Ads: (Please Click!)

Friday, August 20, 2010

Selamat Hari Ibu, Untuk Emak.


Sejak kecil, saya dan abang dijaga oleh emak. Selepas kematian ayah semasa saya berumur 12 tahun, emaklah yang menjaga saya dua beradik. Hidup kami pada awalnya memang susah dan lebih memeritkan lagi, ketiadaan ayah memutuskan sumber pendapatan keluarga dan tempat bergantung harap. Emak tidak bekerja. Jadi terpaksalah emak keluar dari rumah mencari rezeki menggantikan tempat ayah. Keluar awal pagi selepas subuh kemudian pulang ke rumah pada waktu senja. Kadang-kadang pulang lewat. Paling lewat pukul 10 malam. Emak bekerja biasa-biasa saja namun pelbagai. Mengambil upah menjaga anak jiran, membantu berniaga air tebu di jalanan, tukang cuci tandas, mengangkut sampah. Boleh dikatakan segala kerja emak buat.


Klik spoiler ini untuk meneruskan bacaan..

Melihat kepayahan emak dan kedaifan keluarga, abang sanggup berhenti sekolah. Waktu itu dia masih di tingkatan 5 dan saya baru memasuki tingkatan 1. Pada mulanya emak marah abang berhenti sekolah. Abang punyai cita-cita yang tinggi. Abang seorang anak lelaki yang baik. Ikut kata kedua ibu bapa. Ayah sayangkan abang. Emak juga sayangkan abang. Abang anak emas keluarga. Sejak ayah sakit, abang mula hilang minat untuk ke sekolah.

Pernah abang cerita pada saya, dia bukan tidak mahu mengejar cita-citanya. Namun melihat kedaifan kami, dia nekad melupakan segalanya. Dia sanggup berbuat demikian demi keluarga. Ditegasnya agar saya saja yang meneruskan persekolahan. Katanya, biar adik pandai. Adik dapat masuk universiti. Biar adik dapat kerja yang baik-baik. Dapat tanggung keluarga. Tidak susah macam abang dan emak. Kahwin, dapat suami yang baik dan kaya. Lantas, dia memeluk saya dan menangis. Saya turut menangis. Begitu besar pengorbanan abang.

Sesudah hampir beberapa tahun abang dan emak bekerja bagi menampung keluarga, emak sudah tidak larat lagi. Emak sudah tua. Sudah tidak larat. Masa mak banyak dihabiskan di rumah. Kadang-kadang jika sakitnya dirasakan kebah sedikit, emak gagahkan diri untuk berdiri, berjalan, dan bekerja. Namun tidak lama.

Emak jatuh ditangga di suatu pagi. Emak sakit dan berdarah pada lutut. Dia tidak boleh berjalan. Emak meraung kesakitan, sambil memanggil-manggil nama abang dan saya. Malangnya, tiada sesiapa di rumah waktu itu. Saya di sekolah. Abang keluar bekerja. Nasib baik Pak Pie, jiran sebelah rumah terdengar jeritan emak. Emak dihantarkan ke klinik yang jaraknya 25 kilometer dari rumah oleh Pak Pie.

Selepas mendapat khabaran berita tentang emak, saya bergegas pulang. Abang juga pulang. Kami menangis melihat emak. Emak sudah pun terbaring di ruang rumah. Saya lihat jiran-jiran termasuk Pak Pie duduk bersila mengadap emak. Mak Cu Piah, duduk di lujuran kaki emak sambil mengurut-urut kaki emak.

Terdengar rintihan kecil emak, mengaduh kesakitan. Saya lihat abang mengurut kepala emak. Mata emak hanya terpejam rapat, dan mukanya mengerut menahan kesakitan. Waktu itu, mata saya bertakung dengan air yang jernih. Mendengar rintihan emak, takungan air tidak dapat dibendung lagi. Empangan itu pecah dan membasahi pipi saya. Saya menangis teresak-esak. Saya terduduk di sebelah emak sambil ditenangkan oleh makcik-makcik kejiranan. Mulut emak mengatakan 'tidak mengapa' sedangkan mata emak masih terpejam rapat. Waktu itu rasa kesal menyelubungi diri ini. Saya rasakan rasa benci dan meluat ke atas diri sendiri. Rasa bodoh dan tidak berguna. Saya menyesal pergi ke sekolah. Saya sepatutnya menjaga emak yang sakit. Saya berdegil mahu ke sekolah juga. Kesudahan, inilah akibatnya. Saya memeluk emak dengan erat.

Sejak emak pula jatuh sakit, abang semakin tidak pulang-pulang ke rumah. Dua atau tiga hari baru pulang. Paling awal pun, pukul 3 atau 4 pagi baru pulang ke rumah. Abang semakin kuat bekerja. Makan minumnya tidak dipedulikan lagi. Asalkan ada sehelai dua wang dihulurkan kepada saya atau emak.

Pernah dulu abang dan saya bergilir menjaga emak. Tatkala dirasakan dia perlu bekerja, dia keluar bekerja. Akhirnya pada akhir tahun, saya menyatakan hasrat saya untuk berhenti sekolah kepada abang. Saya pula dimarahi oleh abang. Teruk saya dibebelnya. Saya berkeras yang saya mahu menjaga emak. Emak tidak boleh jalan lagi. Kata doktor, emak menghidap kencing manis dan darah tinggi. Penyakit gout yang menyerang emak 5 tahun yang lalu juga semakin parah. Apabila saya mengungkit begitu, abang terdiam. Jelas air jernih membasah kelopak mata abang. Namun cepat-cepat abang seka lalu keluar untuk pergi kerja lagi. Abang selalu macam itu. Dia tidak menunjukkan sedihnya pada saya apatah lagi emak. Keesokkannya abang membenarkan saya berhenti sekolah. Walaupun jelas kecewa terpancar diwajah abang, abang tidak terus memarahi saya. Abang nyatakan, dia memahami situasi sekarang. Saya lihat hari itu abang tidak pergi kerja. Abang banyak termenung. Kasihan abang. Tentunya dia kecewa dengan saya.

Ada satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan sehingga kini. Waktu itu saya sedang demahkan emak. Emak berbisik kepada saya. Dia teringin sangat makan pengat pisang. Saya tersentak. Saya juga menjadi buntu. Saya tidak pandai membuat pengat pisang. Mahu dibeli, wangnya tiada untuk berbuat demikian. Ada pun, memang cukup-cukup untuk membeli beras dan keperluan dapur sahaja. Saya cuba cakap-cakap dan memujuk emak. Namun emak tetap berkeras. Dia teringin sangat makan pengat pisang.

Saya mengimbau dalam ingatan. Setahu saya, emak tidak makan pisang. Emak tidak pernah buat pengat pisang. Dulu, ayah pernah beli cucur pisang. Hanya ayah dan abang yang sentuh dan memakannya sehingga habis. Mereka suka pisang. Sedangkan emak dan saya sebaliknya. Tetapi, kenapa kali ini emak kepingin makan pengat pisang? Mahu atau tidak, saya keluar dari rumah meninggalkan emak terlantar sendirian. Saya berjumpa Pak Pie dan menceritakan kemahuan emak padanya. Bersusah payahlah orang tua itu mencari pisang di kebun. Saya terus pulang dan menunggu di rumah.

"Kamu pulang dan tunggu di rumah. Jaga mak kamu. Nanti Pak Pie balik dan hantarkan pengat pisang kepada kamu," ujar Pak Pie.

Kasihan Pak Pie.

Petang itu, saya menunggu agak lama di rumah. Emak pula berkali-kali meminta pingat pisang pada saya. Saya meminta emak bersabar. Saya memujuk emak beberapa kali. Entah kenapa saya langsung tidak memberitahu emak bahawa Pak Pie yang tolong sediakan pengat pisang untuk emak. Tidak terdetik untuk memberitahu emak. Saya risau emak marahkan saya kerana susahkan jiran.

Setelah sekian lama menunggu, Pak Pie datang ke rumah. Dia memanggil saya secara perlahan dari laman rumah. Kata Pak Pie, dia tidak mahu mengganggu emak. Pak Pie memberikan ribuan maaf kepada saya. Katanya, puas memujuk taukeh kebun pisang namun taukeh yang sememangnya sinonim dengan sifat yang kedekutnya, tidak endah.

"Jika mahu, belilah! Kamu ingat hasil kebun ini senang-senang saja diberikan percuma?" Begitulah gertak dan bongkaknya taukeh cina tersebut. Saya lihat Pak Pie teramat kecewa. Jelas terpancar diwajahnya. Tidak apalah, kata saya kepada Pak Pie.

Saya duduk di dapur keseorangan. Di sebalik dapur, terdapat satu bungkusan plastik kuning yang terisi sesuatu. Ubi keledek. Ia diberikan oleh isteri Pak Pie, Mak Jah dua hari lepas. Saya membuka bungkusan plastik tersebut dan mengira-ngira jumlahnya. Tiga ketul. Saya ambil dua ketul. Satu saya tinggalkan untuk abang pulang makan nanti. Dengan dua ketul ubi keledek itu, saya membuat pengat. Dihati saya, hanya tuhan saja yang tahu. Betapa lemahnya saya waktu itu. Hanya semata-mata ingin menjaga hati emak, saya gantikan pisang kepada ubi keledek untuk dibuat pengat. Sebak menerjah dijiwa. Saya tahan. Air mula bertakung di kelopak mata, cepat-cepat saya seka.

Saya duduk di sebelah emak. Mata emak terpejam waktu itu. Bibir emak merekah. Muka emak pucat. Dulu emak sihat dan gemuk. Kini kurus melidi. Kulit lengannya berkedut dan menggelebir menampak jelas urat-urat di sana sini. Saya gosok-gosok tangan emak dengan lembut. Saya genggam tangan emak erat. Saya cium tangan emak. Tangan emak kering, bisik saya dalam hati. Saya tengok mata emak terbuka sedikit. Saya perasan emak mahu mengukir senyum kepada saya tapi emak tidak mampu. Emak menahan sakit. Tidak mengapa emak, bisik saya. Saya suapkan emak. Saya tinggikan sedikit bantal yang memangku kepala emak. Saya paut bahu emak. Emak bangun tapi mata emak masih terkatup rapat.

"Emak, ini pengat pisang mak," tipu saya. Dada saya mula sebak. Emak hanya mengangguk perlahan.

Pada suapan pertama, emak tersedak dan terus batuk-batuk. Saya lap mulut emak. Saya suap lagi. Saya masih ingat emak kata. Pengat itu tidak sedap. Rasanya lain. Ya, emak. Memang lain. Saya tidak pandai buat pengat. Apatah lagi itu bukan pengat pisang yang emak mahu. Ia pingat ubi keledek! Maafkan saya, emak. Saya menipu emak. Saya mahu jaga hati emak. Saya tidak mahu emak kempunan! Itu saja.

Saya menangis. Sedu sedan saya tahan. Saya pujuk emak. Saya kata, emak sakit tentulah selera hilang. Pengat pisang rasa memang tidak sedap bila sakit. Saya pun cakap, nanti emak sembuh emak makanlah puas-puas pengat pisang yang dibuat oleh saya lagi. Emak mengangguk. Emak sempat bergurau, masa muda makanlah apa saja. Masa sakit nanti susah mahu makan yang sedap-sedap. Hilang selera dan lidah tidak merasa sedap! Saya cium dahi emak. Saya mengangguk walaupun saya tahu emak tidak tengok saya mengangguk dan senyum. Apatah lagi melihat air mata saya jatuh bercucuran membasahi pipi saya.

Emak.

Setiap kali suami saya membawa balik pengat pisang dari pantai timur, saya sentiasa terkenangkan emak. Saya merindui emak sangat, sangat. Masih terasa jari jemari saya ini seakan mengurut, menyentuh dan menggosok-gosok kulit tangan dan badan mak ketika sakit dulu. Biarpun berkedut dan busuk peluh emak, saya langsung tidak mengambil cakna. Saya tidak peduli. Emak berak dan kencing sewaktu emak tenat dahulu pun, saya redha. Sebab saya sedar, dahulu emak pun basuh berak kencing saya. Tiada lagi perasaan jijik dihati saya. Dan, saya juga tahu syurga itu di bawah kaki seorang ibu. Tiada kemanisan dalam hidup dirasakan jika tidak berbakti kepada ibu.

Abang.

Kerana abang, emak tenat. Menyesalnya saya rasa sebab memberitahu emak akan berita itu. Saya tahu emak sayangkan abang lebih daripada saya. Kerana berita abang, emak seakan tidak mahu hidup lagi.

Waktu itu, saya tidur sebelah emak. Saya menganggar waktu itu sudah lewat benar. Suasana sekitar rumah sunyi. Hanya terdengar bunyi sang cengkerik dan unggas di luar. Sesekali terdengar jeritan cicak di suatu sudut rumah buruk itu. Entah kenapa saya tidak dapat melelapkan mata setelah terjaga dari tidur. Saya lihat mata emak terkatup rapat. Dada emak berombak perlahan. Emak tidur nyenyak sangat. Di sebelah kiri emak terdapat talam berisi ubat-ubat dan semangkuk bubur emak yang saya sedia pada sebelah siangnya. Berbantukan cahaya lampu minyak tanah, saya betul-betulkan selimut emak. Mata saya segar sangat waktu itu. Kantuk sudahpun luput. Saya mengambil kesempatan itu untuk membaca Al-Quran. Boleh juga saya sedekahkan kepada arwah ayah. Dan boleh juga saya berdoa untuk emak agar sihat kembali. Dalam dua muka surat, saya berasa tidak sedap hati. Saya bantutkan bacaan surah. Saya termenung. Emak masih tidur nyenyak. Entah kenapa jantung saya berdegup kencang.

Tatkala waktu subuh hampir tiba, datang beberapa orang lelaki kampung ke rumah. Mereka membawa perkhabaran buruk. Abang, mak. Berita fasal abang. Abang kemalangan di tempat kerja, mak. Saya jatuh terduduk di muka pintu mendengar perkhabaran abang. Abang kemalangan dan meninggal di tempat kerja. Kata orang kampung, abang terjatuh dari tingkat lima semasa hendak memasang cermin tingkap bangunan. Saya tidak mahu tahu apa puncanya. Saya menangis semahu-mahunya. Apakah bala yang menimpa, fikir saya. Apakah dugaan yang mendatang, rintih saya. Putus lagi satu sumber ekonomi rumahtangga. Putus lagi satu tempat bergantung kita, emak.

Siangnya, emak terkejut besar dengan berita itu. Mata emak yang sebelum itu hanya terpejam dan terkadang saja dibuka, emak celik luas-luas. Emak sangat terkejut. Air mata emak mengalir. Saya lihat emak tidak bergerak. Seperti patung. Hanya air mata emak deras jatuh melaju. Saya memeluk emak erat-erat. Saya menangis dan meraung. Orang kampung cuba memujuk saya. Emak. Abang sudah tiada!

Selepas abang selamat dikebumi, keadaan kesihatan emak semakin tenat. Emak sudah kurang mahu makan. Selera emak jatuh, benar-benar jatuh. Muka emak kian cengkung. Bibir emak luka dan kering. Tangan emak menggeletar. Saya pujuk emak supaya bersabar. Saya pujuk emak dengan menyatakan Pak Pie berusaha membantu kami sekeluarga. Pak Pie jiran yang baik. Pak Pie sanggup ke kota mencari rezeki untuk berkongsi dengan kita. Pak Pie tiada anak. Maka hanya kita berempat tanggungan dia termasuk Pak Pie sendiri.

Emak menggeleng-geleng kepala saja. Emak seakan tidak setuju Pak Pie berbuat demikian. Ya, emak. Saya faham perasaan emak. Tapi apakan daya saya. Saya tidak mampu keluar mencari rezeki. Jika saya keluar, siapa mahu jaga emak? Jika diharapkan jiran, mereka juga ada urusan mereka. Mahu atau tidak, saya terpaksa menerima pelawaan Pak Pie. Maafkan saya, emak. Saya juga pujuk emak agar ke hospital. Namun emak berkeras. Emak degil sangat. Emak enggan. Emak membantah bulat-bulat cadangan saya dan Pak Pie. Emak meronta-ronta apabila jiran datang membantu emak bangun untuk ke hospital menaiki kereta milik Pak Jusoh, ketua kampung. Emak tetap tidak mahu. Kami akur kehendak emak. Emak kata, emak mahu mati di rumah buruk itu. Emak mahu kenangan dan sejarah berkubur di rumah itu bersama emak. Emak. Sedihnya dan pilunya saya rasa tatkala emak berkata sedemikian. Saya menangis lagi, tersedu sedan.

Pada suatu pagi yang hening, saya keseorangan sibuk di dapur bagi menyediakan emak sarapan. Saya membuat bubur untuk emak. Sewaktu menunggu bubur siap, saya bermain-main imbauan sejarah silam.

Masih saya ingat sewaktu kecil-kecil dahulu. Abang selalu buli saya. Ayahlah yang pertahankan saya. Emak pula pertahankan abang. Saya tersenyum bila mengenangkan ketika kami berebut untuk naik basikal ayah. Ayah beli basikal baru untuk pergi dan pulang ke tempat kerja.

Saya menangis apabila ditolak jatuh oleh abang. Emak biasanya memenangi abang. Tapi tidak kali itu. Emak pujuk saya. Emak marahkan abang. Abang merajuk dan duduk di atas pangkin di bawah pokok mempelam rendang depan rumah. Abang menjuihkan bibir kepada saya. Saya berhenti menangis dan ketawa riang setelah emak pujuk. Ayah ambil saya dan letak saya di atas batang basikal. Saya menjerit kegembiraan. Emak melambai-lambai. Ayah membawa saya pergi. Kami pusing-pusing satu kampung. Saya sempat menoleh melihat emak dan abang. Abang merenung dari jauh. Emak masih lambaikan tangan sambil tersenyum. Senyuman emak adalah senyuman yang paling manis pernah saya lihat. Ya, emak. Emak cantik sewaktu sihat dulu.

Ayah. Emak. Abang.

Kini hampir 10 tahun ia berlalu. Kini saya pun sudah bersuami, mempunyai anak, dan kami hidup dengan bahagia. Walaupun saya sebak kerana emak dan ayah tidak melihat saya menjadi raja sehari, namun saya redha. Allah lebih sayangkan ayah. Allah lebih sayangkan emak. Allah lebih sayangkan abang. Saya juga sedih tatkala mendapat cahaya mata yang pertama. Jika ayah ada, saya suruh ayah azankan cucu dia yang pertama ini. Perempuan. Comel sangat. Mata anak sulung saya itu sama sangat macam ayah. Bibirnya pula sama sangat macam emak. Jikalah cucu ayah emak ini besar nanti tentunya senyumannya menawan dan manis semanis senyuman emak dahulu. Betul, emak! Saya tidak tipu!

Saya, suami dan anak-anak bersama-sama menonton televisyen. Kami berehat di hari minggu. Kebetulan bulan ini adalah bulan Mei. Hari Ibu bakal disambut. Hari saya mengenangkan emak semakin kuat bermain dalam ingatan dan benak saya. Setiap kali lagu ibu berkumandang, dan lagu Aishah, Syurga Di Bawah Telapak Kaki Ibu berkumandang di corong radio, hati saya sebak. Pernah sekali saya menangis di depan suami. Suami saya memujuk saya. Ya, emak. Saya tidak kuat. Walaupun ia sudah lama berlalu, ingatan saya kepada emak masih kuat dan segar sangat dalam ingatan. Umpama berlaku hanya beberapa bulan yang lepas saja.

Saya berumur 7 tahun waktu itu.

Ayah, emak dan abang membuat kejutan untuk saya. Saya masih ingat bulan itu adalah bulan Mei. Saya diberikan kek yang besar. Ayah, emak dan abang sama-sama menyanyikan lagu selamat untuk saya di hari kelahiran saya yang baru menjangkau 7 tahun. Saya amat seronok. Saya bergurau senda dengan ayah. Saya bergurau senda dengan emak. Saya bergurau senda dengan abang. Kita gelak ketawa gembira bersama.

Pada lewat malam, emak, ayah dan abang mahu masuk tidur. Namun saya memohon agar emak tunggu saya di ruang tamu. Emak senyum dan mengikut kemahuan saya. Saya pergi ke dapur dan mengambil sesuatu. Saya kembali mendapatkan emak dan menghulurkan ia kepada emak. Masih emak ingat saat itu? Emak suka dan gembira sangat. Saya ucapkan 'Selamat Hari Ibu' kepada emak. Emak memegang dan mencium hadiah saya itu. Emak cakap wangi dan emak mahu simpan di dalam bilik. Emak memeluk saya erat-erat. Emak cium dahi saya. Emak cakap, emak sayang saya. Emak. Saya sedar hadiah saya tidak seberapa. Bunga plastik sahaja. Saya semburkan dengan pewangi sahaja. Pewangi itu pula pewangi yang selalu emak pakai. Emak seakan tidak kisah itu semua. Saya sangka emak akan berkecil hati namun tidak. Mulianya hati emak.

Saya berdiri betul-betul di hadapan busutan dengan dua pacakan batu. Tertera nama emak yang cantik di permukaan batu itu. Suami saya memegang bahu saya. Dia menggosok-gosok dan menepuk bahu saya. Tangan saya yang memimpin tangan anak, saya lepaskan. Saya duduk mencangkung di depan kuburan emak. Saya mengambil satu kalungan bunga dari suami.

"Emak, saya datang ni," kata saya. Saya letak kalungan bunga itu di atas kubur emak. Saya menekup muka saya dengan kedua-dua tapak tangan saya. Dia saat itu segala peristiwa saya bersama emak bermain dengan jelas di dalam benak.

"Emak. Alangkah bagusnya kalungan ini menjadi pengganti sewaktu saya menghadiahkan emak bunga plastik di Hari Ibu sewaktu saya kecil dahulu!"

Emak. Ayah.

Tengoklah siapa yang datang. Inilah menantu emak, Hairi. Inilah cucu sulung ayah emak, Sofea. Inilah cucu kedua ayah emak, Amran. Inilah cucu ketiga ayah emak, Jalilah. Saya.. saya datang, emak, ayah. Saya bahagia dan senang sekarang.

Abang.

Tengoklah anak buah abang ini. Mereka comel-comel belaka. Lihat Amran, bang. Mukanya mirip abang. Perangainya pun seakan sama perangai macam abang. Nakal. Tapi hatinya baik macam abang. Tentu abang seronok bersamanya jika abang masih bernafas sekarang.

Emak.

Kenangan saya lebih banyak bersama dengan emak berbanding ayah. Walaupun sayang saya tidak berbelah bahagi, saya rasakan saya lebih rapat dengan emak. Dari emak sihat hinggalah emak sakit tenat. Saya sentiasa di sisi emak. Emak lapar, saya suapkan. Emak sakit, saya urut dan demahkan emak. Emak panas, saya kipaskan. Pengorbanan perit saya sewaktu usia remaja dahulu tidak sia-sia. Nasihat emak agar saya tabah menghadapi hidup benar-benar melatih saya menjadi insan yang berguna sekarang.

Lantas, saya, suami dan anak-anak mengangkat tangan. Kami berdoa dan bersedekah Al-Fatihah bersama-sama. Kami semua menghadiahkannya kepada ayah, emak, dan abang di sana.

Ayah. Emak. Abang.

Bersemadilah ayah dengan aman di sana. Bersemadilah emak dengan aman di sana. Bersemadilah abang dengan aman di sana.

Semoga Allah tempatkan emak, ayah, dan abang di kalangan orang-orang yang mukmin. Amin.

Saya berjalan berat meninggalkan ayah, emak, dan abang 'terbaring' di sana. Jangan risau, saya akan sentiasa menghadiahkan doa sejahtera kepada kalian. Ingatan saya kepada kalian tidak akan saya lupakan sehingga ajal menjemput saya.

Sampai di muka pintu utama kawasan kuburan itu, saya berhenti melangkah. Suami dan anak-anak terus berjalan menuju ke kereta. Saya pusing dan berpaling ke arah kuburan emak dari jauh.

"Emak.. Selamat Hari Ibu.."

Air mata saya jatuh berguguran lagi membasahi pipi.


Aishah - Syurga Di Telapak Kaki Ibu


"Dan tuhanmu memerintahkan supaya engkau tidak menyembahkan melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'uuh', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): 'Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.'" (Surah al-Israk, ayat 23-24)


Cerpen ini adalah hasil karya aku sendiri sempena Hari Ibu (Mei 2010). Selamat Hari Ibu kepada ibu-ibu di luar sana. Beringatlah. Hargailah ibu bapa kita yang bersusah payah membesarkan kita. Janganlah kita derhaka kepada kedua ibu bapa kita. Sesungguhnya anak yang derhaka, neraka jahannamlah yang layak baginya. Wallahua'lam.

P/S: Cerpen ini diterbitkan kembali (repost) bagi menyertai Pertandingan Cerita Berilhamkan Lagu yang dianjurkan oleh Ezany-kun.


PERHATIAN! Aktiviti PLAGIAT (copy & paste) sesuatu artikel tanpa pengetahuan dan kebenaran penulis adalah satu aktiviti/perbuatan yang TIDAK BERMORAL!

Ads: (Please Click!)
Comments
18 Comments


18 Orang Kentut Madu:

Anonymous said... [Reply]

best giler. mau 15 minit aku baca
ko x hantar mana2 laman web share artikel ker :)

intanurulfateha said... [Reply]

.hahaha
.kapten bukan mmbaca tp mengeja
.chacha bace lg laju!
.bahahhahaha =))

ismimaizura said... [Reply]

selamat hari ibu..best bc entry ni..^_^

Amirah Rashid said... [Reply]

isk. sedihh. :( semoga belum smpai masa lg nk lalui situasi mcm ni.

hazeleyed lady said... [Reply]

Ass-Salam
Semuga roh ibu.ayah dan abang sis dicucuri rahmat dan di tempatkan bersama roh oram
ng2 yang beriman.
Selamat hari ibu...dan menjadi ibu penyayang seperti arwah ibu sis.

Adinda Amy Sensei said... [Reply]

SELAMAT HARI IBU BUAT MAK AWAK..

Dayah said... [Reply]

sedih cerpen. best cite cerpen latip. selamat hari ibu semua ibu tersayang.

dayah said... [Reply]

selamat hari ibu :)best cerpen latip leh masuk contest. ku baca ngan tekun. thanks latip

GadisKasutConverse said... [Reply]

mak..maaf kerna pernah lukakan hati mak..huhuhu..

- said... [Reply]

uhhhh sedih..
(T.T)

pandai ko tulis, hampir terkeluar air mata ni huhu

nanad said... [Reply]

*two thumbs up
sangat best :D
mule2 mcm mls nk bace ;)
tp pas bace sket nak bace lg dan lg..
sedar2 da bis bace pon..
slamat ari ibu :)

hazeleyed lady said... [Reply]

sorry...i thought you are a lady too..

Aduka said... [Reply]

hazeleyed lady:
haha.. u thought i am a lady rite?
no worries..
this entry is just a short story..
xde kaitan or connection between me or the characters..
thanks for reading and comment..
=)


thanks kpd semua..

shazika said... [Reply]

semalam hari ibu
tp jasa ibu dikenang sepanjang masa

miss lolly a.k.a luvfareda said... [Reply]

tachingggggggggggggggg !

syahira ariff said... [Reply]

T_____________T
nak mak.........
nak mak........

ceksumolek's said... [Reply]

finally bru dapat baca dengan tenang.. mulanya ingat saya tu duka.. skali kuar ayat nih "dapat suami yang baik dan kaya" hehee.. nway thanks for sharing..

Hariz said... [Reply]

menarik..
tiap2 hari adalah hari ibu :)


New Entry Prof-Hariz
Warna Baju Raya Tahun 2010

Post a Comment

Ruang komen telah di-set sebagai 'dofollow'. Sila tinggalkan URL blog anda dengan cara yang bijak. Baca DI SINI untuk mempelajari SEO mengenai 'dofollow' link.

Kepada ANONYMOUS, sila tinggalkan link dengan cara yang bermoral sedikit.

Terima kasih kerana sudi membaca artikel ini dan menurunkan komen anda.

 

Blog Aduka Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger