Beberapa jam yang tadi, aku ke salah satu tempat yang boleh dikatakan terkenal di Kemaman. Niat aku satu; mencari bundle yang baru dibuka beberapa hari yang lepas. Sedang aku naik tangga bergerak untuk ke tingkat atas, aku melalui lorong yang agak sunyi. Hari Jumaat adalah hari minggu di pantai timur. Maka, banyak kedai yang belum dibuka selepas solat Jumaat, dan ada juga yang tutup pada hari Jumaat. Aku berjalan sepanjang lorong sunyi tersebut. Bila tiba di koridor atas, anak mata aku terlihat sesuatu yang agak pelik di sudut hujung di koridor tersebut. Sudut tersebut amatlah tersembunyi dari pandangan dari bawah. Kaki aku berhenti melangkah.
Klik sini untuk meneruskan bacaan..
Namun, aku cuba berjalan menghampiri apabila hati aku merasa kurang senang dan timbul syak. Bila tinggal hanya beberapa meter, aku terkejut. Aku lihat ada sepasang lelaki dan perempuan! Perempuan tersebut menyedari akan kehadiran aku. Dia seolah-olah menggelabah. Bila tinggal jarak setapak, aku terus saja menjerkah.
"Apa buat di sini?!" jerkah aku.
"Er.. sembang-sembang je, bang," jawab budak lelaki itu. Aku kira-kira budak lelaki tersebut mungkin sebaya adik aku. Budak sekolah. Teramat muda. Yang perempuan itu pula, berjilbab dan berpakaian 'cukup sifat', menutup segala aurat. Air wajah juga muda.
"Sembang?! Sembang apa di tempat sunyi macam ni?!" jerkah aku lagi. Aku makin meninggi suara. Jantung aku berdegup kencang kerana menahan amarah. "Baik kau blah sekarang sebelum aku pukul kau!" sambung aku, cuba menghalau budak tersebut.
Tanpa bercakap banyak dan tanpa melawan, budak tersebut terus beredar. Perempuan berjilbab tadi terus berdiri di hadapan aku dengan memalingkan muka ke arah lain. Tangannya memegang telefon bimbit. Dia tergamam.
"Hoi! Kau tahu tak perbuatan kau ni haram di sisi Islam? Kau tahu agama tak?!" Perempuan itu diam. "Kau ni orang Islam ke kafir?!" tanya aku lagi tanpa merendah sedikit pun suara. Perempuan tadi masih diam seribu bahasa.
"Celakalah kau!", jerkah aku. "Mampus kau kalau mak bapak kau tahu apa yang kau buat ni. Berani kau buat maksiat! Esok dah nak puasa, kau tahu tak?!"
Perempuan tadi berpaling. Kemudian, dia memandang ke arah lain kembali. Aku jadi semakin marah. Sebelum ada apa-apa yang terjadi, aku terus beredar. Aku sempat lagi berkata, "Pakai saja jilbab! Tutup aurat! Tapi bodoh buat maksiat! Celaka!"