Ads: (Please Click!)

Sunday, November 28, 2010

Si Gadis Kecil : Sepucuk surat itu.. (Bahagian 1)


Artikel ini diterbitkan kembali (re-post) bagi menyertai contest dari vivagirls.


Pagi itu, dia, si lelaki selekeh, tiba awal. Dia memarkir motosikalnya bersebelahan dengan deretan basikal di tempat khas yang telah disediakan. Di sudut pagar utama, kelihatan beberapa orang yang berpakaian hijau cerah daun pisang dan berseluar gelap sedia menanti kedatangan-kedatangan kelibat berpakaian putih hijau memasuki ruang bangunan tersebut. Setiap muka diperhatikan. Setiap jentera keluar masuk ditelitikan. Semua diawasi dengan begitu cermat sekali.

Read more/less..

Nun dari jauh dia lihat sudah ada beberapa orang berpakaian sukan sedang berlari-lari anak di kawasan padang yang cukup luas. Ada juga sesetengahnya berbual, dan tidak kurang juga ada yang berlari berkejar-kejaran di tepi padang tersebut. Dia melangkah memasuki bilik 5 ST 2 dengan melalui pintu belakang. Dia menarik kerusi dan meletakkan beg galasnya di atas meja biru itu. Seraya dia duduk dan termenung di luar. Begitulah rutin hariannya setiap hari. Tidak lagi seperti dulu.

Jika dulunya, setiap pagi, ada saja perkara yang akan dilakukan. Selain bergaduh, paling tidak akan dia akan mengganggu kelibat-kelibat yang bertudung. Tapi kebanyakkan masa paginya dihabiskan dengan bersembang dan melepak di tepi koridor. Jika ada si gadis lalu di depan, akan dikacau dan diuratnya.

Tapi zaman keseronokkannya kini sudah berlalu. Sebelum memasuki aliran baru ini, dia seperti dipinggirkan oleh teman-teman seangkatannya dahulu. Jika dulu dia dipanggil 'otai', 'boss', dan 'ketua', tetapi kini tidak lagi. Sebaik saja dia melangkah di aliran baru itu, dia banyak berubah. Rakan-rakan dan 'anak buahnya' kini tidak lagi diambil peduli.

Kadang-kadang mereka datang bertanya, "Kenapa kau nampak berubah sangat tahun ni? dah mendaftar diri sebagai ahli surau ke?"

Dahulunya, dia seorang yang panas baran. Jika ada seorang pun perli atau mengejeknya, hukumannya adalah penumbuk dan terajang. Tapi sesudah beberapa bulan memasuki aliran itu, dia kini benar-benar berubah. Rakan-rakan seangkatannya dulu kini mula membencinya dan meminggirkannya.

"Kenapa dalam beberapa bulan ni kau nampak lain? Kau dah banyak berubah. Kau ada masalah ke?" tanya Syukri. Syukri adalah rakan baru di aliran barunya.

"Tak ada apa-apa pun. Aku je nak ubah diri aku,”, jawabnya ringkas. Lamunannya ke luar tingkap masih tidak berganjak.

"Mengubah diri? Maksud kau, kau dah nak quit ke dari bercampur dengan geng-geng kau, macam tu?" soal Syukri lagi.

"Em, lebih kuranglah."

Seketika kemudian, lelaki pendek berkumis tebal memasuki bilik itu dan memberi salam. Dia berdiri dan menjawab salam hormat kepada lelaki pendek tersebut. Bingkas dia memindah tempat duduk dia tadi. Di ambilnya buku kecil dan buku tebal di dalam beg. Bingkas dia duduk di meja hadapan yang tersedia kosong.

"Kerja semalam saya bagi sudah siap?" tanya lelaki pendek berkumis tebal itu.

"Sudah, cikgu!" jawab kelibat-kelibat di dalam bilik itu memecahkan suasana.

**********

Suasana bising menyelubungi dewan makan itu. Kelihatan beberapa kelibat beratur panjang menanti giliran untuk membeli makanan. Sewaktu itu dia hanya bersendirian di tepi dewan tersebut. Disuapnya kuih yang dibeli tadi ke dalam mulut. Dia mengunyah dengan penuh minat dan selera.

Dia didatangi dua orang kelibat berbaju putih dan bertudung. Lantas salah seorang kelibat itu bersuara, "Ingatkan taknak datang sini!"

"Seperti yang dijanjikan. Ada apa hal?" tanya si lelaki.

"Ini dia, tuannya menyuruh awak baca. Jangan buang ke dalam tong sampah lagi! Kali ni awak kena janji tau. Sebab ni amanah orang!"

Lelaki itu hanya mengangguk. Dicapainya sepucuk surat yang dihulurkan oleh gadis bertudung itu tadi.

"Siapa bagi?" tanya lelaki itu kepada si gadis lagi.

"Orang yang sama," jawab si gadis bertudung lalu beredar dari situ. Lelaki itu hanya mengeluh. Ditenungnya surat itu lama-lama. Dibelek surat itu tanpa membukanya. Terdapat tulisan di atas surat tersebut dan beberapa lukisan kecil berbentuk hati di satu sudut kiri surat tersebut.

"Kepada lelaki idaman.. with love.. A**."

Dia memaling muka ke kiri dan kanan. Dia mencari tong sampah. Kelihatan sebiji tong sampah di hadapan kaunter dewan tersebut, lalu dihampirinya. Sampai di situ, lelaki tadi terus saja membuang surat itu tanpa membukanya langsung. Tiba-tiba..

"Hoi!! Orang suruh baca, bukan buang!" Si lelaki terkejut bukan kepalang. Dia berpusing menghadap suara yang menjerkahnya tadi. Rupa-rupanya gadis bertudung tadi.

"Awak ni degil la. Ni kan amanah. Tuannya suruh baca! Jangan la buang! Baca je pun. Bukannya suruh buat kerja! Hish! Hairan betul la mamat ni. Orang nak kat dia, dia plak nak jual mahal," bebel si gadis itu. Si gadis tadi mengutip kembali surat yang dibuang oleh lelaki tadi.

"Nah, baca! Kalu saya tau awak buang lagi, saya sumpah awak. Awak balik nanti awak accident!" sumpah si gadis itu geram. Lelaki tadi hanya mendiamkan diri dan tercegat melihat telatah si gadis bertudung tadi.

**********

Muka lelaki itu berkerut. Ditangannya ada sepucuk surat. Surat itu adalah surat yang diberi oleh si gadis bertudung pada tengahari tadi. Di dalam bilik tersebut hanya ada dia seorang. Pelajar yang lain sudah lama pulang. Dia membaca dengan penuh teliti dan tekun setiap patah perkataan yang terkandung di dalam surat tersebut. Di pengakhiran surat, dia membaca bait-bait dan rangkap puisi yang direka oleh penulisnya. Dia tersenyum. Habis saja membaca surat tersebut, dia menggepal surat tersebut dan dibuangnya ke dalam tong sampah yang ada di dalam bilik tersebut. Lalu dia melangkah pergi.

Keesokkan harinya, di waktu tengahari, dia didatangi lagi oleh si gadis semalam. Kali ini si gadis bertudung itu tidak membawa apa-apa. Lelaki tadi hanya merenung mata si gadis, lalu bertanya, "Ada apa lagi ke untuk hari ni?"

Si gadis tersenyum kambing. "Takde! Just nak sampai pesanan dari admire awak. Dia nak jumpa kat pintu gate belakang selepas sekolah! Pergi tau! Kalu tak, aku sumpah kau!"

Si lelaki hanya mengiakan kata-kata si gadis itu. Dia mengangguk kecil. Si gadis lalu beredar.

Lewat petang tersebut, seperti yang disuruh, lelaki tersebut menunggu peminatnya di pintu pagar belakang. Hampir 10 minit menunggu akhirnya peminat itu muncul. Dia keseorangan.

"Hai, awak. Lama tunggu?" tanya si gadis. Mata si lelaki terbeliak. Dia menatap wajah kecil si gadis itu. Putih melepak dan rendah orangnya.

"Oh, jadi awaklah orang yang selalu bagi surat cinta kat saya, ya?" soal si lelaki selekeh itu.

"Em ya.." jawab si gadis comel ringkas. Dia menunduk, memandang tanah. Si gadis terdiam, malu. Si lelaki juga begitu, hanya mendiamkan diri.

"Kalau macam tu, okay lah. Saya nak balik,” kata lelaki itu dan terus saja berlalu. Si gadis tadi terkial-kial ditinggalkan begitu sahaja.

"Eh, awak! Nanti.. saya ada sesuatu nak bagi.. nanti lahhhh!" kata si gadis dan menuruti si lelaki.

Si gadis menghulurkan sesuatu di tangan si lelaki selekeh itu dan terus saja berlalu. Si lelaki hanya memerhati si gadis yang berlari-lari anak meninggalkannya keseorangan di pintu pagar. Si gadis tadi terus memasuki van kuning dan terus berlalu. Di tangan lelaki itu ada kotak kecil. Lantas dibukanya.

"Ah? jam?!"

**********

Seminggu selepas itu, si lelaki selekeh itu bertemu lagi dengan si gadis bertudung.

"Oi, mana jam yang admire awak bagi? Takkan buang jugak kot!"

"Aku tak pakai jam. Tengok sajalah tangan aku ni. Mana ada perhiasan pun!"

"Dia kasi nak suruh awak pakai la. Dahtu pakai je la!" tempelak si gadis bertudung tadi.

"Suka hati la.. Awak susah ke? Jangan risau. Saya simpan jam tu kat rumah. Saya simpan elok-elok. Bagitau kat dia, saya ucap terima kasih. Dan pesan kat dia juga, saya tak suka pakai jam tangan! Lepas ni jangan susah-susah nak belikan saya jam!"

Si gadis bertudung tadi memuncungkan mulutnya. Si lelaki itu terus beredar.

Selepas kejadian itu, lelaki itu boleh dikatakan tiap-tiap hari akan menerima surat cinta daripada si gadis kecil. Walaupun begitu, tiada sekeping pun yang dibacanya. Sebaliknya disimpan saja. Hanya sekali itu dia bertemu dengan si gadis kecil. Sekolah bukannya besar sangat tetapi sikap lelaki itu sahaja yang endah tidak endah. Dia langsung tidak mengambil tahu tentang cerita dan keadaan yang berlaku di sekelilingnya. Hatta begitulah dia langsung tidak menyedari kelibat kecil itu hanya memerhatikannya dari jauh.

**********

Peperiksaan SPM sudah hampir. Ramai pelajar mula memenuhi surau dan perpustakaan untuk mengulang kaji pelajaran. Hari itu, semua kelibat diminta untuk berkumpul di dewan. Lelaki itu duduk di sudut dewan dan mengelamun sendirian. Lima minit kemudian, pengetua membuat ucapan.

Si lelaki botak yang berucap menyeru pelajar-pelajar yang ada di dalam dewan itu agar bersungguh-sungguh belajar untuk persiapan menghadapi peperiksaan. Masih terngiang di telinga lelaki itu akan kata-kata si lelaki botak.

"Kita orang Islam wajib berjihad. Belajar juga salah satu daripada berjihad. Oleh itu, sama-samalah kita berusaha untuk belajar bersungguh-sungguh agar menjadi orang yang berguna di suatu masa kelak!"

Selesai saja satu jam perhimpunan khas itu berlangsung, semua pelajar beredar ke kelas masing-masing. Di dalam perjalanan pulang ke kelas, dia disapa oleh satu suara yang kecil, lalu berpaling.

"Hai, awak," sapa si gadis kecil. "Pengetua kata apa tadi?"

"Em, biasalah membebel-bebel," kata lelaki itu sambil tersenyum.

Si gadis kecil membalas senyuman lalu berkata, "Ini kelas saya. Sebenarnya tak jauh pun dari kelas awak."

Si lelaki selekeh itu agak terkejut. Masakan selama ini dia tidak langsung perasan akan kewujudan si gadis kecil yang hanya bersebelahan kelasnya. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

"Tak perasan pun selama ni. Awak kelas sebelah rupanya. Er.. maknanya awak junior saya lah ya?"

Si gadis mengangguk dan tersenyum manis. Si gadis berkata, "Awak yang sombong dan tak pedulikan orang sekeliling. Mana nak perasan," lalu menjuihkan bibirnya.

Si lelaki hanya ketawa kecil. Si lelaki mengambil kesempatan masa yang ada ini dengan berbual dengan si gadis kecil. Walaupun usia baru sahaja 13 tahun, si gadis kecil ini petah bercakap. Tidak padan dengan tubuh yang kecil. Seumpama wanita yang berusia 23 tahun pula. Kadang-kadang lelaki itu ketawa berdekah-dekah melayan gelagat dan kepetahan si gadis kecil. Di saat itu dia rasakan si gadis kecil adalah kelakar orangnya. Dia selesa, dan dia gembira.

**********

"Yes! Akhirnya habis juga exam! Lepas ni boleh kita enjoy!" jerit rakan-rakan sekelas. Bilik 5 ST 2 itu bingit dengan teriakan kegembiraan kelibat yang tamat peperiksaan. Lelaki itu hanya mendiamkan diri. Kertas terakhirnya akan bermula beberapa jam saja lagi. Sedangkan rakan-rakan sekelasnya telah menduduki kertas peperiksaan terakhir beberapa jam yang lalu.

"Oi, kitorang balik dulu. Good luck untuk last paper kau!" kata rakan-rakan lelaki itu lalu beredar. Tinggallah si lelaki selekeh tadi terkial-kial keseorangan di dalam kelas, menanti kertas peperiksaan yang terakhir.

"Assalamualaikum."

Lelaki itu disapa. Lalu dia menyahut salam tersebut. Dia lihat kelibat si gadis kecil berdiri di muka pintu kelasnya. Si gadis kecil hanya tersenyum. Dia diiringi beberapa orang rakannya sebagai teman.

"Eh, awak. Kenapa datang?" soal lelaki itu.

"Saja la datang nak bagi sokongan mental kat awak. Boleh kan?" kata si gadis kecil.

“Oh, patutlah. Terima kasih.. Eh! Cikgu cari awak sebenarnya tadi. Dia cakap awak ponteng kelas.”

"Eh, pandai je. Kitorang cuti laaaaa.. Awak tu ha, baca buku tu. Kang masuk dewan lupa plak," kata si gadis kecil, sinis. Mereka ketawa bersama. Mereka saling berpandangan, dan bertentang mata.

**********

Lelaki itu membuka kotak di dalam stor. Di satu sudut bilik itu tersusun rapi beberapa barang dan beg termasuk kotak-kotak yang berisi dengan barang-barang. Ditenungnya kotak putih itu. Lalu dibukanya. Di dalam kotak itu terdapat banyak surat-surat yang pelbagai warna. Di dalamnya juga terdapat jam tangan berwarna hijau gelap. Lalu dicapainya dan cuba dipakai di pergelangan tangan kirinya.

"Ah, kecil pula," bisik lelaki itu.

Diletakkan kembali jam tangan itu ke dalam kotak. Ditenungnya pula kepada surat-surat di dalam kotak itu. Kebanyakkannya masih belum dibuka. Tiba-tiba kenangan si gadis kecil menjelma diingatan.

Akhir tahun 2001, sesudah saja peperiksaan SPM, lelaki itu langsung tidak mendengar khabar berita dari si gadis kecil. Pernah beberapa kali lelaki itu pergi ke sekolah. Tapi setibanya saja di muka pintu pagar utama, dia berpatah balik. Walaupun niat ingin ketemu, tetapi bagaikan ada suara lain yang menegah agar tidak diganggu si gadis kecil. Dia sedar kini dia kehilangan si gadis kecil. Tamat saja peperiksaan SPM, langsung saja lelaki itu terputus hubungan dengan si gadis kecil yang ceria. tidak lama lagi, dia akan bekerja. Adakah mungkin dia akan ketemu lagi si gadis kecil?

"Tu duk termenung apa lagi tu? Angkat barang tu lekas. Lori dah sampai!"

Lelaki itu tersentak. Jeritan ayahnya dari luar mematikan lamunannya. Dia mencari-cari sesuatu di dalam kotak putih itu.

"Mana ni? Ah, ya. Ini dia!" bisik lelaki itu. Ditangannya memegang surat terakhir dari si gadis kecil. Diselitkan surat itu dipoket seluarnya.

Kini lelaki itu berbaring membaca surat si gadis kecil. Setiap perkataan dibaca dengan teliti. Kenangan mengenali si gadis kecil mengimbau kembali dibenak pemikiran lelaki itu. Dia merasakan sungguh sayang sekali bila terputus hubungan dengan si gadis kecil. Bagaimana agaknya keadaan si gadis kecil kini? di akhir surat itu membuatkan lelaki itu tersenyum sendirian.

"Awak. Saya pernah tengok awak buang surat saya ke dalam tong sampah. Tapi saya tak berkecil hati. Sebaliknya saya tulis benda yang sama di dalam surat yang lain tanpa rasa jemu. Selepas itu saya suruh Aida serahkan kepada awak. Dan setiap kali awak buang surat saya juga, saya akan tulis balik."

"Awak. Saya tahu sejarah awak di sekolah ini. Tapi saya tak peduli itu semua. Saya sukakan awak. Perubahan awak, tingkah laku awak, gaya awak. Kalau boleh saya mahu tengok lagi perubahan ketara awak. Kalau boleh saya juga nak kita lebih dari kawan. Tapi walau bagaimanapun saya tahu. Berapa banyak saya tulis pun, mungkin awak takkan baca surat saya. Kalau sebaliknya pula, saya rasa sayalah orang yang paling bertuah.

Awak. Saya suka awak..!"


Lelaki tadi termenung. Alangkah bagusnya jika surat itu dibaca pada 5 tahun yang lalu.

Lelaki itu masih mengingati bibit cinta berputik ketika bersama mengenali si gadis kecil. Dari kerana surat itu, dia melupakan segala titik hitam yang berlaku ke atas dirinya. Dia mengikut nasihat si gadis kecil yang tertulis di dalam surat itu, walaupun dia sedar si gadis kecil tiada disisinya. Dan kini, dia masih mencari-cari. Di manakah agaknya si gadis kecil kini?

"A**.. Mana awak sekarang?" bisik lelaki itu sendirian.

Watak 'lelaki' dan 'dia' yang diceritakan di atas adalah penulis sendiri. Semua jalan cerita cinta monyet penulis adalah berdasarkan pengalaman penulis sendiri. Ia diringkaskan memandangkan kisah yang berlaku adalah pada awal waktu persekolahan penulis sewaktu tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail 2, Kemaman Terengganu.


Baca siri yang seterusnya: KLIK SINI!

PERHATIAN! Aktiviti PLAGIAT (copy & paste) sesuatu artikel tanpa pengetahuan dan kebenaran penulis adalah satu aktiviti/perbuatan yang TIDAK BERMORAL!

Ads: (Please Click!)
Comments
9 Comments


9 Orang Kentut Madu:

Nashrul Sabri said... [Reply]

Oooooooo..
Phes lef ah ni..
hahahaa.. =)

Kapten Luffy said... [Reply]

cinta yg datang kena di dapatkan... tapi bila ia berlalu... kena dilupakan...

Aduka said... [Reply]

uncle dol: hahaha.. my fes lef la niiii.. =P

kapten: isk3.. cedih je kapten kate gitu.. =(

ani said... [Reply]

wahh!!!kisah hidup cik aduka ni blh wat cerpen la...apa pun tahniah la sbb berjaya berubah ke arah kebaikan =)

ummuhadhra said... [Reply]

alahai... codihnye... keciwa.. 2 la...
dlu org nk, dy jual mahal...

ermm.. xpe, lau ada jodoh, x kemana....

Aduka said... [Reply]

ani: terima kaseh.. klu sy wat novel, cik ani nak baca ke? =P

ummuhadhra: bkn jual mhl.. masa tu xtau erti cinta n mls nk layan pompuan.. huhu.. btol 2 btol 2.. klu jdoh x kmana kan? =)

Anonymous said... [Reply]

oh! suwit! :')
kira melepas la ni ye? cari dia dekat fb, mesti ada. hee

suzie rahman said... [Reply]

sob--sob--nice r..aduka..pic ats tu sesuai wat cover novel..t nk culik lh,,,lalala

Aduka said... [Reply]

@suzie
thanks suzie.. nak buat novel pn bole cite ni.. hehe..

Post a Comment

Ruang komen telah di-set sebagai 'dofollow'. Sila tinggalkan URL blog anda dengan cara yang bijak. Baca DI SINI untuk mempelajari SEO mengenai 'dofollow' link.

Kepada ANONYMOUS, sila tinggalkan link dengan cara yang bermoral sedikit.

Terima kasih kerana sudi membaca artikel ini dan menurunkan komen anda.

 

Blog Aduka Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger