Pokok mempelam berbuah lebat dan subur di belakang rumah aku. Pokok mempelam ini ditanam sendiri oleh ayah aku sejak rumah aku ini dalam beberapa bulan pembinaan. Bermakna pokok mempelam ini berusia dalam lebih kurang empat tahun. Pokok mempelam ini rendang dan sederhana saja. Untuk pengetahuan anda, mempelam mempunyai pelbagai jenis dan nama. Ada mempelam harumanis, ada mempelam epal, dan macam-macam lagi. Untuk pokok mempelam ayah aku ini, tidak tahu ia dari jenis apa.
Dahulu, pokok mempelam di belakang rumah aku ini pernah berbuah tapi tidaklah selebat dan sesubur sekarang. Ini adalah kerana ia selalu diganggu oleh anasir jahat. Buahnya selalu 'dirampas' oleh anasir ini walapun ia belum cukup matang dan masak. Sehinggakan aku sekeluarga jarang mendapat buah yang baik dan masak. Habis dikebas oleh anasir ini terlebih dahulu.
Klik spoiler ini untuk meneruskan bacaan..
PERHATIAN! Aktiviti PLAGIAT (copy & paste) sesuatu artikel tanpa pengetahuan dan kebenaran penulis adalah satu aktiviti/perbuatan yang TIDAK BERMORAL!
Semenjak inisiatif baru yang ayah aku lakukan ini, setiap hari tatkala mata aku celik dari tidur pagi aku rasakan seolah-olah aku hidup di zaman 50 hingga 80-an. Bangkit pagiku dibuai-buai oleh ulit lagu klasik yang menerobos masuk dari corong terus ke gegendang telinga. Ada hari aku mendengar suara Ahmad Jais. Dan kekadang Saloma. Hari lain pula terdengar nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Kekadang Hail Amir dan Uji Rashid berkumandang pula. Adakalanya berkumandang lagu yang langsung tidak pernah aku kenali dan dengari. Entah nyanyian siapa dan apa tajuknya. Aku tidak tahu dan tidak mahu mengambil tahu.
Suatu hari, aku berkata kepada emak aku.
"Setiap kali bangkit tidur, rasa macam hidup zaman P Ramlee. Tak pun zaman pop yeh yeh."
Emak aku hanya ketawa, lucu. Masakan tidak, dia pun merasakan seperti apa yang aku rasa. Dia memberitahu yang dia seperti kembali ke zaman muda dan bujang. Mungkin sewaktu zaman muda-muda dan sibuk bercinta dengan ayahku dahulu mungkin.
Aku berdiri di muka pintu dapur belakang rumah. Mata aku tertancap pada pohon mempelam nan rendang itu. Sungguh lebat buahnya. Aku tersenyum sendirian. Lagu-lagu klasik yang masih berkumandang memecahkan dan menceriakan suasana pagi.
Gambar di atas adalah pokok mempelam yang aku maksudkan.
"Kenapa tak tukar siaran? Bosan la mak. Lagu-lagu lama tak masyuk ke dalam jiwa," gumamku.
"Lagu lama la best. Tak macam sekarang. Bising. Lagu entah apa-apa. Sedap tak apa juga. Ini macam hentam kromo. Tak tahu hujung pangkal," kata mak aku. Sedikit kata-katanya itu agak memeritkan jiwa. Terasa seperti meretus urat utama jantung. Namun, aku sekadar senyum dan ketawa kecil. Memang benar pun kata-kata emak aku itu. Lagu klasik adalah lagu evergreen. Dengar pun tidak puas. Cuma tidak kena dengan jiwa anak-anak muda sekarang, termasuk aku
"Lagipun ayah kamu tu suka sangat siaran ini. Abang kamu tu tukar siaran. Terus dimarahi oleh ayah kamu," kata emak lagi seraya tersengih.
Memang aku faham benar ayah aku. Jiwanya masih lagi jiwa 50-an, 70-an. Masa zaman berubah cuma minatnya langsung tidak berubah. Biasalah, orang tua. Setelah lama mengelamun seorang diri, mata aku tertancap pula pada satu sudut kiri dari pokok mempelam yang berbuah lebat itu. Ya. Di situlah tempatnya. Tempat di mana berkumandang suara-suara asyik dan merdu, menggamit suasana kegemilangan klasik 50 hingga 80-an.
"Klasiiikkk..~ nasional! Klasiiikk..~ nasional! Segalanya di sini.. menggamit memoriiii..~!"
Begitulah bait-bait lirik lagu stesen yang keluar dari 'kotak hitam' itu.
Oleh kerana selalu dengar, aku dapat menghafal lirik lagu stesen radio itu. Bukan saja lagu stesen, malah lagu-lagu lazim yang biasa diputar pun aku hampir ingat kesemuanya. Pernah sekali siaran radio Klasik Nasional itu teralih dengan sendiri. Radio itu radio lama. Jadi tuning siarannya tidak berapa betul sedikit. Ayah menjerit dari dapur.
"Ni siapa pula yang tukar siaran ni?!"
Muka ayah serius. Garang *memang ayah aku ni garang sikit. tapi hatinya sangat baik. macam aku!*. Kami yang tidak bersalah saling mengangkat bahu dan menggelengkan kepala kerana tidak tahu menahu. Yalah, bukan kami yang tukar. Ia tertukar dengan sendiri. Siaran teralih ke stesen Era.FM. Dengan cepat ayah melangkah menghampiri radio, lantas mencari kembali stesen Klasik Nasional. Kalau diikutkan, dia bukan mahu dengar sangat pun. Dia selalunya tiada. Samada di dalam bilik melakukan ibadah, atau di ruang tamu melayan televisyen. Dan kekadang dia langsung tiada di rumah. Keluar ke sana ke sini. Ke surau atau ke kedai pemborong.
Walaupun begitu, cara ayah ini amat berkesan. Dengan memasang radio kuat-kuat di waktu siang hari dapat mengelakkan anasir jahat itu menghampiri pokok mempelam yang berbuah lebat. Anasir-anasir ini akan menyangka bahawa ada orang berdekatan dengan pokok mempelam. Jadi anasir ini tidak akan berani menghampiri untuk mencuri buah mempelam. Walaupun pelik dan lucu, tetapi cara ini amat berkesan. Pada sebelah senja hari, ayah aku akan mematikan radio. Bermakna radio tidak lagi menjerit pada waktu malam seperti waktu siangnya. Yang menghairankan, beruk ini tidak pula datang mencuri buah mempelam di waktu malam. Kenapa, ya? Mereka berehat seperti kitakah? Atau.. buat 'projek' bersama 'isteri-isteri' mereka? Haha. Entah! Sila tanya kepada si beruk!
Dahulu, ayah pernah melancarkan mercun ke arah beruk-beruk pencuri ini. Ini langkah menghalang. Namun, ia berkesan hanya sementara. Beruk-beruk ini cerdik. Dilihatnya tiada orang berhampiran pokok mempelam atau di dapur, ia akan datang secara diam-diam. Bila line clear, Habis satu tangkai buah mempelam dibawanya lari. Mengamuk juga orang tua aku itu.
Petang tadi ayah memetik buah yang hampir masak. Jika diperam, bolehlah di makan. Rasanya amat manis. Aku lihat keceriaan terpancar di wajah ayahku.
Tahniah, ayah.
Cara ayah memasang radio kuat-kuat berhampiran pokok mempelam untuk menghalang beruk pencuri itu datang mencuri buah mempelam, amat-amat berkesan! Cuma bila bangkit hari pagi, aku selalu saja merasakan seperti hidup di dalam alam 50 hingga 80-an. Memang betul-betul 'menggamit memori'!