Selepas 2 tahun berkahwin, Ani buat pertama kali disahkan mengandung. Namun dalam beberapa bulan kemudian Ani ditimpa kemalangan dan memaksa seorang doktor pakar menggugurkan bayi yang dikandung Ani. Rasa perit dan sedih hanya Allah s.w.t saja yang tahu. Oleh kerana terlalu sayangkan isterinya, Baha terpaksa mementingkan nyawa isterinya berbanding anaknya. Kata doktor, jika tidak digugurkan anak yang dikandung, risiko Ani untuk meninggal adalah sangat tinggi. Kata-kata doktor membuatkan berat badan Baha menyusut dek terlalu tertekan dan memikirkan nyawa isteri dan anaknya. Mahu atau tidak, Baha terpaksa. Lebih baik merelakan pemergian satu nyawa daripada dua nyawa. Biarlah anaknya yang belum lagi melihat alam maya ini, yang belum lagi mengenal siapa ibubapanya, yang masih suci bersih dari dosa noda, pergi buat selama-lamanya.
Klik spoiler ini untuk meneruskan bacaan..
Hari berganti minggu. Minggu berganti bulan. Bulan berganti tahun, bahkan.
Pelbagai usaha dan cara yang mereka lakukan, baik berubat secara moden mahupun tradisional. Ani tetap seperti itu. Tiada langsung tanda-tanda mahu mengandung. Muntah-muntah pun tiada kecuali sakit demam. Sebagai alternatif, Baha juga menjalani rawatan. Takut-takut dia sendiri bermasalah. Mandul atau sperma cepat mati. Dia pergi mengurut, memakan ubat dan sebagainya. Keputusannya tetap sama. Bertahun juga menunggu, tiada hasil.
Suatu hari, Ani menyuarakan untuk mengambil anak angkat sebagai penceria hari hidup mereka kepada suaminya, Baha.
"Abang. Apa kata kalau kita ambil anak angkat? Saya jemu la duduk sorang-sorang kat rumah. Ambil anak angkat sekurang-kurangnya, hilang sikit kesunyian saya ni," kata Ani kepada Baha. Baha yang ketika itu sedang senang berehat di beranda rumah sambil menghisap rokoknya. Dia menjeling sekejap ke arah isterinya yang duduk di tangga sambil tangannya memegang alang pintu.
"Abang bukan tak mahu, Ani. Tapi.. abang lebih suka kita dapat anak dari darah daging kita sendiri. Dari 'titik peluh kita sendiri'!" kata Baha disudahi dengan nada yang agak sinis.
"Abang ni! Orang cakap betul-betul, dia main-main pula!"
"Abang tak main-main, sayang. Abang lebih suka begitu. Bila orang tanya, abang bangga jawab 'inilah anak dari darah daging aku'!" balas Baha sambil memalingkan mukanya ke arah isterinya seraya tersenyum. Rokok dicelah jari tangan kanannya yang berbaki pendek, dibuangnya di laman.
"Tapi, bang.. kan doktor sudah cakap Ani tak boleh mengandung lagi. Ani sudah tak mampu nak lahirkan anak, bang," kata Ani.
"Itu kata doktor! Doktor bukannya dewa atau tuhan! Kita perlu usaha lagi. Kalau ada rezeki, adalah. Mesti usaha!" tegas Baha. Dia berdiri sambil menghadap dirinya ke arah laman rumah. Dia merenung jauh ke seberang jalan di hadapan rumahnya. Ani diam. Dia faham benar fiil suaminya itu. Keras kepala dan tegas. Kalau hitam, hitamlah katanya. Jika putih, putihlah pilihnya.
"Habis, mahu buat apa lagi, bang? Doktor dah jumpa. Bomoh dah jumpa. Ubat, dah macam-macam jenis ditelan.. agaknya darah Ani ni dah pahit macam ubat juga," keluh Ani. Baha ketawa kecil dengan kata-kata isterinya.
"Abang pun tak tahu," kata Baha. kata-kata itu menaikkan darah Ani. Ani mencebik muka.
"Kita terima je la tawaran keluarga Wong tu, bang," syor Ani.
"Wong? Wong mana?" soal Baha, kehairanan. Dia mengerutkan muka, berfikir. Dia keliru akan nama yang disebut oleh isterinya tadi. Seperti pernah didengari nama itu. Namun otaknya yang berbalut tengkorak bersalut rambut yang kian beruban itu seperti berkarat. Berputar-putar diimbau ingatnya, mana satu Wong. Wong Ah Kan, teman berkebun? Wong Tat Siew, taukeh besi? Wong.. ah! Lupa!
"Alah, abang ni. Wong yang tinggal dekat dengan kaki bukit tu," kata Ani, cuba mengingatkan Baha. Baha mengerutkan dahi. Jelas kelihatan kedutan-kedutan berlapis-lapis di dahinya.
"Oh, Wong itu! Kenapa? Dia mahu bagi anak dia kat kita ke?" soal Baha.
"Hari itu, Ani serempak diorang dekat pekan. Ani bersembanglah. Dia tawar kat Ani, anak dia seorang. Comel, bang. Lagipun anak-anak dia dah ramai. Mereka pun bukannya orang senang, bang. Apa la sangat kerja laki dia tu sebagai tukang paip!"
"Ya, abang tahu. Tapi.. anak cina, Ani oi. Tak mahulah."
"Hish, abang ni! Orang dah nak bagi, abang pula tolak rezeki!"
"Bukan tolak rezeki, Ani. Susahlah ambil anak angkat. Buatnya mak bapak dia tuntut balik? Habis kita!"
Kata-kata Baha membuatkan Ani terdiam. Mahu diiyakan pun salah, disangkal pun salah. Serba salah. Ani merenung lantai lama-lama.
"Sudahlah, Ani. Terima sajalah suratan takdir. Redha. Teruskan usaha," kata Baha setelah berdiam seketika.
"Ani tak laratlah bersabar, bang," rungut Ani.
"Jangan risau. Semalam abang ke pekan. Abang ada beli satu ubat. Kata orang, ubat ni mujarab sangat. Ramai orang puas hati bila guna," kata Baha.
"Puas hati? Dapat zuriat, ya bang?" tanya Ani, teruja. "Ubat apa, bang?"
"Tak tahu. Sekejap. Abang pegi ambil kat dalam bilik," kata Baha. Dia tergesa-gesa ke kamarnya. Dia mengambil satu botol kecil di dalam laci almari. Kemudian dia mendapatkan kembali isterinya di beranda.
"Ini!" kata Baha sambil menghulurkan sebotol ubat kepada Ani. Ani membelek-belek botol kecil itu.
"V.. Vi.. Via.. Via.. Gra! Viagra!" kata Ani.
"Apa tu? Nama ubatnya, ya?" soal Baha seperti orang bodoh.
"Abang!" jerit Ani sambil mencekak pinggangnya. Baha tersentak.
"Err.. A.. Apa, sayang? Ke.. kenapa tiba-tiba.." Belum pun Baha menyudahkan kata-katanya, Ani menyampuk terlebih dahulu.
"Viagra ni ubat untuk abang! Bukan untuk Ani!" tempik Ani, marah. Jelas merah padam mukanya.
"Yalah. Untuk abanglah. Bagi subur sikit," balas Baha sambil tersengih.
"Eiii..! Bukan subur, bang! Ni nak bagi 'naik temperature abang'! Abang tu dah tua! Geram!" kata Ani sambil jarinya mencubit-cubit peha Baha. Baha terlompat terjerit kerana sakit.
12 Januari, tahun 2010.
Waktu itu sudah larut malam. Ani baru saja selesai membaca Al-Quran. Dia duduk dibirai katil dan bersiap-siap untuk tidur. Baha pula baru saja selesai mandi. Dia pulang agak lewat kerana sibuk di ofis taukehnya.
"Ani," tegur Baha kepada isterinya, Ani. "Pagi tadi semasa di ofis, abang ada terbaca satu artikel di surat khabar. Ceritanya fasal satu pasangan tu dapat anak setelah berusaha lebih dari 20 tahun!"
"Hah? 20 tahun? Lama tu! Apa ceritanya, bang? Macam mana dia buat?" tanya Ani bertalu-talu. Dia kelihatan teruja.
"Pasangan tu pasangan cina, sayang," kata Baha tanpa melanjutkan cerita yang dibacanya di surat khabar. Ani hanya mengangguk. Dia merenung betul-betul mata suaminya. Dia menanti lagi cerita yang bakal keluar dari mulut Baha.
"Ani masih datang bulan tak?" Soalan Baha membuatkan Ani tersentak.
"Yalah. Kenapa?" soal Ani kembali sambil berkerut muka. Hairan.. dia hairan dengan soalan tiba-tiba begitu dari Baha.
"Sedang datang bulan?" soal Baha lagi.
"Ya!" Baha tersenyum. Kemudian, dia duduk di sebelah isterinya, Ani. Dia memaut bahu isterinya.
"Sambung cerita tadi. Pasangan tu sudah puas berusaha. Doktor jumpa dah. Bomoh jumpa dah. Duit ribu-ribu habis. Buat itu, tak kena. Buat ini, tak kena. Macam-macam sampai isterinya pun dah muak dan jemu ke hulu ke hilir cari orang yang pandai berubat. Nak dijadikan cerita, kawan si isteri ni baru pulang dari Perancis. Kawan dia ni datang la rumah dengan anak dan laki dia. Ramai anak dia. Bila ditanya, terkejutlah kawannya ni fasal si isteri belum ada anak walaupun 20 tahun kahwin!" cerita Baha panjang lebar.
"Lagi, bang?" soal Ani.
"Kemudian kawan dia ni pernah dengar cerita yang pasangan berkahwin 5 tahun tiada anak, dapat anak setelah amal satu petua. Kawan dia ni pun bagitahulah pasangan suami isteri ni fasal petua tu. Dipendekkan cerita, pasangan suami isteri ni pun ikut la petua tu. Setahun lebih mencuba tanpa putus asa, akhirnya si isteri disahkan mengandung! Punya la gembira si suami dia. Sampai pengsan dalam klinik!"
Mereka berdua ketawa.
"Apa tipsnya, bang? Jomlah kita amalkan. Manalah tahu, Allah kurniakan rezeki anak kepada kita. Betul tak, bang?" kata Ani. Baha tersenyum.
"Ya, sayang. Mana tahu, kan? Kot, kot kita dapat anak. Abang tak kisah dah anak lelaki mahupun perempuan. Asalkan ada zuriat!" tegas Baha.
"Tau, bang. Habis, apa tipsnya?"
Baha kemudian merapatkan bibirnya ke telinga Ani. Dia membisikkan sesuatu. Ani seakan tersentak. Dia menjerit.
"Abang! Gila ke?! Mana boleh!"
Baha terlompat. Dia berganjak ke belakang, jauh sedikit dari isterinya yang naik angin.
"Kenapa tak boleh? Haih! Mana tahu kita dapat anak, yang!" tempik Baha sambil menepis-nepis tangan isterinya yang cuba mencubitnya.
"Seks semasa haid tu haram, bang! Pasangan tu kafir, tahu apa dosa pahala! Geram!"
Pada malam itu, Baha dihambat tidur diluar oleh Ani. Kasihan Baha.
2 April, tahun 2010.
Baha dan Ani baru sahaja selesai makan tengahari. Hari itu Baha bercuti sakit. Dia demam. Selesai makan, mereka bersembang di dapur. Ani pula sambil bersembang sambil mengemas dapur. Mereka berbual fasal zuriat.
"Kalaulah Ani ada anak perempuan ni bang.. alangkah seronoknya," kata Ani. Baha hanya terdiam. Dia merenung di dalam cawan air tehnya yang panas berwap. Kelihatan wap panas itu terbang melayang lambat ke atas dan hilang di udara. Sesekali Baha meniup-niup wap panas itu.
"Ada anak perempuan, boleh juga tolong Ani di dapur ni, temankan Ani pegi pasar, temankan Ani bersembang semasa abang pergi kerja.. seronok!" kata Ani. "Apa kata kita ambil anak angkat yang sudah dewasa, ya bang? Molek juga, kan?"
"Anak perempuan mana yang sanggup, sayang. Dari mereka duduk dengan awak, baik mereka kerja. Lagi dapat fulus!" canggah Baha seraya ketawa sinis.
"Abang asyik cakap fasal duit. Duit, duit, duit!" marah Ani.
"Tak payahlah. Abang tahu macam mana nak selesaikan masalah kita ni secara aman dan seronok!" kata Baha.
"Hah, macam mana? Kalau abang cakap fasal seks semasa haid, abang makan ni!" kata Ani sambil menunjukkan batu lesung kepada Baha.
"Eh, bukan! Yang ini lagi perfect! Lagi bernas! Lagi seronok!" tegas Baha.
"Macam mana?"
"Izinkan abang nikah lagi satu!"
Baha bingkas bangkit dan berjalan laju keluar ke beranda rumah.
"Patut la bernas! Patut la seronok! Gatal mahu kahwin dua ya! Tua tak sedar diri!" tempik Ani dari dapur. Baha ketawa besar.
Sebulan kemudian, Baha mengambil anak angkat. Itu pun setelah dipaksa oleh isterinya, Ani. Bukan anak Wong. Bukan anak cina. Tapi anak orang asli yang kematian ibubapa dalam kebakaran hutan.
Update! Dayah: Memang aku gatal! Haha.