Ads: (Please Click!)

Tuesday, April 13, 2010

Cerpen Spontan: Malu Mak!


Gadis bertubuh langsing dan berbaju kurung duduk bersimpuh sambil termenung. Tenungannya tertumpu pada lantai rumah orang tuanya. Diamati liang-liang antara satu papan dan jajaran papan-papan lantai yang lain itu sungguh-sungguh. Dia mengetap bibir tatkala mengingati wajah lelaki itu. Sesekali nafasnya naik turun bila hatinya mengenangkan kata-kata guris lelaki itu.

Ibunya, Mak Ani, sesekali mengerling ke arah anak daranya itu. Dan sesekali itu juga dia mengeluh berat. Apa yang menimpa anak daranya itu beberapa minggu yang lalu amat dukacita. Dia amat faham perasaan anaknya. Perasaan perempuan. Anaknya. Darah dagingnya sendiri. Jika diikutkan hati, mahu saja dia sendiri menghentak menampar muka lelaki itu yang menjadi tunangan anaknya kini. Namun dia sendiri sedar akan kebenaran. Bukan hak Mak Ani membuat perkara yang melampaui batas. Agama tidak menyuruhnya begitu. Agama tidak mengajarnya begitu. Tok Guru yang mengajarnya semasa zaman remaja tidak mengajarnya begitu. Masakan pula di umur separuh abad begitu, membataskan kudratnya untuk menghentak menampar muka lelaki itu.

Klik sini untuk meneruskan bacaan..

Raut wajah Mak Ani berubah. Tangannya sibuk menggosok buntut kuali dengan berus besi yang berbalut sabun. Dia mengerling lagi ke arah anaknya yang bertubuh kurus langsing itu.

"Sudah, sudahlah, Mariam. Kau kesal pun bukan ada gunanya," kata Mak Ani, "lebih baik kau tolong mak ni ha. Lama-lama nanti sejuklah hati tunang kau tu. Dia tengah marah tu. Biarkan hatinya sejuk sekejap. Nanti dah sejuk, pandai-pandailah dia cari kau kelak."

Gadis kurus bertubuh langsing itu sugul. Matanya tidak lekang memandang ke bawah. Entah apa yang dipandangnya. Mak Ani tidak tahu. Dia sendiri pun tidak tahu.

Dengan semena, Mak Ani merapati gadis kurus bertubuh langsing itu.

"Nah, kau tolong mak. Kau duduk sini pun bukannya dapat apa-apa. Sudah, sudahlah," pujuk Mak Ani. Mariam, gadis kurus bertubuh langsing itu, sedari tadi masih terdiam. Tanpa membuka mulut, dia menyambut hulur ibunya. Jauh dilubuk hatinya keruh pelbagai peristiwa.

"Dia datang ke mak?" soal Mariam, tiba-tiba. Mak Ani menoleh ke belakang. Dia sibuk menggulai pula. Tangan kanannya perlahan mengacau gulai ikan yang dimasaknya. Pekat kekuningan. Wap-wap wangian gulai terbang ke udara dan lenyap merata.

Mak Ani tidak segera menjawab. Dia diam membisu. Seketika kemudian, dia mengangkat bahu. Mariam mengeluh. Keluhnya berat.

"Mak.. kalau dia tak datang, baik putuskan saja," kata Mariam tersekat-sekat. Mak Ani tidak terkejut dengan kata-kata anaknya itu. Bukannya baharu. Sedah beberapa kali ia berlaku. Hal yang sama berlakunya dan hal yang sama mengguris hati anak daranya itu. Walhal hatinya juga seakan mengguris dalam-dalam. Mak Ani menoleh ke arah Mariam.

"Kau menangis, nak?" soal Mak Ani. Dia mengamati wajah Mariam.

"Tak apa, mak," jawab Mariam. Dia menunduk. Tangannya sibuk membuat sesuatu. Rambutnya yang panjang paras bahu menutupi sedikit wajahnya. Dia sengaja berbuat begitu, fikir Mak Ani. Sesekali terdengar Mariam tersedan. Hidungnya berair, mungkin.

"Kau menangis, Yam?" soal Mak Ani lagi. Dia kini melangkah mendekati Mariam. Mariam menggelenggkan kepala.

"Tak apa, mak."

"Betul ke ni?" soal Mak Ani lagi. Dia seakan tidak berpuas hati. "Mak faham perasaan kau, nak. Bersabarlah. Hati lelaki ni, marah sekejapnya saja. Nanti dia dah rindu, dia cari kau balik. Percayalah!"

Mariam mengangguk. Namun sedannya seakan tidak surut-surut. Makin rancak pula. Sesekali dia menghela berat. Bunyi hidung berair kuat. Dia masih menunduk.

"Kau menangis, nak? Dahlah, nak. Jangan menangis," pujuk Mak Ani lagi seraya memegang bahu kiri Mariam. Dia ingin memeluk. Lantas Mariam mengangkat kepala. Mak Ani lihat matanya dan hidung Mariam basah. Mata merah. Jelas kelihatan urat-urat matanya merah seakan binatang buas ingin menerkamnya.

"Apa mak ni?" tanya Mariam.

"Ha? Kenapa?" Mak Ani terpinga-pinga.

"Mak nak buat apa?"

"Peluk."

"Kenapa pula?"

"Anak mak bersedih, menangis. Ubatnya peluk. Salah ke mak nak peluk anak kesayangan mak?"

"Mak mengarut!"

"Sampai hati kau, Yam." Mak Ani menarik kembali tangannya. Peluknya tidak jadi.

"Yam tak menangis la, mak. Mak yang lebih-lebih," dalih Mariam. Dia kembali menunduk. Rambutnya yang panjang kembali menutup wajahnya. Tangannya sesekali menyeka air mata yang kian membasahi pipinya. Mak Ani tersenyum. Dia seakan tahu dan faham fiil anaknya, Mariam. Anak yang baik. Tidak mahu menunjukkan sedih dan duka di depan ibunya.

Mak Ani memegang kembali bahu Mariam. Dia ingin memeluk.

"Mak!" Mak Ani tersentak dengan teriak Mariam.

"Kenapa, nak?"

Mata Mak Ani membulat. Wajah Mariam sebengis harimau.

"Mak ni.. kalau mak nak peluk Yam pun, nanti nantilah. Yam nak kupas bawang ni. Kang nanti mak juga yang membebel-bebel. Lambatlah. Tak pandai kupas bawanglah. Haih, mak ni!"

Mak Ani terkial-kial. Wajahnya merah padam. Dia bingkas bangkit seraya menggulai. Gulainya sudah menggelegak masak benar.


Dayah. Aku takde idea nak update blog sebenarnya. Ini cerpen spontan untuk kau. Kau faham ke tak, pandai-pandai kau la.. Hehe..

PERHATIAN! Aktiviti PLAGIAT (copy & paste) sesuatu artikel tanpa pengetahuan dan kebenaran penulis adalah satu aktiviti/perbuatan yang TIDAK BERMORAL!

Ads: (Please Click!)
Comments
8 Comments


8 Orang Kentut Madu:

p3perak said... [Reply]

hoh...
apa relate dgn tunang tu??
x faham

joegrimjow said... [Reply]

cuba nak paham tetapi gagal
hehe
mungkin sebab otak tengah serabut ni?

GadisKasutConverse said... [Reply]

kesiaN mak..sbb ditolak pelukkan.seolah2 anak tdk selesa..

ceksumolek's said... [Reply]

hahahaaaa~ duka wat sumi ketawa ^____^

||Cik Aida|| said... [Reply]

pedih taw kupas bawang!!!!!!!!!

Aduka said... [Reply]

mcm rmai sgt x phm, baca ulasan ni..

ulasan cerita:
tunang tu jalan cerita saja.. xde kaitan pn sbb apa mariam tu nangis.. mariam nangis sbb mata pedih kupas bawang.. hehehe.. cerita ni mengajak korg berfikir sbenarnya..

=P

dayah said... [Reply]

kerana kupas bawang, mmg menangisla mak~ aku pon tgh try fhm. hee spontann betul ko menulis belog

Amirah Rashid said... [Reply]

ish3. kesian mak dye. malu jee. haha

Post a Comment

Ruang komen telah di-set sebagai 'dofollow'. Sila tinggalkan URL blog anda dengan cara yang bijak. Baca DI SINI untuk mempelajari SEO mengenai 'dofollow' link.

Kepada ANONYMOUS, sila tinggalkan link dengan cara yang bermoral sedikit.

Terima kasih kerana sudi membaca artikel ini dan menurunkan komen anda.

 

Blog Aduka Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger