Terdengar jeritan yang amat menakutkan Jijie. Keringatnya mula terbit di padang dahinya. Matanya terbeliak. Kakinya menggigil. Sedari tadi matanya terpaku ke arah satu bilik yang agak asing baginya. Terbayang-bayang di sudut matanya akan bebayang jahat keluar dari ruang-ruang celahan pintu tersebut. Walaupun bayangan mainan semata-mata, namun ia membuatkan Jijie amat takut. Tangannya menggenggam erat tangan Mak Gayah, ibunya. Mak Gayah sedari tadi hanya mendiamkan diri sambil melihat Jijie. Lencun belakang baju Jijie. Pak Hamid, bapanya si Jijie sedang berbual-bual dengan lelaki separuh abad di suatu sudut.
"Mak, turn Jijie lambat lagi kan?" soal Jijie. Dia memandang dalam-dalam mata Mak Gayah. Dia cuba mengukir senyum namun tidaklah semanis waktu keriangannya. Senyummnya pahit. Seolah-olah dipaksa-paksa. Tangan Mak Gayah dilepaskannya. Dia memperbetulkan kainnya. Dia tidak biasa memakai kain. Apatah lagi kain batik. Dia lebih terbiasa memakai seluar pendek. Setidaknya pun, dia akan memakai seluar track.
"Tak tahu la, Jie. Tunggu sajalah ye," jawab Mak Gayah spontan. Mak Gayah mengusap-usap rambut Jijie. Terpampang jelas kerisauan di air muka Jijie.
"Jijie takut?" soalnya lanjut. Jijie hanya mengangguk. Mak Gayah cuba menenangkannya. Jijie merenung jauh di sudut luar. Kelihatan dua kelibat yang sebaya dengannya menunggu di luar. Di raut wajah mereka juga jelas kelihatan perasaan takut. Cuma bila Jijie memandang seorang budak yang agak muda dengannya, yang duduk di kerusi depan, mukanya agak ceria.
"Mak, adik tu tak takut pun?" soal Jijie. Mak Gayah memandang budak di depannya.
"Memanglah. Nak takut apa? Jijie kan dah besar," jawab Mak Gayah. Jawapan tersebut bukanlah menyedapkan hati Jijie. Jijie tidak berpuas hati. Dia memuncungkan bibirnya. Dia memandang tajam ke arah budak di depannya. Rambutnya botak. Tidak duduk diam. Terkadang kain yang dipakainya hampir terlucut. Mujurlah ibu disebelahnya ada. Jika tidak, berbogel budak itu. Umurnya muda berjarak dari Jijie.
Tiba-tiba..
Klik sini untuk meneruskan bacaan..
Panggilan itu membuatkan Jijie tersentak. Mak Gayah memimpin tangan Jijie terus ke bilik yang dilihatnya tadi. Jijie melangkah berat. Berbalam bayang-bayang hitam keluar dari ruang celahan pintu tersebut. Mata-mata yang memandang sekelilingnya seakan terasa satu ancaman. Jijie langsung tidak memandang kiri dan kanan. Matanya pegun melihat ke arah pintu tersebut. Tadi tertutup, sekarang terkuak luas. Seorang gadis tinggi lampai membukanya. Dia menunggu di muka pintu. Tangannya memegang tombol pintu. Dia seakan ' pemanggil malaikat maut' buat Jijie.
"Mak.. takut.." bisik Jijie. Bisikan Jijie di dengari oleh lelaki separuh abad yang berbual dengan Pak Hamid tadi.
"Nak takut apa..? Sekejap je, selesailah. Tapi.. tak apa.. muncung pistol nanti berguna untuk akan datang!" kata lelaki separuh abad itu. Dia tergelak besar. Orang-orang dewasa yang ada di situ juga tergelak besar. Jijie tidak memahami kata-kata orang tua itu tadi.
Keringat mula membasahi dahi. Jantungnya berdegup kencang. Tidak pernah dirasakan takut sebegini. Masakan tidak. Cerita-cerita dari rakannya amat mengerikan. Lebih-lebih lagi cerita bapa saudaranya. Terbayang dibenaknya situasi tersebut.
"Silakan duduk. Mak dan ayahnya tunggu diluar," kata lelaki berbaju putih. Mulutnya tidak nampak. Dilindungi dengan satu pelindung pelik. Jijie memandang raut muka lelaki berkaca mata itu. Terkebil-kebil matanya. Kelihatan dua orang perempuan, berbaju putih juga sedang menyediakan sesuatu.
"Adik jangan takut ye.. sikit aje.. tak sampai 10 minit, sudah siap," kata lelaki berkaca mata itu. Jijie hanya mengangguk. Di dalam bilik itu sejuk kerana ada penghawa dingin. Namun keringat masih jelas membasahi dahi dan badan Jijie. Jijie diminta duduk di atas kerusi khas. Kain Jijie diselak. Lelaki berkaca mata itu terus menerus berbual dengan Jijie. Oleh kerana gugup dan ketakutan, Jijie tidak bersuara. Hanya mengangguk dan terkadang menggeleng kepala.
"Adik minat superhero?" tanya lelaki berkaca mata itu. Sesekali lelaki itu memandang bawah dan kemudian memandang ke arah Jijie.
"Minat! Superman!" kata Jijie sambil mengangkat tangannya. Dia menggayakan seperti superman. Dan tiba-tiba..
"Aaadduuuuuuuuuuuuuhhh..!!!"
Jijie melangkah perlahan. Terkangkang-kangkang dia berjalan. Kakinya seakan kejang menahan sakit. Dia dipimpin oleh perempuan berbaju putih tadi. Sebaik memandang raut Jijie, lelaki separuh abad menegur, "Ha sudah pun.. Lepas ni cantik pistol dia!", seraya ketawa terbahak-bahak. Pak Hamid yang mengekori Jijie pun tergelak sama.
Di luar, Mak Gayah dan Jijie menunggu. Pak Hamid mengambil keretanya yang diparkir jauh.
"Mak.. Jijie nak tanya boleh?" soal Jijie.
"Apa dia?"
"Muncung pistol tu apa?" Soalan Jijie membuatkan Mak Gayah ketawa kecil.
"Apa?" soal Jijie lagi. Mak Gayah semakin galak ketawa. Lucu benar.
"Muncung pistol tu maknanya Jijie punya anu!" kata Mak Gayah sambil tergelak.
"Habislah anu Jijie. Lepas ni tak boleh pakai dah!" kata Jijie. Dia agak menggelabah. Dia cuba melucut kain yang dipakai tetapi sempat dihalang oleh Mak Gayah.
"Hei Jijie ni. Tak malu ke nanti ramai orang tengok pistol Jijie," marah Mak Gayah.
"Jijie sayanglah anu Jijie!" teriak Jijie. Jijie melucutkan kain yang dipakainya. Muncung pistolnya berbalut. Masih ada tompokan merah.
"Mak! Darah!" jerit Jijie. Mak Gayah tersipu malu bila ada mata-mata memandang Jijie dan dirinya. Mereka tersengih. Terdengar juga ketawa-ketawa kecil.
"Sudah.. sudah! Pakai kain! Anu Jijie takde apa-apa. Ayah dah sampai tu. Jom masuk dalam kereta," kata Mak Gayah sambil menarik tangan Jijie memasuki kereta. Jijie masih memandang pistolnya yang berbalut dan berdarah. Kain yang dipakainya tadi tidak dilepaskan dari genggamannya.
"Jijie ni bikin malu mak je. Tengok ni, bang. Abang-abangnya tak macam dia. Sudah aje terus pakai kain. Ni tidak. Bogel!" rungut Mak Gayah. Pak Hamid ketawa.
"Biasalah.. ikut bapak dia. Macam itu juga.." kata Pak Hamid seraya ketawa berdekah-dekah.
"Haih.. bapak borek, anak rintik. Nak berkhatan pun sampai terikut-ikut sampai menurun kat anak," rungut Mak Gayah. Pak Hamid ketawa tidak henti-henti. Jijie tidak mempedulikan mak ayahnya. Tangannya asyik membelek pistolnya yang sudah berbalut.