Secara jujurnya sepanjang aku berblogging selama bertahun ini, hanya tiga kali aku menyertai contest atau pertandingan menerusi blog. Walhal jika kita perhatikan di setiap ceruk pikuk blog terdapat lebih kurang 10 contest dicipta setiap bulan termasuklah contest berbentuk esei, contest bergambar dan sebagainya. Sebanyak tiga kali ini, hanya dua contest yang aku sertai berbentuk esei.
Contest pertama aku sertai adalah contest yang dianjurkan oleh Khairil Afzal sewaktu ketika dahulu. Aku adalah pemenang utamanya. Walaupun aku menulis sewaktu mata mengantuk, kepala tengah berkhayal, tidak disangka juga esei tersebut menarik hati pembaca dan penganjur lantas memenangi tempat pertama contest esei bergambar tersebut. Maaf. Khairel Afzal atau Kriel sudah menukar domainnya dari blogspot ke wordpress. Pautan ke contest tersebut aku pun tidak tahu sudah pergi ke mana. Sudah delete agaknya. Namun esei aku masih tersimpan rapi. Anda boleh baca dengan klik di sini.
Contest kedua pula aku baru sertainya pada 22 Februari baru-baru ini. Contest teka-teki tapi malangnya aku kalah. Teka-tekinya mudah cuma memerlukan kekuatan pada slogannya sahaja. Mungkin aku lemah perihal mencipta slogan. Haha. Contest ini adalah anjuran Puan Zuliana. Jenguk blog beliau, langsung saja aku sertainya tanpa berfikir panjang.
Contest ketiga pula, anjuran oleh saudara joegrimjow. Sebenarnya pertama kali aku membaca contest dari beliau, buatkan aku pening. Baca berulang kali pun masih pening. Baca penyertaan dari peserta pertama hingga peserta kelima, masih juga pening. Pening kerana tidak ketemu sebarang klu atau idea. Contest beliau bertajuk 'Weekend@Sheffield'. Ada dua jenis tajuk di bawah contest yang sama iaitu 'True meaning of love' dan 'Unity through sportmanship'.
Secara jujurnya aku kurang bersukan, bukan tidak ada langsung. Cuma bila bercakap pasal sportmanship, aku jadi longlai. Ketandusan idea. Lagipun, apalah sangat aktiviti sukan aku selama ini? Badminton? Ping pong? Bowling? Futsal? Ah, aku buntu. Seterusnya aku menumpu ke tajuk lain.
Love.. Cinta..
Rumit sebenarnya. Masakan tidak. Selama 26 tahun aku hidup di dunia ini, samada aku tidak sedari, langsung tiada perkara manis mengenai cinta. Seperti pencinta-pencinta di luar sana. Ke taman bunga, panggung wayang bersama, berpegangan tangan.. oh tidak! Itu terlalu common bagi aku. Aku rasa bila diceritakan semua itu, mesti pembaca akan muntah! Yalah. Macamlah aku seorang saja di bumi ini yang berpegangan tangan, bercumbu sana sini, tengok wayang bersama.. Ah! Karut! Jadi bagaimana ceritanya yang harus aku cipta untuk menepati tajuk contest? Sekian lama berfikir dan ketandusan idea, aku bertekad untuk melepaskan..
"Maaf, Joe. Lain kali sajalah," bisik hatiku.
Suatu hari, aku terkenangkan bekas kekasih lama. Aku masuk bilik dan pegang gitar milik aku. Sewaktu itu, terlintaslah difikiran aku untuk menceritakan kisah kekasih hati aku ini. Untuk pengetahuan semua, kisah cinta aku dengan bekas kekasih aku ini tidak pernah aku ceritakan kepada sesiapa pun hatta di dalam blog ini juga. Kesannya cukup mendalam membuatkan aku cuba mengenepi dan menepis niat untuk bercerita. Mungkin sesetengah kawan yang rapat sahaja mengetahui kisah cinta aku itu. Maka, aku hidupkan komputer dan mula mengarang.
Sewaktu di akhir karangan kisah cinta aku, aku agak buntu untuk mencipta penutup cerita. Lantas aku simpankan cerita aku sebagai draft. Aku mengambil masa untuk blogwalk. Sehinggalah aku singgah di blog joegrimjow. Semasa singgah di blog beliau barulah aku teringat akan contest yang beliau anjurkan. MasyaAllah! Aku terlupa. Dan kebetulan pula cerita aku hampir-hampir kena dengan salah satu tajuk dalam contest beliau. Maka, dengan cepatnya aku cipta pengakhiran cerita dan terus backlink ke blog beliau. Nah, tertunai juga penyertaan aku di contest beliau!
Lewat petang tadi, aku mendapat mesej dari joegrimjow yang menyatakan pemenang contest beliau sudah diumumkan. Lantas aku terus ke blog beliau. Tanpa diduga setelah membaca keputusan pemenang, tempat pertama jatuh kepada aku! Agak terkejut dan teruja juga sebenarnya. Masakan artikel kisah cinta aku boleh menang? Inilah yang dinamakan rezeki dan nasib, bukan? Ya, memang aku akui artikel cinta aku itu lain dari yang lain. Oleh kerana lain dari yang lain, mungkin ceritanya tidak menarik sangat pun. Bukannya direct bercerita apa itu cinta. Sebaliknya apa yang kita dapat dari cinta. Huh, susah sebenarnya hendak beri penerangan terperinci. Baca sendiri artikel aku itu, ya? Klik sini.
Kepada joegrimjow, terima kasih aku ucapkan kerana mengisytihar aku sebagai pemenang. Sekiranya ada contest dari kamu lagi selepas ini, insyaAllah aku akan sertai. Itu pun jika ada idea. Terima kasih banyak-banyak.