Ads: (Please Click!)

Tuesday, August 18, 2009

Aku sayang Tokwan


Petang itu aku pulang lewat ke hostel. Kelas dari awal pagi dan terus menerus hingga ke petang dengan hanya diselangi rehat selama 15 minit, membuatkan aku sedikit keletihan. Pulang ke hostel pula dengan berjalan kaki kira-kira hampir 2 kilometer. Entah kenapa pada hari itu, fikiran aku seolah-olah terganggu dan runsing. Entah apa yang bermain dibenak fikiran aku pun sendiri tidak pasti. Kerana itu, segala perkara yang aku lakukan menjadi serba tidak kena. Sehinggakan perbualan aku dengan kawan-kawan tidak menepati topik. Aktiviti kurikulum tergendala. Interaksi di dalam kelas sedikit merosot.

Selesai menunaikan solat Asar, aku mendapat panggilan telefon daripada ayah aku. Suara serak basah ayahku sedikit berbeza dari kebiasaan. Aku terkesima namun aku berbual seperti biasa. Tetapi aku tidak menyangka bahawa panggilan tersebut memberi satu perkhabaran yang tidak menggembirakan hati aku. Di akhir perbualan, aku rasakan seolah-olah jantungku hendak gugur jatuh ke bumi.

Klik spoiler ini untuk meneruskan bacaan..

"Tiket bas pukul berapa paling awal?" tanya ayahku.

"Tak pasti," jawab aku ringkas. "Kenapa?"

"Boleh tak pergi tengok tiket bas terawal sekarang?" arah ayahku. "Kalau ada paling awal dari sekarang, terus beli. Balik kampung sekarang," sambung kata ayahku.

Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Arahan ayah aku sedikit membuatkan aku kehairanan. "Kenapa ayah?" aku bertanya lagi. Ingin mengorek perihal yang sebenarnya. Ayahku terdiam seketika. Setelah diasak-asak dengan soalan yang sama, akhirnya ayah aku menjawab.

"Bukan ayah tak mahu bagitahu. Tapi ayah tak mahu fikiran mu terganggu," kata ayahku.

"Kenapa? Sebab apa?"

"Begini.. Erm.. Tapi ayah harap mu jangan terkejut dan.. Sudah sampai masa DIA pergi.. jadi.."

"HAH?! DIA?! Siapa, ayah?!" tanya aku dengan suara sedikit meninggi. Ayah aku terdiam kembali. Kemudian ayah cuba memujuk aku dengan kata-kata yang lembut.

"Bawa bersabar dan mengucap, ya. Tokwan dah tak ada. Dah meninggal malam tadi!"

"TOKWAN?!"

Aku terdiam seribu bahasa. Di akhir panggilan itu juga, ayah aku meminta berkali-kali untuk aku pulang ke kampung. Aku menekan punat merah pada telefon bimbit. Arahan untuk 'pulang ke kampung' oleh ayah aku membuatkan aku kelam kabut. Air mata mula ingin mengalir namun aku cuba bertahan dengan paksa. Rakan sebilik aku cuba membantu aku. Dengan bergegas aku dan seorang rakan sebilikku ke bandar Kota Bharu untuk mendapatkan sekeping tiket ke Kemaman. Malangnya, tiket petang semuanya habis. Hanya tinggal tiket sebelah malamnya.

**********

Cuaca lewat malam sedikit terasa dingin. Hembusan lembut angin kipas menggerak-gerakkan kain penghadang dan langsir yang sedia tergantung. Tangan aku mengusap-usap dahi jasad yang terbaring kaku di hadapan. Kain putih yang membalut dan sedikit bau yang kurang enak. Aku menguis semut yang merayap di kain yang membaluti jasad itu. Bibir aku tidak putus membacakan surah Yassin. Tangan kanan ku pula memegang kitabnya yang berwarna kuning. Suara aku diselang selikan dengan lunakan suara adik aku membaca surah. Kepala aku sedikit pening kerana tidak cukup tidur. Fikiran berserabut. Emosi terganggu. Benak aku pula mengimbau peristiwa lampau.

"Mak! Nak 2 ringgit. Isi minyak," kata aku kepada mak. Mak tidak cakap banyak, terus saja menghulurkan not 1 ringgit 2 keping. "Bawa moto elok-elok," pesan mak aku. Aku hanya menganggukkan kepala.

Aku menghidupkan enjin motosikal. Banyak kali. Agak sukar untuk menghidupkan motosikal kerana enjinnya masih sejuk. Tambah pula pagi itu cuaca agak sejuk. Sudahlah motosikal 2 lejang. Agak cerewet. Tiba-tiba aku disapa dari arah kanan. Aku sedikit tersentak.

"Dah nak pegi sekolah?"

"Ya, Tokwan," jawab aku ringkas. Aku melontarkan senyuman pagi. Tokwan membuka pintu dapurnya luas-luas tanpa memandang ke arah aku. "Ah, tak perasan pula Tokwan. Susah-susah je aku senyum!" bisik hati aku.

Aku menghidupkan lagi motosikal. Setelah enjin dihidupkan, Tokwan menghulurkan sesuatu kepadaku. Kertas berwarna hijau.

"5 ringgit?" soal aku. Aku tersenyum, gembira. "Banyaknya Tokwan. Biasanya 2 ringgit je," kata aku.

"Guna sajalah..! Tokwan ada duit lebih. Tokwan bagilah kat cucu Tokwan yang nak sekolah. Kalau lebih, simpan sajalah," jawab Tokwan ringkas. Aku tersengih. Selepas bersalaman dengan Tokwan, aku terus bertolak ke sekolah. Sempat juga Tokwan menasihati aku untuk belajar rajin-rajin untuk peperiksaan SPM nanti...

Aku membimbit buku sekolah dan nota-nota. Aku berjalan laju ke rumah Tokwan. Aku masuk menerusi pintu dapur, keluar ke arah pintu dapur kedua, dan duduk di meja luar rumah. Aku meletakkan buku-buku di atas meja. Aku pergi ke tempayan Tokwan dan membasuh muka. "Hari ini aku mesti rajin! Yeah!" jerit aku keseorangan. Aku kembali ke meja dan terus mengulang kaji pelajaran. Begitulah rutin harian aku setelah pulang dari sekolah. Memandangkan peperiksaan SPM sudah hampir, aku banyak menghabiskan masa di rumah Tokwan untuk mengulangkaji pelajaran. Lagipun rumah Tokwan sunyi, tiada sesiapa. Tokwan tinggal keseorangan di rumah pusaka datuk aku. Mujurlah rumah aku bersebelahan saja dengan rumah Tokwan.

Beberapa minit kemudian, aku ternampak Tokwan berjalan dari jalan seberang dan terus ke pagar rumah Tokwan. Aku lihat di kiri kanan tangannya menjinjing beg plastik yang penuh dengan sayur-sayuran.

"Tokwan! Tokwan dari mana?" tanya aku. Aku lihat Tokwan menuruni tangga dan masuk ke dalam rumah menerusi pintu dapur kedua.

"Dari pasar!" jawab Tokwan dan diteruskan dengan kata-kata yang aku tidak fahami. Dia membebel. Menerusi bibit-bibit katanya, seolah-olah dia membebel pasar itu jauh dari rumah, cuaca panas, lutut sakit, dan sebagainya. Ya.. aku lihat Tokwan duduk dan mengurut-urut lututnya. Lenguh dan sakit, katanya. Tudung yang dipakainya tadi dicampak di atas kerusi, dekat dengan aku.

"Kenapa tak pergi dengan ayah?" tanya aku.

"Huh! Ayah kau tu.. sibuk menukang aje kerjanya.. harapkan adik kau, adik kau pula tak balik-balik sekolah lagi. Huh.. sakit.." keluh Tokwan panjang dan diteruskan membebel. Tangannya masih mengurut lututnya.

"Ala.. ayah suruh Tokwan bersenam je tu!" kata aku sambil ketawa. Tokwan marah tapi akhirnya ketawa juga.

Ada satu peristiwa dan kata-katanya sehingga kini tidak akan aku lupakan..

Aku merajuk pada petang itu. Aku bergaduh dengan adik. Entah tentang perkara apa. Aku membebel dan marah-marah di hadapan Tokwan. Aku sedikit mengamuk.

"Sudah-sudahlah.. tak baik marah-marah camtu.." pujuk Tokwan sambil mengurut-urut lututnya.

"Huh! Tak suka kat adik!" kata aku. "Tokwan pun mesti tak suka adik! Mesti!" hasut aku kepada Tokwan.

"Mana boleh macam tu.. sudah, sudah! Nanti jangan harap Tokwan nak bagi duit sekolah lagi, " ugut Tokwan pula. Ugutan tersebut membuatkan aku terdiam. Aku merenung ke tanah. Tokwan bangun dan merapati aku. Dia mengusap-usap kepala aku seraya berkata, "Tokwan sayang semua cucu-cucu Tokwan.. Tak kira siapa pun." Aku mendongak menatap wajah Tokwan yang berkedut. Terpancar cahaya senyuman terukir diwajahnya. Senyuman itu membuatkan aku tenang. Lantas aku memeluk Tokwan..

Pagi itu orang ramai di rumah Tokwan. Aku sedikit rimas dan duduk di pangkin yang disediakan di luar rumah Tokwan. Aku mengesat peluh yang mula jatuh ke muka. Aku menunduk ke bumi dan aku memanjatkan doa. Aku mengeluh berat setelah mengaminkan doa di dalam hati. Kenangan demi kenangan terlintas dikotak fikiran aku. Kalaulah waktu itu aku berada di kampung. Alangkah bahagianya aku jika aku sempat mencium tangannya. Alangkah seronoknya jika bersamanya menonton cerita-cerita P Ramlee yang menjadi kesukaannya. Alangkah sedapnya lidah ini merasa segala keropok dan pelbagai jenis pengat yang dibuat sendiri olehnya. Ah, kenapa perlu aku ingat semua itu. Aku rasakan dadaku sebak.

Tiba-tiba aku rasakan bahu aku ditepuk dari belakang. Aku menoleh.

"Abang. Arwah dah nak mula diusung ke kubur. Marilah," pelawa adikku. Aku hanya mengangguk. Aku bangun perlahan. Aku melangkah menuju ke arah orang ramai yang mengusung. Aku berdiri dari belakang tanpa melihat ke depan.

"Al-Fatihah!"

**********

Aku melihat dari jauh kubur Tokwan. Tanah yang merah dan lembut menyedapkan hati aku. Dan seraya aku berbisik, "Tokwan.. bersemadilah Tokwan bersama To'ki di sana.. moga tuhan menempatkan Tokwan bersama dan To'ki bersama orang-orang yang beriman. Kami semua akan hadiahkan doa untuk kebahagiaan Tokwan di sana.."

Malam tersebut, aku tidak dapat tidur. Wajah Tokwan, gurauan Tokwan, nasihat Tokwan, dan segala-galanya fasal Tokwan bermain diminda. Tanpa aku sedar, air mata aku mengalir. Lama kelamaan, makin laju. Hingga aku teresak-esak. Aku bersedih kerana Tokwan tidak dapat menikmati rumah baru yang ayah dan aku adik beradik bina sama-sama.

"Bingkai tingkap rumah ni la Tokwan selalu tengok ayah buat," kata ayah, pada suatu petang. "Tokwan tak tanya ayah lebih-lebih. Sebab Tokwan tahu ayah akan marah dia," sambung ayah lagi. Mata aku berkelip-kelip mendengar cerita ayah. Tekun. Ayah mencucuh rokok daunnya lantas dihisap rokok itu dalam-dalam. Kemudian, ayah termenung seketika.

"Tokwan ada bertanya kat ayah sekali, 'Banyak bingkai? Nak buat apa?' Ayah jawab, 'Nak buat rumahlah! Rumah baru!' Tokwan diam. Selepas itu Tokwan tanya lagi, 'Bilik untuk Tokwan ada tak?' Ayah tak jawab. Ayah diam saja," cerita ayah aku panjang lebar.

"Kenapa ayah tak jawab?" tanya aku. Ayah aku terdiam. Dia termenung. Mak aku pun terdiam juga.

"Untuk pengetahuan kau, bilik kau duduk sekarang ni adalah bilik Tokwan!" kata ayah aku. Aku tersentak. Aku menunduk, memandang lantai rumah. Hati aku tiba-tiba terasa sebak. Alangkah bertuahnya aku. Hanya kebetulan aku dapat bilik yang sepatutnya diduduki oleh Tokwan. Aku mengesat mata cepat-cepat. Ayah aku tidak menghirau. Dia diam saja. Ayah mengeluh berat, seraya berkata, "Tak sempat Tokwan kau duduk rumah ni. Hajat dan keinginannya tak kesampaian."

**********

Kini, sudah 3 tahun berlalu. Aku pun sudah habis belajar. Dan aku pun sudah dewasa. Hari Raya Aidilfitri tahun lepas aku sempat ke kubur Tokwan. Alhamdulillah.. sejuk mata aku memandang kubur Tokwan. Bersih. Seolah-olah ada orang menjaganya. Keluarga kami yang sibuk, langsung tidak ke kubur Tokwan pada hari-hari lainnya. Pada hari raya begini sajalah kami berpeluang ke kubur Tokwan. Maafkan kami, Tokwan. Walaupun begitu, kami semua tidak akan lupakan Tokwan.

Apa yang menyedihkan aku bila kenangan bersama Tokwan sentiasa bermain di kotak fikiran aku. Ya.. aku memang rapat dengan Tokwan dahulu. Adik aku pun begitu juga.

Nenek aku, Tokwan, meninggal pada malam hari Nisfu Syaaban, 3 tahun yang lepas. Dalam keluarga, dia adalah ahli keluarga yang tertua. Selepas kehilangannya, kami sedikit terasa. Namun aku bersyukur. Pemergiannya pada malam yang baik, hari yang baik, sedikit melegakan hati aku. Ayah dan mak sudah memujuk. Aku menerima dengan hati yang terbuka. Setiap yang hidup pasti akan mati...

Allahyarhamah Chik binti Salleh (Tokwan - duduk)

Tokwan..

Walaupun sudah 3 tahun berlalu, wajah Tokwan tidak pernah luput dari ingatan saya. Gambar di atas, adalah salah satu gambar yang selalu saya tatap. Saya sembunyikan dari pengetahuan ayah dan mak. Ayah dan mak larang saya menatap. Dosa, kata mereka. Ya, saya tahu berdosa. Tapi.. saya rindu sangat-sangat kat Tokwan..

Tokwan..

Saya menulis entry ini dengan linangan air mata. Bukannya apa. Setiap kali Ramadhan menjelma, saya teringatkan Tokwan. Lebih-lebih lagi pada malam Nisfu Syaaban. Baru-baru ini saya tidak ke surau seperti tahun-tahun yang lepas. Saya mengaku saya tidak mampu, Tokwan. Saya tak mampu hendak bangun dan gagahkan diri ke surau. Saya amat sebak, Tokwan..

Tokwan..

Saya masih pegang lagi duit RM 1 kertas lama pemberian Tokwan. Kawan suruh jual. Katanya, ia mampu dijual dengan harga yang tinggi. Tapi saya enggan. Dengan duit ini saja yang boleh saya kenangkan diri Tokwan. Saya sayang Tokwan. Dulu, saya ke sekolah Tokwan selalu bagi duit. Saya dah besar pun Tokwan tak kisah. Tokwan tetap beri. Saya kata saya malu, Tokwan ketawa. Bila Tokwan kata Tokwan sakit belakang, saya pijak belakang Tokwan sampai Tokwan tak sedar Tokwan tertidur. Tokwan ingat tak? Mesti ingat, bukan? Saya tahu ingatan Tokwan sangat kuat. Dulu pernah Tokwan marah dan jerkah pada saya. Hinggakan hampir seminggu saya tidak ke rumah Tokwan. Saya merajuk. Tapi Tokwan pujuk saya dengan membeli ais krim kotak besar. Saya termakan pujuk. Saya amat rindukan Tokwan..

Tokwan..

Saya tak mampu menaip lagi. Dada saya sebak. Mata saya dah berair. Izinkan saya berhenti di sini. Tidak mampu saya mengingati lagi kenangan bersama Tokwan. Semoga Tokwan bahagia di sana.. Amin..

PERHATIAN! Aktiviti PLAGIAT (copy & paste) sesuatu artikel tanpa pengetahuan dan kebenaran penulis adalah satu aktiviti/perbuatan yang TIDAK BERMORAL!

Ads: (Please Click!)
Comments
28 Comments


28 Orang Kentut Madu:

iKa said... [Reply]

alaaaaaaaaa cedeyyynyeee..
nak nangessss!!
nak nangesss!!!
uhuhu..
al-fatihah wat tokwan..
ika cyg tokwan...
=)

Unknown said... [Reply]

alfatihah utk tokwan..bertuah tokwan mempunyai cucu seperti aduka.

DilOt said... [Reply]

sebak aku bace entri ko kali ni...

aku phm perasaan ko mcm mane...sbb aku pun tinggal dengan arwah atuk aku...


rindu...31 ogos ni tarikh arwah atuk pompuan aku meninggal...

Kapten Luffy said... [Reply]

al fatihah untuk tokwan kamu

Hafiz Hamid said... [Reply]

semoga arwah ditempatkan di kalangan org2 yg beriman...Aminn..

.millalara. said... [Reply]

al-fatihah buat arwah tok wan kamu.. hmm,, hargailah setiap kenangan kerana kenangan itu mbuatkan kita lebih dekat dengan arwah =)

be strong ya!

ceksumolek's said... [Reply]

sudah selamat dibaca..
sangat sedih..

sowi kalo komen sumi terlampau pjg.. just nk share sket cite sumi.. harap bersabar ketika membaca..

sumi pun penah kehilangan org tersayang which is my only brother yg sumi ade.. bulan tujuh ritu genap 1thn pmergian dia..

dia pergi pun scra mngejut..
sebab eksiden masa otw blk dari tusyen.. form 5 nk SPM..

4 julai 08 besday mami..
kejadian jadik 3days after sumi n arwah celebrate besday mami.. (kebetulan hari mgu sumi blk umah..time tu study lagi)
kitorg wat sprais.. arwah sndri yg belikan kek hari jadi utk mami..

masa nk sepraiskan mami, sumi konon kuar umah ckp kat mami ade mmber dtg.. than sumi kuar.. arwah tgu luar pintu kitorg pasng lilin than sumi call mami..

tau ape arwah suro ckp kat mami nk suro mami bukak pintu?? arwah suro sumi gitau mami cepat bukak pintu yg arwah eksiden (masa tu aisumi terkedu dah rasa smthing pelik)
tp sumi ignore je..

kitorg xpenah amik gmbar 1family.. tp mlm tu arwah beria2 nk amik gmbar 1fmly.. (pun sumi rasa smthing tp just ignore)

hari ahad mcm biasa lah sumi kena blk ke kolej smula.. slalunye kalo sumi nk blk kolej arwah xde kat umah.. kuar ngan kwn2 tp xhari tu..
dia dlm bilik masa sumi nk bertolak.. sumi panggil dia ckp nk blk kolej dah.. dia wat xtau jerk.. mcm xkasik blk.. byk kali sumi panggil baru dia nyahut.. that was teh last time dia salam sumi n cium tgn..
(sambil nangis sumi menaip nih)

7hb julai 08 (isnin)
mlm tu mcm biasa sumi ngadap pc sambil buat asgmnt.. than trasa letih sgt2 sumi baring kat katil lbey kurang kul 10lbey.. sumi dpt msj dri spupu tnya tgh buat apa..
sumi jwb mcm biasa xde pape yg jadik.. (ade curiga sket sbb xpnah2 msj) kmudian tertido..
skali dlm kul 11lbey ade org ketuk pintu bilik.. tgk2 kazen dtg hostel sambil cepat2 ajk g hostpital.. (dlm keadaan mata ngantok xbrapa nk sedar sumi cpt2 la nk ikut dia blk) than kazen jerit2 ajk cepat g hospital.. mula2 sumi ingat dia kena rape sbb keadaan kazen sumi masa tu pun mcm serabai smcm.. (sumi still blur2)
lpas turun dari tangga hostel sumi mcm dah sedar.. terngiang2 kazen ckp FARIS dah XDAK!! dia eksiden!! astaga masa tu xtau nak ckp mcmne sumi nyer jantung terhenti seketika n sumi lemah lutut hampi2 pengsan.. sepanjang pejalanan g hostpital tu sumi nangis.. mcm xpcya apa yg jadik.. (sumi n arwah rapat + 2bradik je..) mmg trasa sgt..

smpai hospital sumi trus ke bilik mayat.. tgk arwah.. walaupun dia eksiden tp xde sket pun calar masa tu sumi tgk.. mcm dia tgh tido je.. mata pejam.. sumi letak tgn sumi ats dahi dia.. panas lagi.. still sumi xpcya bhwa arwh dah xde..

esoknye masa hari kebumi.. sumi ikut sampai ke kubur.. masa dorg masukkan jenazah di liang lahad baru aisumi mcm tersedar bhwa arwah btul2 dah xde.. sumi xnangis masa kebumi.. sumi cuba tahan dari nangis.. sumi kena kuat.. sumi kena support mami.. tu yg ramai nasihat kat sumi.. itu yg sumi buat.. redha dgn pemergian dia..
smpai skrg hari2 sumi 1fmly akn ke kubur arwah.. tenang ati bile ke sana..


sama2 kita sedekah al-fatihah buat insan yg kita syg..

amin..

[berlinangan air mata.. rindu pada arwah]

Aduka said... [Reply]

ika:
jangan nanges2 ye nek.. nek ika nanges, cedey..pakcik lagi cedey.. =(

Aduka said... [Reply]

kak syahadah:
terima kasih kak..
al-fatihah..

Aduka said... [Reply]

dilot:
takziah..
terima kasih sbb faham..

Aduka said... [Reply]

pakcik luffy:
terima kasih..

Aduka said... [Reply]

hafiz hamid:
selamat datang sy ucapkan..
dan terima kasih sebab sudi membaca dan komen..

Aduka said... [Reply]

babymilosh:
ok..sy dh ok skrg..smlm berlinang gak air mata..
anyway..thanks k..

Aduka said... [Reply]

sumi:
sabarlah.. yang hidup pasti akan mati..
kalu x kerana pepatah ni, sy dh 'gile'..
dan.. nice story dari kamu juga walaupn cerita dlm ruangan komen sy..
sedekahkan al-fatihah dan doa utk arwah adik kamu..
insyaAllah..
terima kasih sekali lagi..

ceksumolek's said... [Reply]

kisah benar..
kite sama2 mngalaminya..

mesti aduka paham kan? :)
sama2.. aisumi share apa yg aisumi alami sama mcm aduka jugak..

Aduka said... [Reply]

sumi:
ye sy fhm cik sumi..
kita sama2 merasakan akan kehilangan org yg tersayang, kan?
apa boleh kita buat?
sudah takdir penentu segalanya..

ops! lupa..
terima kasih sbb share story cik sumi k..

=)

wan wma said... [Reply]

Tidak tahu nak kata apa...cuma Al-Fatihah dapat ku kirimkan...

Aduka said... [Reply]

wanwma:
selamat datang..
dan terima kasih..

=)

Ivy Metaga said... [Reply]

hurmm..mmg sedih bila berpisah dgn org yg kita syg...
tapi tiap yg hidup pasti akan kembali juga ke tempat asalnya...

moga aduka sentiasa ceria k...=)

selamat menyambut bulan puasa yer, lama lah tak chat dgn aduka kat chat box tu hehehe...
nah lagu rindu serindu rindu nya...hahahaa

Aduka said... [Reply]

ivy:
terima kasih byk2..
huhu.. sy pn rindu juga..
tapi.. apa nk buat kan..
nnti lah sy kje balik then kite chat..
hehe..

thanks sbb bg support jugak..
=)

Scha Abdllh said... [Reply]

Menitis air mata aku baca entri ni..
Walaupun tak pernah merasa kasih sayang dari tokwan @ to'ki..
tp aku faham perasaan kasih syg itu spertimn kasih syg trhadap ibu bpa.

al-fatihah untuk tokwan..

salam ramadhan kareem :)

oney said... [Reply]

salam.
nenek saya meninggal jumaat, 20.07.2007 11.45 pagi.
dan saya org akhir yg tau..
awal2 tu mmg takk boleh terima kenyataan.
dan sampai sekarang, klu tringat sgt,
mst brlinang air mata.. teresak-esak.
bila nenek dah xda, hidup rasa kosong sgt
dia yg jaga n didik dari kecik saya sbb parents kerja..
dulu rasa bangga sgt cerita dgn kawan2 pasal nenek..
sekarang dahh xda. kosong.
bila ramadhan dah dekat,
rasa sayu sgt..
bila syawal dah tiba,
sunyi jaa..

apa-apa pun.
yg hidup pasti akan mati.
cuma x pasti cepat atau lewat.
kita yg masih hidup mesti teruskn kehidupan.
nenek pn mesti x nak tengok cucunya sedih mcm ni kan.

tabahlah.
cerita kita lebih kurang jaa. :(

al-fatihah untuk mereka.

Aduka said... [Reply]

sya:
terima kasih sya..
salam ramadhan juga..

=)

Aduka said... [Reply]

oney:
selamat datang oney..

al-fatihah utk nenek kamu juga..
=)

sugar said... [Reply]

kenapa awak suro saya baca entry ni....huhu...kan saya da nanges daa.

saya bukan sorang yg mudah menanges tanpa sebab.makteh meninggal pon...saya cool lagi.mungkin dah terbiasa kehilangan ibu-saudara/bapa-saudara yang rapat.

anyway...takziah utk awak sekeluarga.even da terlambat.
semoga mereka ditempatkan di kalangan orang2 yang beriman.

Aduka said... [Reply]

sugar:
sila nanges sama2..

Rara. said... [Reply]

al-fatihah untuk tokwan aduka.

sebak bila aku baca entri ni. tak terkata apa-apa.

Aduka said... [Reply]

@Rara.

terima kasih sbb sudi baca n komen.
ye.. saya setiap kali baca entry ni, pasti saya mngalir air mata.
rasa mcm baru lg tokwan ergi tglkan saya.
siyes sy sayang n rindu pd tokwan.
=(

Post a Comment

Ruang komen telah di-set sebagai 'dofollow'. Sila tinggalkan URL blog anda dengan cara yang bijak. Baca DI SINI untuk mempelajari SEO mengenai 'dofollow' link.

Kepada ANONYMOUS, sila tinggalkan link dengan cara yang bermoral sedikit.

Terima kasih kerana sudi membaca artikel ini dan menurunkan komen anda.

 

Blog Aduka Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger