah berlalu. Sebelum memasuki aliran baru ini, dia seperti dipinggirkan oleh teman-teman seangkatannya dahulu. Jika dulu dia dipanggil 'otai', 'boss', dan 'ketua', tetapi kini tidak lagi. Sebaik saja dia melangkah di aliran baru itu, dia banyak berubah. Rakan-rakan dan 'anak buahnya' kini tidak lagi diambil peduli.

Kadang-kadang mereka datang bertanya, "Kenapa kau nampak berubah sangat tahun ni? dah mendaftar diri sebagai ahli surau ke?"

Dahulunya, dia seorang yang panas baran. Jika ada seorang pun perli atau mengejeknya, hukumannya adalah penumbuk dan terajang. Tapi sesudah beberapa bulan memasuki aliran itu, dia kini benar-benar berubah. Rakan-rakan seangkatannya dulu kini mula membencinya dan meminggirkannya.

"Kenapa dalam beberapa bulan ni kau nampak lain? Kau dah banyak berubah. Kau ada masalah ke?" tanya Syukri. Syukri adalah rakan baru di aliran barunya.

"Tak ada apa-apa pun. Aku je nak ubah diri aku,”, jawabnya ringkas. Lamunannya ke luar tingkap masih tidak berganjak.

"Mengubah diri? Maksud kau, kau dah nak quit ke dari bercampur dengan geng-geng kau, macam tu?" soal Syukri lagi.

"Em, lebih kuranglah."

Seketika kemudian, lelaki pendek berkumis tebal memasuki bilik itu dan memberi salam. Dia berdiri dan menjawab salam hormat kepada lelaki pendek tersebut. Bingkas dia memindah tempat duduk dia tadi. Di ambilnya buku kecil dan buku tebal di dalam beg. Bingkas dia duduk di meja hadapan yang tersedia kosong.

"Kerja semalam saya bagi sudah siap?" tanya lelaki pendek berkumis tebal itu.

"Sudah, cikgu!" jawab kelibat-kelibat di dalam bilik itu memecahkan suasana.

**********

Suasana bising menyelubungi dewan makan itu. Kelihatan beberapa kelibat beratur panjang menanti giliran untuk membeli makanan. Sewaktu itu dia hanya bersendirian di tepi dewan tersebut. Disuapnya kuih yang dibeli tadi ke dalam mulut. Dia mengunyah dengan penuh minat dan selera.

Dia didatangi dua orang kelibat berbaju putih dan bertudung. Lantas salah seorang kelibat itu bersuara, "Ingatkan taknak datang sini!"

"Seperti yang dijanjikan. Ada apa hal?" tanya si lelaki.

"Ini dia, tuannya menyuruh awak baca. Jangan buang ke dalam tong sampah lagi! Kali ni awak kena janji tau. Sebab ni amanah orang!"

Lelaki itu hanya mengangguk. Dicapainya sepucuk surat yang dihulurkan oleh gadis bertudung itu tadi.

"Siapa bagi?" tanya lelaki itu kepada si gadis lagi.

"Orang yang sama," jawab si gadis bertudung lalu beredar dari situ. Lelaki itu hanya mengeluh. Ditenungnya surat itu lama-lama. Dibelek surat itu tanpa membukanya. Terdapat tulisan di atas surat tersebut dan beberapa lukisan kecil berbentuk hati di satu sudut kiri surat tersebut.

"Kepada lelaki idaman.. with love.. A**."

Dia memaling muka ke kiri dan kanan. Dia mencari tong sampah. Kelihatan sebiji tong sampah di hadapan kaunter dewan tersebut, lalu dihampirinya. Sampai di situ, lelaki tadi terus saja membuang surat itu tanpa membukanya langsung. Tiba-tiba..

"Hoi!! Orang suruh baca, bukan buang!" Si lelaki terkejut bukan kepalang. Dia berpusing menghadap suara yang menjerkahnya tadi. Rupa-rupanya gadis bertudung tadi.

"Awak ni degil la. Ni kan amanah. Tuannya suruh baca! Jangan la buang! Baca je pun. Bukannya suruh buat kerja! Hish! Hairan betul la mamat ni. Orang nak kat dia, dia plak nak jual mahal," bebel si gadis itu. Si gadis tadi mengutip kembali surat yang dibuang oleh lelaki tadi.

"Nah, baca! Kalu saya tau awak buang lagi, saya sumpah awak. Awak balik nanti awak accident!" sumpah si gadis itu geram. Lelaki tadi hanya mendiamkan diri dan tercegat melihat telatah si gadis bertudung tadi.

**********

Muka lelaki itu berkerut. Ditangannya ada sepucuk surat. Surat itu adalah surat yang diberi oleh si gadis bertudung pada tengahari tadi. Di dalam bilik tersebut hanya ada dia seorang. Pelajar yang lain sudah lama pulang. Dia membaca dengan penuh teliti dan tekun setiap patah perkataan yang terkandung di dalam surat tersebut. Di pengakhiran surat, dia membaca bait-bait dan rangkap puisi yang direka oleh penulisnya. Dia tersenyum. Habis saja membaca surat tersebut, dia menggepal surat tersebut dan dibuangnya ke dalam tong sampah yang ada di dalam bilik tersebut. Lalu dia melangkah pergi.

Keesokkan harinya, di waktu tengahari, dia didatangi lagi oleh si gadis semalam. Kali ini si gadis bertudung itu tidak membawa apa-apa. Lelaki tadi hanya merenung mata si gadis, lalu bertanya, "Ada apa lagi ke untuk hari ni?"

Si gadis tersenyum kambing. "Takde! Just nak sampai pesanan dari admire awak. Dia nak jumpa kat pintu gate belakang selepas sekolah! Pergi tau! Kalu tak, aku sumpah kau!"

Si lelaki hanya mengiakan kata-kata si gadis itu. Dia mengangguk kecil. Si gadis lalu beredar.

Lewat petang tersebut, seperti yang disuruh, lelaki tersebut menunggu peminatnya di pintu pagar belakang. Hampir 10 minit menunggu akhirnya peminat itu muncul. Dia keseorangan.

"Hai, awak. Lama tunggu?" tanya si gadis. Mata si lelaki terbeliak. Dia menatap wajah kecil si gadis itu. Putih melepak dan rendah orangnya.

"Oh, jadi awaklah orang yang selalu bagi surat cinta kat saya, ya?" soal si lelaki selekeh itu.

"Em ya.." jawab si gadis comel ringkas. Dia menunduk, memandang tanah. Si gadis terdiam, malu. Si lelaki juga begitu, hanya mendiamkan diri.

"Kalau macam tu, okay lah. Saya nak balik,” kata lelaki itu dan terus saja berlalu. Si gadis tadi terkial-kial ditinggalkan begitu sahaja.

"Eh, awak! Nanti.. saya ada sesuatu nak bagi.. nanti lahhhh!" kata si gadis dan menuruti si lelaki.

Si gadis menghulurkan sesuatu di tangan si lelaki selekeh itu dan terus saja berlalu. Si lelaki hanya memerhati si gadis yang berlari-lari anak meninggalkannya keseorangan di pintu pagar. Si gadis tadi terus memasuki van kuning dan terus berlalu. Di tangan lelaki itu ada kotak kecil. Lantas dibukanya.

"Ah? jam?!"

**********

Seminggu selepas itu, si lelaki selekeh itu bertemu lagi dengan si gadis bertudung.

"Oi, mana jam yang admire awak bagi? Takkan buang jugak kot!"

"Aku tak pakai jam. Tengok sajalah tangan aku ni. Mana ada perhiasan pun!"

"Dia kasi nak suruh awak pakai la. Dahtu pakai je la!" tempelak si gadis bertudung tadi.

"Suka hati la.. Awak susah ke? Jangan risau. Saya simpan jam tu kat rumah. Saya simpan elok-elok. Bagitau kat dia, saya ucap terima kasih. Dan pesan kat dia juga, saya tak suka pakai jam tangan! Lepas ni jangan susah-susah nak belikan saya jam!"

Si gadis bertudung tadi memuncungkan mulutnya. Si lelaki itu terus beredar.

Selepas kejadian itu, lelaki itu boleh dikatakan tiap-tiap hari akan menerima surat cinta daripada si gadis kecil. Walaupun begitu, tiada sekeping pun yang dibacanya. Sebaliknya disimpan saja. Hanya sekali itu dia bertemu dengan si gadis kecil. Sekolah bukannya besar sangat tetapi sikap lelaki itu sahaja yang endah tidak endah. Dia langsung tidak mengambil tahu tentang cerita dan keadaan yang berlaku di sekelilingnya. Hatta begitulah dia langsung tidak menyedari kelibat kecil itu hanya memerhatikannya dari jauh.

**********

Peperiksaan SPM sudah hampir. Ramai pelajar mula memenuhi surau dan perpustakaan untuk mengulang kaji pelajaran. Hari itu, semua kelibat diminta untuk berkumpul di dewan. Lelaki itu duduk di sudut dewan dan mengelamun sendirian. Lima minit kemudian, pengetua membuat ucapan.

Si lelaki botak yang berucap menyeru pelajar-pelajar yang ada di dalam dewan itu agar bersungguh-sungguh belajar untuk persiapan menghadapi peperiksaan. Masih terngiang di telinga lelaki itu akan kata-kata si lelaki botak.

"Kita orang Islam wajib berjihad. Belajar juga salah satu daripada berjihad. Oleh itu, sama-samalah kita berusaha untuk belajar bersungguh-sungguh agar menjadi orang yang berguna di suatu masa kelak!"

Selesai saja satu jam perhimpunan khas itu berlangsung, semua pelajar beredar ke kelas masing-masing. Di dalam perjalanan pulang ke kelas, dia disapa oleh satu suara yang kecil, lalu berpaling.

"Hai, awak," sapa si gadis kecil. "Pengetua kata apa tadi?"

"Em, biasalah membebel-bebel," kata lelaki itu sambil tersenyum.

Si gadis kecil membalas senyuman lalu berkata, "Ini kelas saya. Sebenarnya tak jauh pun dari kelas awak."

Si lelaki selekeh itu agak terkejut. Masakan selama ini dia tidak langsung perasan akan kewujudan si gadis kecil yang hanya bersebelahan kelasnya. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

"Tak perasan pun selama ni. Awak kelas sebelah rupanya. Er.. maknanya awak junior saya lah ya?"

Si gadis mengangguk dan tersenyum manis. Si gadis berkata, "Awak yang sombong dan tak pedulikan orang sekeliling. Mana nak perasan," lalu menjuihkan bibirnya.

Si lelaki hanya ketawa kecil. Si lelaki mengambil kesempatan masa yang ada ini dengan berbual dengan si gadis kecil. Walaupun usia baru sahaja 13 tahun, si gadis kecil ini petah bercakap. Tidak padan dengan tubuh yang kecil. Seumpama wanita yang berusia 23 tahun pula. Kadang-kadang lelaki itu ketawa berdekah-dekah melayan gelagat dan kepetahan si gadis kecil. Di saat itu dia rasakan si gadis kecil adalah kelakar orangnya. Dia selesa, dan dia gembira.

**********

"Yes! Akhirnya habis juga exam! Lepas ni boleh kita enjoy!" jerit rakan-rakan sekelas. Bilik 5 ST 2 itu bingit dengan teriakan kegembiraan kelibat yang tamat peperiksaan. Lelaki itu hanya mendiamkan diri. Kertas terakhirnya akan bermula beberapa jam saja lagi. Sedangkan rakan-rakan sekelasnya telah menduduki kertas peperiksaan terakhir beberapa jam yang lalu.

"Oi, kitorang balik dulu. Good luck untuk last paper kau!" kata rakan-rakan lelaki itu lalu beredar. Tinggallah si lelaki selekeh tadi terkial-kial keseorangan di dalam kelas, menanti kertas peperiksaan yang terakhir.

"Assalamualaikum."

Lelaki itu disapa. Lalu dia menyahut salam tersebut. Dia lihat kelibat si gadis kecil berdiri di muka pintu kelasnya. Si gadis kecil hanya tersenyum. Dia diiringi beberapa orang rakannya sebagai teman.

"Eh, awak. Kenapa datang?" soal lelaki itu.

"Saja la datang nak bagi sokongan mental kat awak. Boleh kan?" kata si gadis kecil.

“Oh, patutlah. Terima kasih.. Eh! Cikgu cari awak sebenarnya tadi. Dia cakap awak ponteng kelas.”

"Eh, pandai je. Kitorang cuti laaaaa.. Awak tu ha, baca buku tu. Kang masuk dewan lupa plak," kata si gadis kecil, sinis. Mereka ketawa bersama. Mereka saling berpandangan, dan bertentang mata.

**********

Lelaki itu membuka kotak di dalam stor. Di satu sudut bilik itu tersusun rapi beberapa barang dan beg termasuk kotak-kotak yang berisi dengan barang-barang. Ditenungnya kotak putih itu. Lalu dibukanya. Di dalam kotak itu terdapat banyak surat-surat yang pelbagai warna. Di dalamnya juga terdapat jam tangan berwarna hijau gelap. Lalu dicapainya dan cuba dipakai di pergelangan tangan kirinya.

"Ah, kecil pula," bisik lelaki itu.

Diletakkan kembali jam tangan itu ke dalam kotak. Ditenungnya pula kepada surat-surat di dalam kotak itu. Kebanyakkannya masih belum dibuka. Tiba-tiba kenangan si gadis kecil menjelma diingatan.

Akhir tahun 2001, sesudah saja peperiksaan SPM, lelaki itu langsung tidak mendengar khabar berita dari si gadis kecil. Pernah beberapa kali lelaki itu pergi ke sekolah. Tapi setibanya saja di muka pintu pagar utama, dia berpatah balik. Walaupun niat ingin ketemu, tetapi bagaikan ada suara lain yang menegah agar tidak diganggu si gadis kecil. Dia sedar kini dia kehilangan si gadis kecil. Tamat saja peperiksaan SPM, langsung saja lelaki itu terputus hubungan dengan si gadis kecil yang ceria. tidak lama lagi, dia akan bekerja. Adakah mungkin dia akan ketemu lagi si gadis kecil?

"Tu duk termenung apa lagi tu? Angkat barang tu lekas. Lori dah sampai!"

Lelaki itu tersentak. Jeritan ayahnya dari luar mematikan lamunannya. Dia mencari-cari sesuatu di dalam kotak putih itu.

"Mana ni? Ah, ya. Ini dia!" bisik lelaki itu. Ditangannya memegang surat terakhir dari si gadis kecil. Diselitkan surat itu dipoket seluarnya.

Kini lelaki itu berbaring membaca surat si gadis kecil. Setiap perkataan dibaca dengan teliti. Kenangan mengenali si gadis kecil mengimbau kembali dibenak pemikiran lelaki itu. Dia merasakan sungguh sayang sekali bila terputus hubungan dengan si gadis kecil. Bagaimana agaknya keadaan si gadis kecil kini? di akhir surat itu membuatkan lelaki itu tersenyum sendirian.

"Awak. Saya pernah tengok awak buang surat saya ke dalam tong sampah. Tapi saya tak berkecil hati. Sebaliknya saya tulis benda yang sama di dalam surat yang lain tanpa rasa jemu. Selepas itu saya suruh Aida serahkan kepada awak. Dan setiap kali awak buang surat saya juga, saya akan tulis balik."

"Awak. Saya tahu sejarah awak di sekolah ini. Tapi saya tak peduli itu semua. Saya sukakan awak. Perubahan awak, tingkah laku awak, gaya awak. Kalau boleh saya mahu tengok lagi perubahan ketara awak. Kalau boleh saya juga nak kita lebih dari kawan. Tapi walau bagaimanapun saya tahu. Berapa banyak saya tulis pun, mungkin awak takkan baca surat saya. Kalau sebaliknya pula, saya rasa sayalah orang yang paling bertuah.

Awak. Saya suka awak..!"


Lelaki tadi termenung. Alangkah bagusnya jika surat itu dibaca pada 5 tahun yang lalu.

Lelaki itu masih mengingati bibit cinta berputik ketika bersama mengenali si gadis kecil. Dari kerana surat itu, dia melupakan segala titik hitam yang berlaku ke atas dirinya. Dia mengikut nasihat si gadis kecil yang tertulis di dalam surat itu, walaupun dia sedar si gadis kecil tiada disisinya. Dan kini, dia masih mencari-cari. Di manakah agaknya si gadis kecil kini?

"A**.. Mana awak sekarang?" bisik lelaki itu sendirian.

Watak 'lelaki' dan 'dia' yang diceritakan di atas adalah penulis sendiri. Semua jalan cerita cinta monyet penulis adalah berdasarkan pengalaman penulis sendiri. Ia diringkaskan memandangkan kisah yang berlaku adalah pada awal waktu persekolahan penulis sewaktu tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail 2, Kemaman Terengganu.


Baca siri yang seterusnya: KLIK SINI!

Friday, August 20, 2010

Selamat Hari Ibu, Untuk Emak.

Sejak kecil, saya dan abang dijaga oleh emak. Selepas kematian ayah semasa saya berumur 12 tahun, emaklah yang menjaga saya dua beradik. Hidup kami pada awalnya memang susah dan lebih memeritkan lagi, ketiadaan ayah memutuskan sumber pendapatan keluarga dan tempat bergantung harap. Emak tidak bekerja. Jadi terpaksalah emak keluar dari rumah mencari rezeki menggantikan tempat ayah. Keluar awal pagi selepas subuh kemudian pulang ke rumah pada waktu senja. Kadang-kadang pulang lewat. Paling lewat pukul 10 malam. Emak bekerja biasa-biasa saja namun pelbagai. Mengambil upah menjaga anak jiran, membantu berniaga air tebu di jalanan, tukang cuci tandas, mengangkut sampah. Boleh dikatakan segala kerja emak buat.


Klik spoiler ini untuk meneruskan bacaan..

Melihat kepayahan emak dan kedaifan keluarga, abang sanggup berhenti sekolah. Waktu itu dia masih di tingkatan 5 dan saya baru memasuki tingkatan 1. Pada mulanya emak marah abang berhenti sekolah. Abang punyai cita-cita yang tinggi. Abang seorang anak lelaki yang baik. Ikut kata kedua ibu bapa. Ayah sayangkan abang. Emak juga sayangkan abang. Abang anak emas keluarga. Sejak ayah sakit, abang mula hilang minat untuk ke sekolah.

Pernah abang cerita pada saya, dia bukan tidak mahu mengejar cita-citanya. Namun melihat kedaifan kami, dia nekad melupakan segalanya. Dia sanggup berbuat demikian demi keluarga. Ditegasnya agar saya saja yang meneruskan persekolahan. Katanya, biar adik pandai. Adik dapat masuk universiti. Biar adik dapat kerja yang baik-baik. Dapat tanggung keluarga. Tidak susah macam abang dan emak. Kahwin, dapat suami yang baik dan kaya. Lantas, dia memeluk saya dan menangis. Saya turut menangis. Begitu besar pengorbanan abang.

Sesudah hampir beberapa tahun abang dan emak bekerja bagi menampung keluarga, emak sudah tidak larat lagi. Emak sudah tua. Sudah tidak larat. Masa mak banyak dihabiskan di rumah. Kadang-kadang jika sakitnya dirasakan kebah sedikit, emak gagahkan diri untuk berdiri, berjalan, dan bekerja. Namun tidak lama.

Emak jatuh ditangga di suatu pagi. Emak sakit dan berdarah pada lutut. Dia tidak boleh berjalan. Emak meraung kesakitan, sambil memanggil-manggil nama abang dan saya. Malangnya, tiada sesiapa di rumah waktu itu. Saya di sekolah. Abang keluar bekerja. Nasib baik Pak Pie, jiran sebelah rumah terdengar jeritan emak. Emak dihantarkan ke klinik yang jaraknya 25 kilometer dari rumah oleh Pak Pie.

Selepas mendapat khabaran berita tentang emak, saya bergegas pulang. Abang juga pulang. Kami menangis melihat emak. Emak sudah pun terbaring di ruang rumah. Saya lihat jiran-jiran termasuk Pak Pie duduk bersila mengadap emak. Mak Cu Piah, duduk di lujuran kaki emak sambil mengurut-urut kaki emak.

Terdengar rintihan kecil emak, mengaduh kesakitan. Saya lihat abang mengurut kepala emak. Mata emak hanya terpejam rapat, dan mukanya mengerut menahan kesakitan. Waktu itu, mata saya bertakung dengan air yang jernih. Mendengar rintihan emak, takungan air tidak dapat dibendung lagi. Empangan itu pecah dan membasahi pipi saya. Saya menangis teresak-esak. Saya terduduk di sebelah emak sambil ditenangkan oleh makcik-makcik kejiranan. Mulut emak mengatakan 'tidak mengapa' sedangkan mata emak masih terpejam rapat. Waktu itu rasa kesal menyelubungi diri ini. Saya rasakan rasa benci dan meluat ke atas diri sendiri. Rasa bodoh dan tidak berguna. Saya menyesal pergi ke sekolah. Saya sepatutnya menjaga emak yang sakit. Saya berdegil mahu ke sekolah juga. Kesudahan, inilah akibatnya. Saya memeluk emak dengan erat.

Sejak emak pula jatuh sakit, abang semakin tidak pulang-pulang ke rumah. Dua atau tiga hari baru pulang. Paling awal pun, pukul 3 atau 4 pagi baru pulang ke rumah. Abang semakin kuat bekerja. Makan minumnya tidak dipedulikan lagi. Asalkan ada sehelai dua wang dihulurkan kepada saya atau emak.

Pernah dulu abang dan saya bergilir menjaga emak. Tatkala dirasakan dia perlu bekerja, dia keluar bekerja. Akhirnya pada akhir tahun, saya menyatakan hasrat saya untuk berhenti sekolah kepada abang. Saya pula dimarahi oleh abang. Teruk saya dibebelnya. Saya berkeras yang saya mahu menjaga emak. Emak tidak boleh jalan lagi. Kata doktor, emak menghidap kencing manis dan darah tinggi. Penyakit gout yang menyerang emak 5 tahun yang lalu juga semakin parah. Apabila saya mengungkit begitu, abang terdiam. Jelas air jernih membasah kelopak mata abang. Namun cepat-cepat abang seka lalu keluar untuk pergi kerja lagi. Abang selalu macam itu. Dia tidak menunjukkan sedihnya pada saya apatah lagi emak. Keesokkannya abang membenarkan saya berhenti sekolah. Walaupun jelas kecewa terpancar diwajah abang, abang tidak terus memarahi saya. Abang nyatakan, dia memahami situasi sekarang. Saya lihat hari itu abang tidak pergi kerja. Abang banyak termenung. Kasihan abang. Tentunya dia kecewa dengan saya.

Ada satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan sehingga kini. Waktu itu saya sedang demahkan emak. Emak berbisik kepada saya. Dia teringin sangat makan pengat pisang. Saya tersentak. Saya juga menjadi buntu. Saya tidak pandai membuat pengat pisang. Mahu dibeli, wangnya tiada untuk berbuat demikian. Ada pun, memang cukup-cukup untuk membeli beras dan keperluan dapur sahaja. Saya cuba cakap-cakap dan memujuk emak. Namun emak tetap berkeras. Dia teringin sangat makan pengat pisang.

Saya mengimbau dalam ingatan. Setahu saya, emak tidak makan pisang. Emak tidak pernah buat pengat pisang. Dulu, ayah pernah beli cucur pisang. Hanya ayah dan abang yang sentuh dan memakannya sehingga habis. Mereka suka pisang. Sedangkan emak dan saya sebaliknya. Tetapi, kenapa kali ini emak kepingin makan pengat pisang? Mahu atau tidak, saya keluar dari rumah meninggalkan emak terlantar sendirian. Saya berjumpa Pak Pie dan menceritakan kemahuan emak padanya. Bersusah payahlah orang tua itu mencari pisang di kebun. Saya terus pulang dan menunggu di rumah.

"Kamu pulang dan tunggu di rumah. Jaga mak kamu. Nanti Pak Pie balik dan hantarkan pengat pisang kepada kamu," ujar Pak Pie.

Kasihan Pak Pie.

Petang itu, saya menunggu agak lama di rumah. Emak pula berkali-kali meminta pingat pisang pada saya. Saya meminta emak bersabar. Saya memujuk emak beberapa kali. Entah kenapa saya langsung tidak memberitahu emak bahawa Pak Pie yang tolong sediakan pengat pisang untuk emak. Tidak terdetik untuk memberitahu emak. Saya risau emak marahkan saya kerana susahkan jiran.

Setelah sekian lama menunggu, Pak Pie datang ke rumah. Dia memanggil saya secara perlahan dari laman rumah. Kata Pak Pie, dia tidak mahu mengganggu emak. Pak Pie memberikan ribuan maaf kepada saya. Katanya, puas memujuk taukeh kebun pisang namun taukeh yang sememangnya sinonim dengan sifat yang kedekutnya, tidak endah.

"Jika mahu, belilah! Kamu ingat hasil kebun ini senang-senang saja diberikan percuma?" Begitulah gertak dan bongkaknya taukeh cina tersebut. Saya lihat Pak Pie teramat kecewa. Jelas terpancar diwajahnya. Tidak apalah, kata saya kepada Pak Pie.

Saya duduk di dapur keseorangan. Di sebalik dapur, terdapat satu bungkusan plastik kuning yang terisi sesuatu. Ubi keledek. Ia diberikan oleh isteri Pak Pie, Mak Jah dua hari lepas. Saya membuka bungkusan plastik tersebut dan mengira-ngira jumlahnya. Tiga ketul. Saya ambil dua ketul. Satu saya tinggalkan untuk abang pulang makan nanti. Dengan dua ketul ubi keledek itu, saya membuat pengat. Dihati saya, hanya tuhan saja yang tahu. Betapa lemahnya saya waktu itu. Hanya semata-mata ingin menjaga hati emak, saya gantikan pisang kepada ubi keledek untuk dibuat pengat. Sebak menerjah dijiwa. Saya tahan. Air mula bertakung di kelopak mata, cepat-cepat saya seka.

Saya duduk di sebelah emak. Mata emak terpejam waktu itu. Bibir emak merekah. Muka emak pucat. Dulu emak sihat dan gemuk. Kini kurus melidi. Kulit lengannya berkedut dan menggelebir menampak jelas urat-urat di sana sini. Saya gosok-gosok tangan emak dengan lembut. Saya genggam tangan emak erat. Saya cium tangan emak. Tangan emak kering, bisik saya dalam hati. Saya tengok mata emak terbuka sedikit. Saya perasan emak mahu mengukir senyum kepada saya tapi emak tidak mampu. Emak menahan sakit. Tidak mengapa emak, bisik saya. Saya suapkan emak. Saya tinggikan sedikit bantal yang memangku kepala emak. Saya paut bahu emak. Emak bangun tapi mata emak masih terkatup rapat.

"Emak, ini pengat pisang mak," tipu saya. Dada saya mula sebak. Emak hanya mengangguk perlahan.

Pada suapan pertama, emak tersedak dan terus batuk-batuk. Saya lap mulut emak. Saya suap lagi. Saya masih ingat emak kata. Pengat itu tidak sedap. Rasanya lain. Ya, emak. Memang lain. Saya tidak pandai buat pengat. Apatah lagi itu bukan pengat pisang yang emak mahu. Ia pingat ubi keledek! Maafkan saya, emak. Saya menipu emak. Saya mahu jaga hati emak. Saya tidak mahu emak kempunan! Itu saja.

Saya menangis. Sedu sedan saya tahan. Saya pujuk emak. Saya kata, emak sakit tentulah selera hilang. Pengat pisang rasa memang tidak sedap bila sakit. Saya pun cakap, nanti emak sembuh emak makanlah puas-puas pengat pisang yang dibuat oleh saya lagi. Emak mengangguk. Emak sempat bergurau, masa muda makanlah apa saja. Masa sakit nanti susah mahu makan yang sedap-sedap. Hilang selera dan lidah tidak merasa sedap! Saya cium dahi emak. Saya mengangguk walaupun saya tahu emak tidak tengok saya mengangguk dan senyum. Apatah lagi melihat air mata saya jatuh bercucuran membasahi pipi saya.

Emak.

Setiap kali suami saya membawa balik pengat pisang dari pantai timur, saya sentiasa terkenangkan emak. Saya merindui emak sangat, sangat. Masih terasa jari jemari saya ini seakan mengurut, menyentuh dan menggosok-gosok kulit tangan dan badan mak ketika sakit dulu. Biarpun berkedut dan busuk peluh emak, saya langsung tidak mengambil cakna. Saya tidak peduli. Emak berak dan kencing sewaktu emak tenat dahulu pun, saya redha. Sebab saya sedar, dahulu emak pun basuh berak kencing saya. Tiada lagi perasaan jijik dihati saya. Dan, saya juga tahu syurga itu di bawah kaki seorang ibu. Tiada kemanisan dalam hidup dirasakan jika tidak berbakti kepada ibu.

Abang.

Kerana abang, emak tenat. Menyesalnya saya rasa sebab memberitahu emak akan berita itu. Saya tahu emak sayangkan abang lebih daripada saya. Kerana berita abang, emak seakan tidak mahu hidup lagi.

Waktu itu, saya tidur sebelah emak. Saya menganggar waktu itu sudah lewat benar. Suasana sekitar rumah sunyi. Hanya terdengar bunyi sang cengkerik dan unggas di luar. Sesekali terdengar jeritan cicak di suatu sudut rumah buruk itu. Entah kenapa saya tidak dapat melelapkan mata setelah terjaga dari tidur. Saya lihat mata emak terkatup rapat. Dada emak berombak perlahan. Emak tidur nyenyak sangat. Di sebelah kiri emak terdapat talam berisi ubat-ubat dan semangkuk bubur emak yang saya sedia pada sebelah siangnya. Berbantukan cahaya lampu minyak tanah, saya betul-betulkan selimut emak. Mata saya segar sangat waktu itu. Kantuk sudahpun luput. Saya mengambil kesempatan itu untuk membaca Al-Quran. Boleh juga saya sedekahkan kepada arwah ayah. Dan boleh juga saya berdoa untuk emak agar sihat kembali. Dalam dua muka surat, saya berasa tidak sedap hati. Saya bantutkan bacaan surah. Saya termenung. Emak masih tidur nyenyak. Entah kenapa jantung saya berdegup kencang.

Tatkala waktu subuh hampir tiba, datang beberapa orang lelaki kampung ke rumah. Mereka membawa perkhabaran buruk. Abang, mak. Berita fasal abang. Abang kemalangan di tempat kerja, mak. Saya jatuh terduduk di muka pintu mendengar perkhabaran abang. Abang kemalangan dan meninggal di tempat kerja. Kata orang kampung, abang terjatuh dari tingkat lima semasa hendak memasang cermin tingkap bangunan. Saya tidak mahu tahu apa puncanya. Saya menangis semahu-mahunya. Apakah bala yang menimpa, fikir saya. Apakah dugaan yang mendatang, rintih saya. Putus lagi satu sumber ekonomi rumahtangga. Putus lagi satu tempat bergantung kita, emak.

Siangnya, emak terkejut besar dengan berita itu. Mata emak yang sebelum itu hanya terpejam dan terkadang saja dibuka, emak celik luas-luas. Emak sangat terkejut. Air mata emak mengalir. Saya lihat emak tidak bergerak. Seperti patung. Hanya air mata emak deras jatuh melaju. Saya memeluk emak erat-erat. Saya menangis dan meraung. Orang kampung cuba memujuk saya. Emak. Abang sudah tiada!

Selepas abang selamat dikebumi, keadaan kesihatan emak semakin tenat. Emak sudah kurang mahu makan. Selera emak jatuh, benar-benar jatuh. Muka emak kian cengkung. Bibir emak luka dan kering. Tangan emak menggeletar. Saya pujuk emak supaya bersabar. Saya pujuk emak dengan menyatakan Pak Pie berusaha membantu kami sekeluarga. Pak Pie jiran yang baik. Pak Pie sanggup ke kota mencari rezeki untuk berkongsi dengan kita. Pak Pie tiada anak. Maka hanya kita berempat tanggungan dia termasuk Pak Pie sendiri.

Emak menggeleng-geleng kepala saja. Emak seakan tidak setuju Pak Pie berbuat demikian. Ya, emak. Saya faham perasaan emak. Tapi apakan daya saya. Saya tidak mampu keluar mencari rezeki. Jika saya keluar, siapa mahu jaga emak? Jika diharapkan jiran, mereka juga ada urusan mereka. Mahu atau tidak, saya terpaksa menerima pelawaan Pak Pie. Maafkan saya, emak. Saya juga pujuk emak agar ke hospital. Namun emak berkeras. Emak degil sangat. Emak enggan. Emak membantah bulat-bulat cadangan saya dan Pak Pie. Emak meronta-ronta apabila jiran datang membantu emak bangun untuk ke hospital menaiki kereta milik Pak Jusoh, ketua kampung. Emak tetap tidak mahu. Kami akur kehendak emak. Emak kata, emak mahu mati di rumah buruk itu. Emak mahu kenangan dan sejarah berkubur di rumah itu bersama emak. Emak. Sedihnya dan pilunya saya rasa tatkala emak berkata sedemikian. Saya menangis lagi, tersedu sedan.

Pada suatu pagi yang hening, saya keseorangan sibuk di dapur bagi menyediakan emak sarapan. Saya membuat bubur untuk emak. Sewaktu menunggu bubur siap, saya bermain-main imbauan sejarah silam.

Masih saya ingat sewaktu kecil-kecil dahulu. Abang selalu buli saya. Ayahlah yang pertahankan saya. Emak pula pertahankan abang. Saya tersenyum bila mengenangkan ketika kami berebut untuk naik basikal ayah. Ayah beli basikal baru untuk pergi dan pulang ke tempat kerja.

Saya menangis apabila ditolak jatuh oleh abang. Emak biasanya memenangi abang. Tapi tidak kali itu. Emak pujuk saya. Emak marahkan abang. Abang merajuk dan duduk di atas pangkin di bawah pokok mempelam rendang depan rumah. Abang menjuihkan bibir kepada saya. Saya berhenti menangis dan ketawa riang setelah emak pujuk. Ayah ambil saya dan letak saya di atas batang basikal. Saya menjerit kegembiraan. Emak melambai-lambai. Ayah membawa saya pergi. Kami pusing-pusing satu kampung. Saya sempat menoleh melihat emak dan abang. Abang merenung dari jauh. Emak masih lambaikan tangan sambil tersenyum. Senyuman emak adalah senyuman yang paling manis pernah saya lihat. Ya, emak. Emak cantik sewaktu sihat dulu.

Ayah. Emak. Abang.

Kini hampir 10 tahun ia berlalu. Kini saya pun sudah bersuami, mempunyai anak, dan kami hidup dengan bahagia. Walaupun saya sebak kerana emak dan ayah tidak melihat saya menjadi raja sehari, namun saya redha. Allah lebih sayangkan ayah. Allah lebih sayangkan emak. Allah lebih sayangkan abang. Saya juga sedih tatkala mendapat cahaya mata yang pertama. Jika ayah ada, saya suruh ayah azankan cucu dia yang pertama ini. Perempuan. Comel sangat. Mata anak sulung saya itu sama sangat macam ayah. Bibirnya pula sama sangat macam emak. Jikalah cucu ayah emak ini besar nanti tentunya senyumannya menawan dan manis semanis senyuman emak dahulu. Betul, emak! Saya tidak tipu!

Saya, suami dan anak-anak bersama-sama menonton televisyen. Kami berehat di hari minggu. Kebetulan bulan ini adalah bulan Mei. Hari Ibu bakal disambut. Hari saya mengenangkan emak semakin kuat bermain dalam ingatan dan benak saya. Setiap kali lagu ibu berkumandang, dan lagu Aishah, Syurga Di Bawah Telapak Kaki Ibu berkumandang di corong radio, hati saya sebak. Pernah sekali saya menangis di depan suami. Suami saya memujuk saya. Ya, emak. Saya tidak kuat. Walaupun ia sudah lama berlalu, ingatan saya kepada emak masih kuat dan segar sangat dalam ingatan. Umpama berlaku hanya beberapa bulan yang lepas saja.

Saya berumur 7 tahun waktu itu.

Ayah, emak dan abang membuat kejutan untuk saya. Saya masih ingat bulan itu adalah bulan Mei. Saya diberikan kek yang besar. Ayah, emak dan abang sama-sama menyanyikan lagu selamat untuk saya di hari kelahiran saya yang baru menjangkau 7 tahun. Saya amat seronok. Saya bergurau senda dengan ayah. Saya bergurau senda dengan emak. Saya bergurau senda dengan abang. Kita gelak ketawa gembira bersama.

Pada lewat malam, emak, ayah dan abang mahu masuk tidur. Namun saya memohon agar emak tunggu saya di ruang tamu. Emak senyum dan mengikut kemahuan saya. Saya pergi ke dapur dan mengambil sesuatu. Saya kembali mendapatkan emak dan menghulurkan ia kepada emak. Masih emak ingat saat itu? Emak suka dan gembira sangat. Saya ucapkan 'Selamat Hari Ibu' kepada emak. Emak memegang dan mencium hadiah saya itu. Emak cakap wangi dan emak mahu simpan di dalam bilik. Emak memeluk saya erat-erat. Emak cium dahi saya. Emak cakap, emak sayang saya. Emak. Saya sedar hadiah saya tidak seberapa. Bunga plastik sahaja. Saya semburkan dengan pewangi sahaja. Pewangi itu pula pewangi yang selalu emak pakai. Emak seakan tidak kisah itu semua. Saya sangka emak akan berkecil hati namun tidak. Mulianya hati emak.

Saya berdiri betul-betul di hadapan busutan dengan dua pacakan batu. Tertera nama emak yang cantik di permukaan batu itu. Suami saya memegang bahu saya. Dia menggosok-gosok dan menepuk bahu saya. Tangan saya yang memimpin tangan anak, saya lepaskan. Saya duduk mencangkung di depan kuburan emak. Saya mengambil satu kalungan bunga dari suami.

"Emak, saya datang ni," kata saya. Saya letak kalungan bunga itu di atas kubur emak. Saya menekup muka saya dengan kedua-dua tapak tangan saya. Dia saat itu segala peristiwa saya bersama emak bermain dengan jelas di dalam benak.

"Emak. Alangkah bagusnya kalungan ini menjadi pengganti sewaktu saya menghadiahkan emak bunga plastik di Hari Ibu sewaktu saya kecil dahulu!"

Emak. Ayah.

Tengoklah siapa yang datang. Inilah menantu emak, Hairi. Inilah cucu sulung ayah emak, Sofea. Inilah cucu kedua ayah emak, Amran. Inilah cucu ketiga ayah emak, Jalilah. Saya.. saya datang, emak, ayah. Saya bahagia dan senang sekarang.

Abang.

Tengoklah anak buah abang ini. Mereka comel-comel belaka. Lihat Amran, bang. Mukanya mirip abang. Perangainya pun seakan sama perangai macam abang. Nakal. Tapi hatinya baik macam abang. Tentu abang seronok bersamanya jika abang masih bernafas sekarang.

Emak.

Kenangan saya lebih banyak bersama dengan emak berbanding ayah. Walaupun sayang saya tidak berbelah bahagi, saya rasakan saya lebih rapat dengan emak. Dari emak sihat hinggalah emak sakit tenat. Saya sentiasa di sisi emak. Emak lapar, saya suapkan. Emak sakit, saya urut dan demahkan emak. Emak panas, saya kipaskan. Pengorbanan perit saya sewaktu usia remaja dahulu tidak sia-sia. Nasihat emak agar saya tabah menghadapi hidup benar-benar melatih saya menjadi insan yang berguna sekarang.

Lantas, saya, suami dan anak-anak mengangkat tangan. Kami berdoa dan bersedekah Al-Fatihah bersama-sama. Kami semua menghadiahkannya kepada ayah, emak, dan abang di sana.

Ayah. Emak. Abang.

Bersemadilah ayah dengan aman di sana. Bersemadilah emak dengan aman di sana. Bersemadilah abang dengan aman di sana.

Semoga Allah tempatkan emak, ayah, dan abang di kalangan orang-orang yang mukmin. Amin.

Saya berjalan berat meninggalkan ayah, emak, dan abang 'terbaring' di sana. Jangan risau, saya akan sentiasa menghadiahkan doa sejahtera kepada kalian. Ingatan saya kepada kalian tidak akan saya lupakan sehingga ajal menjemput saya.

Sampai di muka pintu utama kawasan kuburan itu, saya berhenti melangkah. Suami dan anak-anak terus berjalan menuju ke kereta. Saya pusing dan berpaling ke arah kuburan emak dari jauh.

"Emak.. Selamat Hari Ibu.."

Air mata saya jatuh berguguran lagi membasahi pipi.


Aishah - Syurga Di Telapak Kaki Ibu


"Dan tuhanmu memerintahkan supaya engkau tidak menyembahkan melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'uuh', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): 'Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.'" (Surah al-Israk, ayat 23-24)


Cerpen ini adalah hasil karya aku sendiri sempena Hari Ibu (Mei 2010). Selamat Hari Ibu kepada ibu-ibu di luar sana. Beringatlah. Hargailah ibu bapa kita yang bersusah payah membesarkan kita. Janganlah kita derhaka kepada kedua ibu bapa kita. Sesungguhnya anak yang derhaka, neraka jahannamlah yang layak baginya. Wallahua'lam.

P/S: Cerpen ini diterbitkan kembali (repost) bagi menyertai Pertandingan Cerita Berilhamkan Lagu yang dianjurkan oleh Ezany-kun.

Thursday, July 29, 2010

One Missed Call

Segala nama di dalam cerita ini adalah bukan nama sebenar. Dan cerita ini pun tiada kaitan dengan cerita filem yang pernah terbit pada tahun 2003 di Jepun, mahupun tahun 2008 di Amerika yang bertajuk 'One Missed Call'.


Ini adalah satu pengalaman yang tidak dapat aku lupakan. Setiap kali aku mendengar sesiapa sahaja menyebut "one missed call", pasti peristiwa ini akan tergambar di dalam fikiran. Peristiwa ini berlaku ketika aku masih bergelar siswa junior di kolej.

Di kolej, aku mengenali satu bilik senior yang boleh aku katakan 'layan kepala'. Jika ada kelapangan, aku dan seorang rakanku, Johan, berkunjung ke bilik senior tersebut. Senior-senior yang ramah dan pandai buat lawak senantiasa membuatkan kami tidak kering gusi. Ada saja lawak dan celoteh dari mereka. Dengan yang demikian, kami mudah serasi dan berkawan walaupun waktu itu baru saja beberapa bulan kami di kolej.

Klik spoiler ini untuk meneruskan bacaan..

Pada suatu malam, aku dan Johan berkunjung ke bilik senior kerana kebetulan kami kelapangan. Setiba di sana, aku lihat hanya terdapat tiga orang senior sedang duduk-duduk berehat di atas lantai yang beralaskan tikar petah. Bilik senior itu mempunyai enam orang penghuni asalnya. Di mana lagi tiga orang lagi yang lain?

"Macam biasa la.. Depa (mereka) semua 'merendet' dengan marka (teman wanita) depa," kata Ery dalam loghat utara sambil ketawa kecil. Din hanya tersengih. Hairi pula merenungku. Mukanya kelat. Badannya yang gempal memeluk kemas gitar hitam coklat kesayangannya. Itulah hobi Hairi di masa kelapangan selain tidur.

"Apa cerita?" soal Johan kepada Ery. Lantas Johan duduk di birai katil bersebelahan dengan Ery. Aku yang sedari tadi hanya diam sepatah kata, duduk di lantai bersebelahan Hairi. Aku biasa dengan Hairi. Alasannya, hobi dan minat kami sama. Gitar.

"Takda apa lah.. Lagu (macam) ni la jejaka takda marka.. Duk berkurung ja dalam bilik main acara gentel t*l*q beramai-ramai," balas Ery lalu ketawa berdekah-dekah. Kami turut ketawa serentak.

"Hek eleh! Linda tu apa cerita? Kau juga asyik duk sebut-sebut Linda kau tu. Sikit-sikit Linda. Sikit-sikit Linda. Takde marka la konon," perli Johan sambil mengangkat tangan. Dia tersengih melihat reaksi Ery yang mata membulat. Aku menyeringai, lucu dengan reaksi Ery yang spontan itu.

"Hang (kau) ni.. Hingak (kecoh/bising) btoi la..!" kata Ery. "Linda tu lain cerita. Itu bukan marka. Itu..."

"Itu apa?"

"Haaa.. Dia la wife aku!"

"Cis! Berangan la kau!"

Ery tergelak besar sambil menekan-nekan perutnya yang terdedah kerana badannya tidak dibaluti baju.

"Dah dapat ke?" soal Johan lagi.

"Dapat? Dapat apa?"

"Linda la!"

Ery seakan tersentak. Spontan dia menggeleng-gelengkan kepalanya laju.

"Gila haaannggg..! Gadis bak bidadari.. bak artis.. bak puteri Arab tu.. mana nak ngan dengan akuuu.. Sapa la aku ni kan.. Dah la kuruih (kurus), hitam legam cam arang plak tuh! Tak ngam!" tegas Ery, malu-malu.

Ya, memang benar. Pada pandangan aku, Ery memang berkulit gelap. Kurus melidi dan tinggi pula. Dia berketurunan mamak. Berbulu lebat di dada dan lengan. Masakan wanita secantik Linda itu boleh menjadi pasangan kekasih kepada Ery? Hati aku ketawa sendirian. Memang jauh panggang dari api. Namun, kerja ini semua dari atas. Kehendak Allah s.w.t. Jika dikatakan jodoh, tidak ke mana-mana juga.

Aku mengenali Linda setelah ditunjukkan oleh Johan beberapa bulan yang laku ketika kami sama-sama berjalan kaki ke kuliah. Pertama kali aku memandang Linda, aku beristighfar dan mata tidak berkedip kerana terpegun. Memang. Memang Linda amat cantik. Wajah ayu sebujur sirih, kulit putih melepak, alis kening yang tebal dan lebat, hidung mancung, dan bibir yang munggil. Persis bidadari Arab! Patutlah Lina digilai oleh ramai lelaki senior, termasuk Ery. Mahu pula tatkala mendengar khabarnya Linda anak kacukan Melayu Pakistan.

"Kalau dah jodoh tak ke mana, Ery oi!" kata Johan mengejutkan aku dari lamunan.

"Memang," balas Ery ringkas sambil tersenyum lebar. Dia menyandar badannya pada katil. Dia mendongak ke atas dan merenung siling.

"Hah, teringat kat Linda la tu!"

Tiba-tiba Hairi menyampuk. Ery tersengih menyeringai bagai kerang busuk. Matanya masih lagi memandang siling, tidak berkedip.

"Ah sudaaahhh.. Start berangan la tu, kawan kita tu!" sampuk Din yang sedari tadi dia hanya memerhati dan memasang telinga. Ditangannya tidak lekang dengan telefon bimbit.

"Hoi, Mat Jenin! Jangan berangan la wei! Ingat kau sorang je ke yang admire kat Linda tu? Ni.. Aku ni.. selagi aku hidup, jangan kata memiliki, sentuh Linda pun kau takkan dapat tau?" bentak Hairi sambil mendabik-dabik dadanya.

"Eleh.. Linda tak suka sama hang la," kata Ery, sinis.

"Kenapa plak?" soal Hairi kembali.

"Sebab badan hang macam tong dram, tak pun macam Bluehyppo!" kata Ery sambil ketawa. Dia menghentak-hentak kakinya ke lantai sambil menekan-nekan perutnya. Satu balingan bantal terkena tepat pada muka Ery. Namun ia tidak menghenti Ery dari terus ketawa.

"Alaa.. at least aku ada phone number Linda! Kau ada ke?" gumam Hairi sambil mengangkat keninh beberapa kali.

"Hang ingat hang sekelas dengan dia, hang sorang ja ada nombor phone Linda? Piiirraaahhh! Aku pun ada laaa..!"

"Dahla wei! Korang bertekak pasal Linda tak guna la wei. Macam la korang dua ekor contact contact sama Linda." Tiba-tiba Din mencelah. Hairi dan Ery menoleh ke arah Din serentak. Din tersengih.

"Sapa cakap takda?" Ery menggertak.

"Ntah. Siapa cakap?" Hairi pula menyoal.

"Macam la hang tu contact sama Linda! Piiirraaahh!" tempik Ery seraya berdiri dan mengangkat tangan kirinya ke arah Din. Din tersengih. Aku dan Johan sedari tadi ketawa kecik melihat gelagat senior kami yang 'kepala tidak berapa betul' itu.

"Bila? Bila? Bila?" soal Din berkali-kali.

Terasa tercabar, Ery bergegas ke meja kecil di satu sudut bilik. Hairi pula menyerahkan gitarnya kepada aku dan gegas ke almarinya. Mereka berdua mencapai telefon bimbit mereka.

"Niii.. tengok ni..!" kata Ery sambil menunjukkan satu pesanan ringkas kepada Din. Hairi pun begitu juga.

Aku dan Johan merapat ke sebelah Din dan melihat pesanan ringkas di telefon bimbit mereka. Din dengan selamba menunjuk telefon bimbitnya. Di skrin terpampang satu nama yang mengejutkan kami.

"Linda!"

Din tersenyum bangga. Dia sengaja mengembang kempis hidungnya.

"Jadi.. hang dari tadi duk SMS dengan Linda la noo, Din?" tanya Ery sambil mencekak pinggang dan menjegilkan mata. Dia mendengus. Din hanya ketawa terbahak-bahak selepas mengiakan persoalan Ery tadi.

"Berani hang ekjas marka aku!" tempik Ery. Serentak dengan itu, Din 'dibelasah' oleh Ery dan Hairi. Din masih lagi ketawa kerana dia tahu belasah dari kawan-kawan sebiliknya itu hanyalah gurauan semata-mata.

Tiba-tiba telefon bimbit Ery, Din dan Hairi berbunyi dengan nada yang pendek secara serentak. Mereka berhenti. Masing-masing menatap telefon bimbit.

"Waaaahhh! Linda missed call aku nii..! Mesti Linda rindu kat aku ni! Confirm sangap ni!"

Din dan Hairi kelihatan terkejut. Mereka saling berpandangan. Din mengerutkan dahi. Hairi kehairanan, menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Awat (kenapa)?" soal Ery, bingung. Dia perasan akan perubahan kedua-dua oran rakan sebiliknya itu. Din dan Hairi terdiam seribu bahasg. Setelah berulang kali diajukan soalan yang sama oleh Ery dek kehairanan, Din membuka mulut.

"Errr.. Lin.. Linda pun.. miss.. missed call aku!"

Suara Din seperti tersekat-sekat di kerongkong. Kami terdiam serentak. Aku memandang ke arah Ery. Dia tersenyum. Mungkin dia tidak mempercayai kata-kata Din tadi.

"A.. Aku.. Aku pun!" kata Hairi pula memecahkan kesunyian.

"Hangpa tipu aku laaa..! Loqlaq la hangpa ni! Mana boleh Linda tu missed call kita tiga orang serentak! Gila? Hang nak menakutkan aku?" herdik Ery lantas dia duduk semula di lantai dan menyandar badannya yang melidi pada katil.

"Tidak, Ery. Betul ni!" tegas Din bersungguh.

"Ya, Ery! Betul! Tengok ni," kata Hairi pula sambil menghulurkan telefon bimbitnya.

Kami beramai-ramai duduk merapat. Kami perhatikan ketiga-tiga telefon bimbit yang berbeza. Aku tersentak. Jantung aku mula berdetak laju. Bulu roma berdiri tegak. Rasa meremang. Tengkuk rasa kembang semacam. Memang sah! Miss call dari Linda! Untuk kepastian, kami melihat nombor telefon yang tertera pada ketiga-tiga telefon bimbit tersebut. Sama! Nombor telefon Linda!

"Awat.. awat jadi lagu ni?!" Ery bersuara meninggi. Suaranya bergetar.

Kami saling berpandangan. Terpampang ketakutan di wajah masing-masing. Aku lihat tangan Din menggigil.

"Eh? Mana Johan?" tanya aku. Aku memandang sekeliling. Johan tiada di dalam bilik itu. Aku lihat pintu bilik luas terbuka. Johan sudah lari.

Keesokkannya, aku, Ery, Hairi, dan Johan pergi mencari Linda di kolej. Sebaik bersua, aku lihat Din ada bersama Linda di taman kolej. Tanpa membuang masa, Ery mengajukan seribu satu persoalan kepada Din dan Linda. Din hanya membatu dan membisu. Linda terpinga-pinga.

"Mana ada!" tegas Linda bersungguh. "Ya, memang Lin ada SMS dengan Din semalam. Tapi jujur ya Lin cakap. Lin tak miss call sesiapa pun semalam! Sumpah!"

Aku dan Ery berpandangan. Ery mula serba salah.

"Habis tu, awat nama hang naik pada handphone kami?"

"Mana la Lin tahu!" tegas Linda lagi. Kali ini Linda agak melenting.

"Baik. Lin ceritakn dari awal apa yang Lin buat semalam," kata Linda sambil menongkat dagunya. Linda menyambung kata-katanya, "Selepas Lin makan malam, Lin terus balik ke hostel. Sampai kat bilik, Lin capai homework dan handphone Lin. Lin berSMS dengan Din sambil buat homework sampailah homework Lin siap. Pastu, Lin baring atas katil. Lin SMS lagi dengan Din. Tapi tak lama sebab.. Lin terlelap!"

"Betul ke, Din?" soal Hairi pada Din.

Din mendongak dan matanya tertancap pada wajah tegas Hairi. Din mengiakan seraya mengangguk. Dia menunduk kemudiannya.

"Habis, 'Linda' mana yang buat 'one missed call' pada kami semua?"

Kami saling berpandangan. Mimik takut, hairan, dan gusar jelas terpamer di wajah masing-masing. Linda mulai tidak senang duduk kerana takut. Dia terus beredar beberapa minit kemudian.

Benakku masih memikirkan peristiwa semalam. Aku lihat di skrin telefon bimbit Ery, Hairi, dan Din. Ejaan nama Linda berbeza. Ery 'berbunga-bunga sedikit. Din mengeja 'Lin' sahaja. Manakala Hairi pula mengeja 'Linda'. Cuma yang pastinya, nombor Linda masih sama! 019-3******! Yang paling menyeramkan dan pelik, tarikh dan masa missed call dibuat adalah sama! Adalah menjadi suatu yang mustahil dan tidak munasabah bagi Linda membuat missed call kepada ketiga-tiga nombor yang berbeza serentak. Tambahan lagi, tempoh sela masa antara rekod terakhir mesej Linda dengan masa missed call adalah lebih 30 minit. Ini bermakna missed call dibuat semasa 30 minit Linda tertidur dan diulit mimpi!

Jika bukan Linda, siapa lagi yang berupaya membuat 'one missed call' pada malam itu?

Beberapa hari selepas kejadian itu, Ery, Hairi, dan Din nekad menukar nombor telefon bimbit mereka. Mereka juga tidak lagi menghubungi Linda. Johan pula begitu. Eh, apa kena mengena dengannya? Sebenarnya, Johan pun menaruh hati kepada gadis cantik idaman setiap lelaki itu. Dan malam itu juga, Johan mendapat ONE MISSED CALL dari Linda!

 

Blog Aduka Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger