Ads: (Please Click!)

Monday, February 08, 2010

"Maarobbuka..?!"

Waktu itu aku cuti pertengahan semester enam. Aku tidak pulang ke kampung, sebaliknya aku tinggal di hostel sahaja. Oleh kerana banyak assignment dan kerja yang perlu diselesaikan, aku bernekad untuk tidak pulang ke kampung. Aku tinggal bersama seorang lagi rakan serumah aku, dan yang lain pulang ke kampung masing-masing. Oleh kerana aku tiada komputer, aku terpaksa meminjam komputer rakan di rumah sebelah untuk membuat kerja-kerja aku. Rakan rumah sebelah sebilangan besarnya tidak pulang ke kampung.

Aku memulakan kerja pada waktu pagi selepas subuh hingga tengahari. Jika tuan empunya tidak menggunakan komputer, aku akan terus menyiapkan kerja aku hingga ke petang. Tetapi amat jarang sekali. Tuan empunya komputer adalah 'kaki game'. Namanya, S (dirahsiakan atas permintaan).

Suatu pagi, seperti biasa setelah selesai solat Subuh, aku terus ke rumah sebelah. Pagi itu aku sedikit kalut kerana terlupa hendak menyiapkan satu assignment yang amat penting. Assignment tersebut tarikh hantarnya adalah pada hari pertama kelas selepas cuti pertengahan semester. Cuti pula tinggal beberapa hari saja lagi. Maka aku terpaksa menyiapkan assignment tersebut terlebih dahulu. Yang lain akan ditunda kemudian. Aku berjalan ke rumah sebelah. Sampai di muka pintu, aku memberi salam sambil mengetuk pintu berulang kali. Beberapa minit menunggu di luar barulah aku dijemput masuk.

Klik sini untuk meneruskan bacaan..

Biasanya, pagi-pagi lagi S sudah bangun. Setiap kali aku pergi ke rumahnya mesti S berada di depan komputernya. Samada game tembak menembak mahupun game bola sepak. Bingit sekali dengan sub-woofer jenama Altec Lensing-nya. Dengan muka baru bangun tidurnya, berseluar boxer tanpa memakai baju, dan berbau peluh masamnya. Boleh dikatakan tiap-tiap hari dia begitu kecuali hari dia ada temujanji dengan girlfriend-nya. Antara pukul 8 pagi, lenyaplah dia dari hostel. Akan tetapi, tidak hari itu. S tiada di depan komputer. Komputernya mati. Tidak kedengaran sebarang bunyi tembak-menembak mahupun jeritan orang ramai seperti di stadium bola ketika kaki aku melangkah masuk ke rumahnya.

"Mana S?" tanya aku kepada Mamak. Aku tercari-cari di setiap sudut rumah.

"Dalam biliknya tu," jawab Mamak ringkas. Tangannya diacung ke bilik yang pintunya sedikit terbuka. Aku memanjangkan tengkuk, intai di celahan pintu itu.

"Komputer rosak ke?" tanya aku. "Biasanya, pagi-pagi dah kecoh perang tembak sana sini."

Mamak menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal. Dia memperbetulkan cermin matanya.

"Tak rosak. Cuma semalam dia tu tidur pukul 5 pagi, kau tau? Betul-betul gila game. Dah tidur pun lewat, takkan si mangkuk tu bangun awal punya," bebel Mamak sambil tersengih. "Kau pegi la kejutkan dia."

Aku mengangguk. Aku terus berjalan ke arah bilik yang pintunya sedikit terbuka tadi. Perlahan aku kuakkan pintunya. Aku lihat S terlentang separuh bogel di atas lantai berlapikkan selimut tebal. Lucah betul cara tidurnya. Boxer-nya sedikit terselak menampakkan lurah punggungnya. Di atas katil ada seorang lagi rakan serumah S. Masih terbungkang tidur. Aku dengan perlahan menepuk-nepuk bahu S. Berkali-kali aku tepuk namun tiada respon. Mula tepuk dengan perlahan. Lama-lama makin kuat. Aku mula menggunakan suara.

"Bangun! Oi S! Bangun la oi! Aku nak guna komputer ko ni!"

Responnya, "Hmm.. hm.. aaa.. hmm.." Celaka betul. Susah benar kejutkan Si Mangkuk Tingkat ni, bisik aku dalam hati. Aku naik geram. Aku goyang-goyangkan badannya. Tiada respon juga. Aku tarik getah boxer-nya dan lepas. Tiada respon juga. Tarik telinga, tarik tangan, dan paling kasar, sepak dengan kaki aku. Tidaklah kuat. Responnya ada sedikit. Badannya tergerak tetapi mata S masih terkatup rapat. Aku duduk mencangkung. Termenung, berfikir. Macam mana hendak kejutkan orang tidur mati agaknya?

Aku mendapat satu idea. Aku duduk mencangkung dekat. Aku berdehem memperbetulkan suara. Aku merapati mukaku ke telinganya, dan...

"Maaaarroooobbbuukaaaaaaaaaaa..!!!" kataku dengan suara yang garau. Seperti orang disampuk iblis, S bingkas bangkit dari tidurnya. Dia terduduk terjerit.

"Ya Allah!!! Allah!!! Allahhhh!!! Aku tak mahu mati! Tak!!! Aku belum mahu mati!!!" S menjerit sambil terbeliak biji matanya. Tangannya mengurut-urut dada laju. Aku terguling ketawa berdekah-dekah.

"Celaka kau, Latip! Aku belasah kau cukup-cukup!" jerit S. Dia membelasah aku semahu-mahunya. Aku menjerit memohon ampun sambil ketawa dan mengelak tumbuk terajangnya.

Akibat dari kejadian itu, agak trajis...

Hari itu aku didenda. Aku tidak dibenarkan menggunakan komputernya selagi dia belum menghabiskan level game tembak-menembaknya. Jadi terpaksalah aku menunggu. Hampir pukul 2 petang, barulah aku berpeluang menyambung kerja-kerjaku. Kelam kabut jadinya. Untuk memujuknya yang masih marah, aku belanja dia makan tengahari. Malang memang berbau. Lebih RM 20 aku belanja untuk makan tengahari. Nasi untuk S penuh satu pinggan, ayam 2 ketul, sebiji telur dan sedikit sayur. Minum air fresh orange. Aku? Nasi bujang dan air milo ais saja. Memang betul-betul S kenakan aku hari itu.

"Nasiblah kau! Siapa suruh kejutkan tidur aku dengan cara 'insaf' camtu? Nak gugur jantung aku, kau tau tak?! Nasib baik aku tak mati!"

Aku tersengih seperti kerang busuk. Rasa menyesal pun ada, puas pun ada. Puas dapat kejutkan orang liat bangun tidur dengan cara yang boleh dikatakan... EFISYEN!

Thursday, February 04, 2010

CONTEST!!! : If I Were A Millionaire

Mode : Sticky

Anda bosan tidak tahu apa yang mahu ditulis di blog anda? Buntu? Ketandusan idea? Apa kata korang semua sertai contest aku ini. Sekurang-kurangnya, ter'update'lah juga blog korang. Manalah tahu jika korang bernasib baik, korang boleh menang contest aku ini?

(credit to Emila Blog)

Klik sini untuk meneruskan bacaan..

Contest ini senang saja. Anda hanya perlu menulis satu entry berbentuk esei menceritakan tentang angan-angan @ impian ATAU pengalaman anda sebagai SEORANG JUTAWAN (tu pun kalau ada la..). Anda bebas menulis samada dalam bahasa Inggeris ataupun bahasa Melayu. Bahasa-bahasa lain seperti Indonesia, Thailand, dan mana-mana bahasa yang tidak berkaitan, janganlah tulis ya. Kalau tulis juga, aku geget korang. Haha.. Antara syarat-syarat lain adalah seperti berikut;

1) Sila 'link'kan entry korang ke blog aku (syarat umum dan WAJIB).
2) Sila maklum penyertaan anda di ruangan komen entry ini, BUKAN di ruangan chat.
3) Anda BEBAS salin dan tampal (copy and paste) ilustrasi di atas, buat perhiasan. Haha..
4) Tajuk entry BEBAS! Asalkan kandungan entry tidak lari tajuk, okey? Haha..
5) Sesiapa pun boleh sertai, tidak kisah follower ke bukan follower ke.. Join je..

Hadiah.. Hm.. Hadiah ek..? Korang mahu hadiah juga ke? Haha.. Okey.. Hadiah-hadiahnya;

Pemenang tempat pertama, akan mendapat title 'Mat/Minah Jenin Era Baru' DAN RM30 top-up.

Pemenang tempat kedua, akan mendapat title 'Pengigau Siang dan Malam' DAN RM20 top-up.

Pemenang tempat ketiga, akan mendapat RM10 top-up tanpa apa-apa title. Hahaha..
(Yang pakai postpaid, hadiah boleh convert ke tunai)

Nampak aku macam main-main, bukan? Oh, tidak. Title tu mungkin main-main. Top-up tu bukan main-main, okey?

Hadiah tidaklah selumayan mana pun. Ini adalah contest suka-suka saja. Budak-budak sekolah pun boleh karang esei macam ini. Kalau sebelum ini, korang asyik gelakkan esei budak-budak sekolah, apa kata korang plak tulis esei. Boleh kita gelak sama-sama pula. Amacam? Ada berani? Kalau berani, jom sertai contest dari aku ni..

TARIKH TUTUP:
4 MAC 2010!!!


Peace!

Wednesday, February 03, 2010

'Pistol' Jijie

"Aaaaaaaaaaaarrggghhhhhhhhhhhhhhh!!!"

Terdengar jeritan yang amat menakutkan Jijie. Keringatnya mula terbit di padang dahinya. Matanya terbeliak. Kakinya menggigil. Sedari tadi matanya terpaku ke arah satu bilik yang agak asing baginya. Terbayang-bayang di sudut matanya akan bebayang jahat keluar dari ruang-ruang celahan pintu tersebut. Walaupun bayangan mainan semata-mata, namun ia membuatkan Jijie amat takut. Tangannya menggenggam erat tangan Mak Gayah, ibunya. Mak Gayah sedari tadi hanya mendiamkan diri sambil melihat Jijie. Lencun belakang baju Jijie. Pak Hamid, bapanya si Jijie sedang berbual-bual dengan lelaki separuh abad di suatu sudut.

"Mak, turn Jijie lambat lagi kan?" soal Jijie. Dia memandang dalam-dalam mata Mak Gayah. Dia cuba mengukir senyum namun tidaklah semanis waktu keriangannya. Senyummnya pahit. Seolah-olah dipaksa-paksa. Tangan Mak Gayah dilepaskannya. Dia memperbetulkan kainnya. Dia tidak biasa memakai kain. Apatah lagi kain batik. Dia lebih terbiasa memakai seluar pendek. Setidaknya pun, dia akan memakai seluar track.

"Tak tahu la, Jie. Tunggu sajalah ye," jawab Mak Gayah spontan. Mak Gayah mengusap-usap rambut Jijie. Terpampang jelas kerisauan di air muka Jijie.

"Jijie takut?" soalnya lanjut. Jijie hanya mengangguk. Mak Gayah cuba menenangkannya. Jijie merenung jauh di sudut luar. Kelihatan dua kelibat yang sebaya dengannya menunggu di luar. Di raut wajah mereka juga jelas kelihatan perasaan takut. Cuma bila Jijie memandang seorang budak yang agak muda dengannya, yang duduk di kerusi depan, mukanya agak ceria.

"Mak, adik tu tak takut pun?" soal Jijie. Mak Gayah memandang budak di depannya.

"Memanglah. Nak takut apa? Jijie kan dah besar," jawab Mak Gayah. Jawapan tersebut bukanlah menyedapkan hati Jijie. Jijie tidak berpuas hati. Dia memuncungkan bibirnya. Dia memandang tajam ke arah budak di depannya. Rambutnya botak. Tidak duduk diam. Terkadang kain yang dipakainya hampir terlucut. Mujurlah ibu disebelahnya ada. Jika tidak, berbogel budak itu. Umurnya muda berjarak dari Jijie.

Tiba-tiba..

Klik sini untuk meneruskan bacaan..

"Ahmad Norzimazlan bin Hamid!"

Panggilan itu membuatkan Jijie tersentak. Mak Gayah memimpin tangan Jijie terus ke bilik yang dilihatnya tadi. Jijie melangkah berat. Berbalam bayang-bayang hitam keluar dari ruang celahan pintu tersebut. Mata-mata yang memandang sekelilingnya seakan terasa satu ancaman. Jijie langsung tidak memandang kiri dan kanan. Matanya pegun melihat ke arah pintu tersebut. Tadi tertutup, sekarang terkuak luas. Seorang gadis tinggi lampai membukanya. Dia menunggu di muka pintu. Tangannya memegang tombol pintu. Dia seakan ' pemanggil malaikat maut' buat Jijie.

"Mak.. takut.." bisik Jijie. Bisikan Jijie di dengari oleh lelaki separuh abad yang berbual dengan Pak Hamid tadi.

"Nak takut apa..? Sekejap je, selesailah. Tapi.. tak apa.. muncung pistol nanti berguna untuk akan datang!" kata lelaki separuh abad itu. Dia tergelak besar. Orang-orang dewasa yang ada di situ juga tergelak besar. Jijie tidak memahami kata-kata orang tua itu tadi.

Keringat mula membasahi dahi. Jantungnya berdegup kencang. Tidak pernah dirasakan takut sebegini. Masakan tidak. Cerita-cerita dari rakannya amat mengerikan. Lebih-lebih lagi cerita bapa saudaranya. Terbayang dibenaknya situasi tersebut.

"Silakan duduk. Mak dan ayahnya tunggu diluar," kata lelaki berbaju putih. Mulutnya tidak nampak. Dilindungi dengan satu pelindung pelik. Jijie memandang raut muka lelaki berkaca mata itu. Terkebil-kebil matanya. Kelihatan dua orang perempuan, berbaju putih juga sedang menyediakan sesuatu.

"Adik jangan takut ye.. sikit aje.. tak sampai 10 minit, sudah siap," kata lelaki berkaca mata itu. Jijie hanya mengangguk. Di dalam bilik itu sejuk kerana ada penghawa dingin. Namun keringat masih jelas membasahi dahi dan badan Jijie. Jijie diminta duduk di atas kerusi khas. Kain Jijie diselak. Lelaki berkaca mata itu terus menerus berbual dengan Jijie. Oleh kerana gugup dan ketakutan, Jijie tidak bersuara. Hanya mengangguk dan terkadang menggeleng kepala.

"Adik minat superhero?" tanya lelaki berkaca mata itu. Sesekali lelaki itu memandang bawah dan kemudian memandang ke arah Jijie.

"Minat! Superman!" kata Jijie sambil mengangkat tangannya. Dia menggayakan seperti superman. Dan tiba-tiba..

"Aaadduuuuuuuuuuuuuhhh..!!!"

* * * * * * * * * *

Jijie melangkah perlahan. Terkangkang-kangkang dia berjalan. Kakinya seakan kejang menahan sakit. Dia dipimpin oleh perempuan berbaju putih tadi. Sebaik memandang raut Jijie, lelaki separuh abad menegur, "Ha sudah pun.. Lepas ni cantik pistol dia!", seraya ketawa terbahak-bahak. Pak Hamid yang mengekori Jijie pun tergelak sama.

Di luar, Mak Gayah dan Jijie menunggu. Pak Hamid mengambil keretanya yang diparkir jauh.

"Mak.. Jijie nak tanya boleh?" soal Jijie.

"Apa dia?"

"Muncung pistol tu apa?" Soalan Jijie membuatkan Mak Gayah ketawa kecil.

"Apa?" soal Jijie lagi. Mak Gayah semakin galak ketawa. Lucu benar.

"Muncung pistol tu maknanya Jijie punya anu!" kata Mak Gayah sambil tergelak.

"Habislah anu Jijie. Lepas ni tak boleh pakai dah!" kata Jijie. Dia agak menggelabah. Dia cuba melucut kain yang dipakai tetapi sempat dihalang oleh Mak Gayah.

"Hei Jijie ni. Tak malu ke nanti ramai orang tengok pistol Jijie," marah Mak Gayah.

"Jijie sayanglah anu Jijie!" teriak Jijie. Jijie melucutkan kain yang dipakainya. Muncung pistolnya berbalut. Masih ada tompokan merah.

"Mak! Darah!" jerit Jijie. Mak Gayah tersipu malu bila ada mata-mata memandang Jijie dan dirinya. Mereka tersengih. Terdengar juga ketawa-ketawa kecil.

"Sudah.. sudah! Pakai kain! Anu Jijie takde apa-apa. Ayah dah sampai tu. Jom masuk dalam kereta," kata Mak Gayah sambil menarik tangan Jijie memasuki kereta. Jijie masih memandang pistolnya yang berbalut dan berdarah. Kain yang dipakainya tadi tidak dilepaskan dari genggamannya.

"Jijie ni bikin malu mak je. Tengok ni, bang. Abang-abangnya tak macam dia. Sudah aje terus pakai kain. Ni tidak. Bogel!" rungut Mak Gayah. Pak Hamid ketawa.

"Biasalah.. ikut bapak dia. Macam itu juga.." kata Pak Hamid seraya ketawa berdekah-dekah.

"Haih.. bapak borek, anak rintik. Nak berkhatan pun sampai terikut-ikut sampai menurun kat anak," rungut Mak Gayah. Pak Hamid ketawa tidak henti-henti. Jijie tidak mempedulikan mak ayahnya. Tangannya asyik membelek pistolnya yang sudah berbalut.

Tuesday, February 02, 2010

Percantuman Sperma Dan Ovum Punya Cerita


Ini isu klon. Siapa tahu apa itu klon? Kalau kita tengok kebanyakan cerita-cerita barat, sinonimnya penceritaan mereka pokoknya kepada pengklonan manusia. Boleh dikatakan mencipta sesuatu benda hidup tanpa memerlukan asas kepada kejadian sesuatu makhluk itu sendiri. Atau dengan lebih tepat. klon adalah teknik penggandaan gen yang menghasilkan keturunan yang sama sifat dan rupanya. Setakat ini, sudah beberapa spesis haiwan yang telah berjaya diklonkan, iaitu ikan, kodok, kuda, kucing, serigala anjing, monyet, dan juga lembu. Mujurlah tiada rekod pengklonan manusia setakat ini seperti mana di dalam cerita-cerita bohong orang-orang barat.

Dari sudut hukum Islam, sememangnyalah pengklonan itu haram. 'Mencipta' benda hidup luar dari saluran yang betul, yakni bukan dari persenyawaan yang normal. Ah, orang kafir. Bukannya tahu halal haram. Mereka pakat redah saja. Itu baru haiwan. Manusia apatah lagi. Dulu aku pernah teringat berita tentang ujikaji pengklonan manusia. Alhamdulillah, nasib baiklah ujikaji mereka tidak berjaya. Kalau berjaya macam mana?

Klik sini untuk meneruskan bacaan..

Selain dari klon, orang barat juga pernah menguji persenyawaan dan percantuman gen antara haiwan yang berlainan spesis. Mereka ini gila. Saintis-saintis mereka kebanyakannya tidak betul. Kalau difikir dari sudut logik akal, macam mana hendak cantumkan dua haiwan yang berlainan spesis?

Malam minggu lepas, aku berborak fasal topik pengklonan dan pencantuman dua haiwan pada spesis yang berlainan, bersama rakan-rakan aku. Isu pengklonan tidak menarik minat ramai. Yang menarik minat adalah isu pencantuman dua haiwan.

Dulu kita semua belajar sains, bukan? Ala, aku tahu kamu semua suka sangat topik bab 1 semasa tingkatan tiga iaitu bab persenyawaan. Boleh belajar 'ilmu seks'! Haha.. Bukan, bukan. Aku tidak mahu menyentuh soal seks sekarang. Saintifiknya, untuk menghasilkan keturunan atau baka, ia perlulah melalui proses persenyawaan. Di mana persenyawaan akan berlaku apabila sperma bercantum dengan ovum. Persenyawaan pula berlaku samada di luar organ peranakan mahupun di dalam organ peranakan. Beza boleh diketahui bila proses persenyawaan berlaku antara katak dan kuda. Ini contoh saja. Pengetahuan umum. Itu soal persenyawaan. Bagaimana pula kita hendak hasilkan sesuatu keturunan atau baka selain dari proses persenyawaan? Adakah ini mungkin? Percantuman gen atau DNA adakah mungkin? Entah..

Malam itu, kami ketawa sakan. Manakan tidak. Jikalah benar ujikaji itu berjaya, sebagai contoh, percantuman sperma lembu dengan ovum kambing, apa kita hendak panggil kepada anak yang bakal lahir itu? Penyu + Katak = PUTAK? Oh, tidak. Mungkin tidak. Lagipun bukan orang Malaysia yang berani melakukan ujikaji seperti ini. Melanggar undang-undang lumrah dunia.

"Betul juga kata kau, Latip. Macam mana ya kalau orang boleh cantum haiwan-haiwan macam ni? Apa kita nak panggil?", soal kawanku.

"Panggil sajalah apa-apa pun. Mana aku tahu!" tegasku.

"Cuba bayangkan macam mana kalau lembu campur (cantum) dengan kambing. Apa akan jadi?" soal kawan aku.

"Lembing!" jawabku spontan. Diiring gelak ketawa. Bergegar meja. Air di dalam gelas sedikit tumpah ke meja akibat bergegar diketuk dengan tangan-tangan orang yang ketawa.

"Siot je. Pandai ko kenakan aku," kataku. Kutuk mengutuk disusuli kemudian. Beberapa minit kemudian aku mendapat idea. Lantas aku bertanya, "Kalau kupu-kupu cantum dengan rama-rama, jadi apa ya?"

Masing-masing berfikir. Beberapa ketika, semua hilai ketawa. Mungkin sudah tangkap jawapannya.

"Kupu-kupu + rama-rama = KURA-KURA!!!", jawabku seakan menjerit. Kami ketawa besar sampai berair mata. Haha..

Waktu itu barulah aku sedar. Betapa bodoh dan tololnya orang barat jika berjaya mencipta formula yang boleh mencantumkan haiwan yang berlainan spesis. Menjadi sulit pula untuk kita memanggil apakah haiwan yang bakal terhasil. Kalau orang barat tidak mengapalah. Bahasa dia berlainan. Ikut suka merekalah hendak bubuh apa nama bagi haiwan yang berjaya dicantumkan itu. 'Moinnix' atau 'Fiddue'. Lantaklah. Walaupun begitu, isu panggilan atau menamakan haiwan bukan isu besar. Yang isu besarnya adalah.. ciptaan yang melangkaui batas-batas ciptaan Allah s.w.t...

Wallahua'lam.

Sunday, January 31, 2010

Gunalah Kelambu..


Ini peristiwa 9 tahun yang lepas. Waktu itu aku di tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail 2, Kemaman. Waktu itu, minat aku untuk belajar ditolak ke tepi. Aku banyak bermain-main dan lewa saja tentang pembelajaran. Maka, aku banyak ponteng kelas-kelas tertentu. Kebanyakan cikgu tidak mempedulikan aku. Lembaga disiplin pun sudah muak menulis namaku di dalam rekod disiplin. Dan pada hari itu, aku meninggalkan kelas Prinsip Akaun kerana kurang minat. Aku ponteng dan terus ke kelas Perdagangan untuk lepak bersama rakan. Kadang-kadang cikgu ada di kelas Perdagangan pun aku tidak peduli. Tidak kira subjek Ekonomi sekalipun, aku turut serta sedangkan aku kelas aliran Sains.

Kebetulan waktu itu subjek Sains sedang berjalan di kelas Perdagangan. Tanpa segan silu aku ambil 'port' di meja belakang. Cikgu yang mengajar waktu itu adalah guru kelas aku sendiri iaitu Mr Foo. Cikgu cina. Aku pernah cerita fasal Mr Foo untuk entry yang lepas. Pelatnya agak kelakar sedikit.

Mr. Foo di'sinonim'kan dengan penyakit kansernya. Bukannya dia yang menghidap penyakit kanser. Akan tetapi, dia cukup anti dengan penyakit tersebut. Segala amalan di dalam kehidupan yang boleh menyebabkan kanser amat dia titik beratkan. Pernah suatu ketika, waktu itu aku di makmal Kimia. Sedang dia asyik mengajar, tiba-tiba dia menutup hidung sambil mengerutkan muka. Aku terpinga-pinga.

Klik sini untuk meneruskan bacaan..

"Kamu ada hidu bau ka?", tanya Mr. Foo kepada kami. Kami memandang sesama sendiri. Bau apa? Kami masih kurang mengerti persoalan cikgu Kimia kami itu. Mr. Foo berjalan merapati pinggir tingkap dan memandang ke luar. Tiba-tiba dia marah dan memaki hamun.

"Bodo orang tua! Bakor sampah sesuka ati. Bahaya! Boleh jadi kanser!"

Kami tergelak besar. Sensitif betul hidung dia. Pakcik 'cleaner' yang tidak bersalah juga dia persalahkan. Katanya, pembakaran bahan plastik boleh menyebabkan kanser. Walaupun tanpa bau, bahan kimia yang teresap di udara adalah merbahaya dan memudaratkan kesihatan. Katanyalah... Aku pun tidak pasti. Dia cikgu kimia, dia lebih mengetahui.

Berbalik semua kepada cerita asal.

Seperti biasa, masuk saja kelas dia terus berceramah tentang penyakit kanser. Waktu itu, dia bakal mengajar sub-topik Sains yang bertajuk tindak balas air dan udara, kalau tidak silap. Macam-macam dia sentuh. Hal basuh tangan, hal semasa makan malah hal semasa tidur.

Katanya, "Jangan guna penyembur nyamuk sebelum tidur. Ubat nyamuk pun jangan guna. Kanser!", sambil tersengih.

Seorang pelajar perempuan mengangkat tangan dan bertanya, "Habis tu cikgu, takkan kitorang nak bertarung dengan nyamuk malam-malam. Rimaslah, cikgu."

"Guna kilambu (kelambu)!" katanya sambil mengangkat jari telunjuk. Sambungnya, "Guna kilambu manyak silamat. Nyamuk takkan ganggu kita masa tidur. Kalu boleh, tidur dalam kilambu.. makan dalam kilambu.. minum dalam kilambu.. buat semua dalam kilambu." Dia cuba membuat lawak. Dia tersengih seperti kerang busuk. Namun lawaknya tidak menjadi. Kami terpinga-pinga. Yalah. Zaman sekarang mana ada lagi orang menggunakan kelambu. Kebanyakkan guna penyembur nyamuk seperti Ridsect. Jika tidak pun guna penghalau nyamuk elektrik. Agak kuno menggunakan kelambu.

Penyataan Mr. Foo agak tidak memuaskan hati salah seorang dari rakan aku. Jawapan yang diberi olehnya seolah-olah menyindir dan main-main. Lantas rakan aku yang agak nakal ini menujukan satu soalan.

"Kalau saya mahu gunakan spray nyamuk juga boleh tak cikgu? Saya tak mahu guna kelambu."

Mr. Foo menjawab, "Nanti kamu kena kanser!"

Dengan senyuman mengancam, rakanku membalas, "Takpelah kena kanser. Boleh lagi hidup 3 atau 4 tahun. Kalau kena denggi tak sampai 3 hari aku dah kiok (mati)!"

Kami tergelak besar. Satu kelas kecoh. Ada benar juga kata rakanku itu. Kami gelak sampai berair mata. Aku lihat muka Mr. Foo agak merah padam. Malu agaknya. Setelah beberapa minit ketawa, dia langsung meneruskan pembelajaran. Tiada lagi ceramah fasal kanser. Haha..

Saturday, January 30, 2010

Perempuan Murahan Untuk Lelaki Jongos

Jam menunjukkan pukul 12.30 pagi. Seperti kebiasaannya jika aku keluar sebelah malam, aku akan keluar lepak, berborak dan bergelak ketawa sambil menikmati minuman di salah sebuah gerai di tengah-tengah bandar Chukai, Kemaman. Paling lewat membawa hingga ke pukul 1 atau 2 pagi. Aku biasanya bersama beberapa orang lagi rakan. Lelaki semuanya. Tidak pernah ada wanita dalam kumpulan lepak kami. Jika ada bagi kami suasana akan sedikit suram dan bosan (perempuan ni sensitif! tak boleh dibuat gurau! cepat terasa!).

Malam semalam, kami berlima termasuk seorang rakan kepada rakan aku yang bernama Safwan. Tanpa memperkenalkan diri, dia terus saja duduk. Badannya berketul-ketul.

"Baru balik dari gym," kata Safwan. Rakannya, yang tidak diketahui namanya, hanya tersenyum.

"Patutlah badan kau pun berketul-ketul. Macam Malik Nor aku tengok," perli aku kepada Safwan. Aku memegang perut Safwan yang agak memboyot ke depan. Aku tergelak. Safwan hanya tersengih-sengih seperti kerang busuk.

Beberapa minit kami lepak, rakan Safwan yang tidak diketahui namanya bangun. "Nak pegi depan jumpa 'bos'," katanya.

Bos? Aku sedikit terkesima. Siapa?

Aku memerhatikan rakan Safwan itu. Dia berjalan terus ke kaunter dan bercakap-cakap sesuatu dengan pemilik gerai. Oh! 'Bos' maksudnya pemilik kedai rupa-rupanya. Aku sangkakan 'bos' itu 'ketua' ditempat kerjanya. Beberapa minit kemudian, dia kembali ke meja kami sambil menghulurkan sesuatu kepada Safwan.

"Untuk di'makan'. Cubalah,", katanya.

"Apa ni?", tanya Safwan sambil menyambut. "Siapa ni? Perempuan mana ni?"

Oh, rupanya sekeping foto. Aku merapati Safwan untuk melihat. Wajah perempuan pada foto kira-kira dalam lingkungan 20-an. Cantik orangnya. Kulit putih melepak.

"Kalau ko nak, ambil gambar tu sekali dengan no phone. 'Bos' bagi untuk di'makan'," kata rakan Safwan itu lagi. Aku beristighfar panjang di dalam hati. 'Makan'?!

"Nama?", tanya Safwan lanjut.

"Itu ko kena usha sendiri. Aku dah bagi foto sekali dengan no phone dia dah. Pandai-pandai ko lah," balasnya.

Aku dan beberapa orang lagi rakan hanya terdiam tanpa berkata apa-apa. Kami hanya tengok foto itu. Ramai yang memuji gambar perempuan di dalamnya itu cantik. Pemakaiannya pun sopan, berkebaya dan bertudung. Namun, kenapa cukup mudah gambar tersebut jatuh ke tangan lelaki? Kenapa mudah perempuan mempercayai lelaki yang tidak dikenali sampai sanggup menyerahkan foto dan nombor telefon kepada lelaki? Terdesakkah?

Sebenarnya, aku mengenali Safwan sejak dari darjah satu. Lebih kurang 19 tahun kami kenal dan rapat. Aku percaya, Safwan tidak begitu mudah 'makan' perempuan seperti itu. Lagipun aku yakin Safwan tidak akan membuat perkara yang dilarang di sisi agama Islam. Berdosa besar!

Waktu itu, pelbagai cerita bermain dikotak fikiran aku. Antaranya, aku dan rakan aku, Awie, pernah berusaha menyelamatkan budak perempuan berumur 16 tahun yang lari dari rumah. Namun berakhir dengan kekecewaan kerana budak perempuan itu terlibat dengan kes rogol. Lagi, perempuan-perempuan 'murahan' di depan premis Awie. Lelaki-lelaki jongos memancing perempuan baya umur belasan tahun dengan sebiji kereta untuk di'makan'. Tidak kurang ada yang berpeluk cium di tempat gelap di celah-celah tiang. Pegawai agama datang hambat pun lesap seminit dua saja. Selepas itu, kembali rancak. Tanpa menghiraukan orang yang lalu lalang yang pulang dari kerja.

Aku menggeleng-gelengkan kepala sambil memandang kepada Awie. Malam itu tidak banyak kami bualkan. Kira-kira pukul 1 pagi, kami mengangkat punggung lalu pulang ke rumah masing-masing.

**********

Sekarang macam-macam boleh jadi. Dari internet pun ada yang tergadai maruah. Inikan pula dari telefon dan gambar. Berjumpa bersemuka apatah lagi. Kosmo dah masuk waktu ketika dulu. Kecoh dengan 'pelacur made in Kemaman'. Selepas itu, Metro. Tahun lepas, Sinar Harian pula. Kes rogol budak bawah umur makin menjadi-jadi. Tahun lepas saja sebanyak tiga kes yang aku dengar dari pegawai polis yang aku kenal. Tiga kes itu jugalah langsung tidak keluar mana-mana surat khabar. 'Mak' budak, 'kakak' budak apatah lagi. Miang kepada lelaki.

Mahu perempuan 'murahan', datanglah ke Chukai, Kemaman. Mak budak, kakak budak, yang hitam, yang putih, yang gebu, yang montok, yang gemuk, yang sekeping, yang nakal... semua ada! Janji anda berduit, berkereta. Muka hodoh, badan sekeping atau gedempol belakang cerita.

Datanglah dan alaminya sendiri...

Friday, January 29, 2010

Ke Mana Tumpahnya Air Sirap Kalau Tidak Ke Nasi

Peristiwa ini berlaku semasa aku belajar di kolej. Aku berada di semester terakhir. Permulaan semester tersebut jatuh dalam bulan Ramadhan, iaitu bulan seluruh umat Islam berpuasa. Itu adalah kali pertama aku berpuasa jauh dari keluarga. Hidup mesti sendiri-sendiri. Aku tinggal di rumah yang disewa oleh pihak kolej. Ahli isi rumah adalah seramai enam orang termasuk aku. Pada minggu pertama kami banyak bersahur dan berbuka diluar saja. Memandangkan masing-masing punyai wang yang dapat menanggung perbelanjaan. Konon mewah. Ada yang hasil bekerja sementara sewaktu cuti, malah ada juga hasil pemberian ibubapa.

Masuk minggu yang kedua, kami mula menyedari kami hampir kesempitan. Ada yang bersahur dengan makan Meggie sahaja. Bermula dari itu, kami berpakat untuk masak sendiri. Namun malang bagi kami warden tidak mengizinkan kami memasak di dalam rumah tersebut. Setelah dipujuk, hanya 'rice cooker' dibenarkan. Mahu atau tidak, kami terpaksa. Masaklah nasi kami sendiri di rumah. Lauk pula terpaksa kami beli diluar, hasil kutipan antara RM1.50 hingga RM3 seorang. Boleh banyak jugalah lauk untuk dimakan seramai enam orang. Ala kadar saja. Aku dan seorang rakan serumah, Helmie, sukarela pergi ke bazaar untuk membeli lauk pauk. Terkadang datang rasa malas, kami menyuruh rakan serumah yang lain. Biasanya kami hanya berbuka. Untuk bersahur, kami akan simpan sedikit lebihan lauk dan nasi. Tetapi hanya aku dan rakan aku, Eddy yang rajin bersahur. Yang lainnya dibuai mimpi. Maka, begitulah hari-hari kami di bulan Ramadhan.

Pada suatu hari, aku dan Helmie agak malas untuk ke bazaar membeli lauk. Maka aku menyuruh Eddy dan Pokyo ke bazaar. Dijadikan cerita, lauk yang dibeli oleh mereka agak sedikit. Kuahnya pula sedikit. Aku dan Helmie diam saja. Maklumlah, bulan puasa bulan baik. Tidak elok marah. Setelah azan Maghrib berkumandang, kami menatap juadah berbuka. Aku makan sedikit dan meneruskan sembahyang dahulu. Setelah itu barulah aku sambung berbuka. Kami makan semahunya.

Tiba-tiba Helmie bersuara, "Awat ni? Kuah kurang. Nasik dah kering ni." Aku memandang nasi dipinggan Helmie. Aku pandang nasi aku pula.

"Yelah. Aku pun. Boleh tercekik camni," kataku. Kebetulan waktu itu tinggal aku dan Helmie saja yang menatap juadah yang hampir habis. Dengan tidak semena-mena, Helmie menuang sedikit air sirap ke dalam nasinya yang sudah kering tadi. Aku terbeliak, kehairanan. Seakan tidak percaya apa yang aku lihat.

"Kau tuang air sirap dalam nasik ko, Mie?" tanya aku. Aku masih bingung. Helmie tidak menjawab. Dia terus makan tanpa mempedulikan soalan yang aku tujukan. Mahu atau tidak, aku ikut cara Helmie. Aku tuang sedikit air sirap dan makan. Asalnya rasa kari, sekarang nasi itu sudah berasa air sirap. Aku fikir, asalkan tidak tercekik, lantaklah!

Baru aku sedari betapa cerdiknya orang kampung seperti Helmie. Adakalanya pada hari yang lain, aku lihat Helmie menuangkan sedikit air kosong ke dalam pinggannya jika kekeringan kuah. Jika tidak akan tercekik, kata Helmie. Walaupun agak nampak pelik dan 'kampung', bagi aku ia amalan yang unik. Aku tengok muka Helmie selamba saja bila nasinya berasa air sirap. Bukannya rasa kari lagi.

Kini, ia berlaku lagi. Peristiwa ini terjada pada bulan lepas. Waktu itu aku menatap hidangan tengahari bersama-sama adik bongsuku. Amirul namanya. Semasa makan, nasiku kekeringan kuahnya. Lantas aku tuang sedikit air kosong ke dalam pinggan. Adik aku terperanjat dan bertanya alasannya. Sesudah aku terangkan sebabnya, dia tergelak. Kelakar, katanya. Dia terdiam bila aku bersuara, "Sekarang kita hidup senang. Bayangkan suatu hari nanti kita hidup susah. Makan pun nasi kosong saja kalau bernasib baik. Kuahnya kau nak ambil mana? Jadi, cmni la orang susah makan! Belajar hidup susah tau!"

Diharap kata-kata aku sedikit memberi motivasi kepada adik bongsuku yang berumur 12 tahun itu. Ini kerana baru minggu lepas dia memasuki sekolah pondok. Khilafku, di sana hidupnya susah. Makan minum semuanya sendiri-sendiri. Harapnya dia tahu dan merasai bagaimana hidup susah dari peringkat umur sepertinya.

Wednesday, December 16, 2009

Bersenamlah


Nama saya Zulkifli. Saya seorang pesara guru. Saya dikenali dengan panggilan Aboh (Abah) atau Cikgu Zul. Umur 57 tahun. Melihat kepada wajah, ramai yang tidak menyangka saya sebenarnya seorang 'lelaki pencen'. Saya sudah tua. Tapi sesiapa yang mengenali saya, pasti sudah sedia maklum akan umur sebenar saya, termasuk guru-guru, bekas guru, pegawai dalam kementerian pendidikan, bekas murid, dan kakitangan sekolah yang pernah saya bekerja suatu ketika dahulu. Tetapi tidak kepada yang baru mengenali saya. Ramai yang menyangka saya dalam lingkungan 40-an saja. Kenapa? Saya ada rahsianya.

Ini bukan cerita karut mahupun cerita rekaan. Cerita ini juga bukan berbentuk iklan, mengajak orang ramai membeli sesuatu produk. Tidak perlu produk. Cerita ini adalah dari pengalaman saya sendiri. Semoga cerita saya ini sedikit sebanyak memberi pandangan luas dan fikiran yang membuka kepada anda.

Klik sini untuk teruskan bacaan..

Sewaktu di sekolah dahulu, saya pernah menjadi guru sukan. Saya mengajar anak murid di bawah jagaan saya mengenai sukan. Sehingga pencen pun saya tidak tinggalkan untuk bersukan, termasuk senaman. Namun pada usia saya kini, saya sudah kurang bersukan. Namun aktiviti bersenam di pagi hari tetap wajib dalam diri saya.

Pada suatu hari iaitu beberapa tahun sebelum saya bersara, terjadi kejadian yang agak melucukan. Disebalik kejadian itu juga sebenarnya terselit ilmu dan contoh tauladan untuk saya, dan juga sesiapa yang mendengar cerita saya. Sewaktu itu saya ke bandar keseorangan, tanpa bertemankan isteri, atas urusan peribadi. Saya pun lupa apakah urusan tersebut. Saya berjalan menyusuri kaki lima di sebuah bank di bandar Chukai, Kemaman. Sewaktu saya berjalan, saya mendengar jeritan kuat tidak jauh dari situ. Saya dapat pastikan suara itu adalah suara seorang wanita. Saya berhenti melangkah. Saya lihat ada seorang lelaki berlari dari arah bertentangan dengan saya. Dia lari lurus menapak di atas jalan raya yang agak lengang.

"Tolong! Beg saya! Beg saya!" jerit seorang remaja perempuan sambil melambai-lambaikan tangan. Dia seakan memanggil sang peragut untuk memulangkan kembali beg sandangnya. Kadang-kadang bila kita fikir, lucu juga. Mungkin tabiat orang kita. Lebih tepat lagi orang wanita kita. Bila 'dirampas' sesuatu dari genggaman atau diragut oleh seseorang, secara spontan tangan mereka akan melambai. Entah melambai kepada siapa. Panggil beg itu agaknya.

Kebetulan peragut itu berlari bertentangan arah dengan saya yang sedang melintas jalan untuk ke lot bangunan di seberang. Entah apa nasib saya, pada waktu itu tiada seorang pun yang melihat atau cuba untuk masuk campur. Saya seorang diri pada waktu itu. Saya beranikan diri bersetentang muka dengan peragut. Namun peragut itu licik benar. Bila hampir dengan saya dalam beberapa meter, dia cuba mengelak dan terus melarikan diri. Saya lihat dia memeluk erat beg warna hitam milik remaja wanita yang menjerit tadi. Dengan tenaga yang ada, saya mengejar. Sampai di suatu simpang, dia berhenti kerana keadaan sesak dengan kenderaan. Peragut itu memalingkan badan dan melihat saya berlari dan menghampiri. Saya agak ranjat bila peragut itu membuka langkah silat!

"Ah, sudah," bisik saya. Saya cuba menapak perlahan untuk menghampirinya. Tetapi saya lagi sekali agak terperanjat bila satu jurus tumbukan laju hampir mengenai muka saya. Saya melangkah undur beberapa tapak. Saya perhatikan peragut itu membuka jurus silatnya lagi. Tetapi agak berterabur. Malang bagi saya, saya tidak tahu bersilat!

"Jangen rapat'in! Kalo berani masukk! Masuukkk!!!" jerit peragut itu kuat. Dari jeritannya saya dapat mengagak bahawa lelaki peragut itu adalah Mat Indon atau lebih tepat lelaki pendatang dari Indonesia. Saya tidak endah. Saya cuba rapat dan merampas beg dari genggaman lelaki peragut itu. Zus! Zus! Beberapa jurus sepak terajang diberikan kepada saya. Tapi saya dapat elak dengan jayanya. Angin hayunan kaki menyapu lembut muka saya. Kami berdua bertarung agak sengit. Saya tidak mampu berbuat apa-apa kecuali elak dan terus mengelak. Langsung tiada peluang untuk menyerang balas. Agak hebat juga jurus peragut itu. Setelah 30 minit bertarung, lelaki peragut itu berhenti dan nafasnya naik turun laju. Dia semput.

"Ini tidak boleh jadi. Aku mesti tewaskan dia," bisik saya. "Serahkan beg. Kalau tidak, kau menyesal," ugut saya kepada peragut itu. Ternyata peragut itu berdegil. Sudah namanya penjenayah. Mereka tidak akan mengaku kalah. Langsung peragut itu memberi satu tendangan laju ke arah muka kiri saya. Saya dapat membaca langkahnya. Saya membuat satu aksi akrobatik. Saya kangkangkan kaki. Saya lentur badan saya kebelakang. Tangan saya menapak ke tanah. Zusss! Saya menendang laju ke arah 'anu'nya. Thuddd!! Lelaki tadi tumbang dan menggelepar sambil memegang 'anu'nya.

Sewaktu itu barulah saya dapat mencapai beg sandang bewarna hitam. Ketika itu juga, datang ramai orang mengelilingi saya. Ada yang menepuk bahu dan bertanya, "Pakcik tak apa-apa?" "Pakcik okay?" Alhamdulillah saya okay. Jawab saya dengan nada selamba. Mulut peragut itu berbuih menahan kesakitan. Saya terus meminta salah seorang lelaki untuk menghantar peragut itu ke balai polis. Tetapi lelaki itu seakan panik. Tidak tahu berbuat apa-apa bila melihat mulut peragut berbuih dan badan menggeletar. Dia sarankan untuk dihantar ke hospital terlebih dahulu. Datang seorang lelaki tua dan menahan lelaki itu dari mengangkat peragut. "Biarkan. Biar saya buat," katanya.

Saya lihat lelaki tua itu memegang sesuatu di celah kangkang peragut. Saya membongkokkan badan dan mengendap dekat. Lelaki tua itu memegang buah 'anu' si peragut. Lalu ditariknya. Tup! Seraya itu, lelaki peragut itu bangun dan agak terpinga-pinga. Selepas sedar, peragut itu dibawa ke balai polis. Berkampunglah si peragut dilokap selama seminggu.

Keesokkan harinya, kecoh satu sekolah tempat saya bekerja. Rasa bangga pun ada. Malu pun ada. Bila masuk ke kelas, ramai anak murid saya bertanyakan saya tentang kejadian tersebut. Saya bercerita kepada mereka. Berderai hilai ketawa kerana lucu mendengar cerita saya.

Pernah suatu petang, ada cikgu-cikgu bertanyakan kepada saya. Bagaimana saya boleh melenturkan badan seperti akrobatik? Dengan tenang dan kuntum senyum dibibir, saya menjawab, "Bersenam dengan tali. Skipping!" Saya menegaskan bahawa saya boleh buat pelbagai gaya dengan tali skipping. Sambil duduk. Berdiri. Malah dengan bangkit tubi pun. Ramai cikgu yang teruja. Saya juga mengesyorkan mereka agar terus bersenam kerana senaman itu amat penting terutama kepada mereka-mereka yang sudah lanjut usia.

Jadi secara kesimpulan dari cerita saya, bersenamlah! Bersenam itu penting. Mana tahu besar kemungkinan perkara seperti ini berlaku juga kepada kita. Malang tidak berbau, bukan?
Seperti yang diceritakan sendiri oleh Cikgu Zul atau Aboh kepada penulis. Kini Aboh tidak lagi mendidik anak murid. Aboh kini aktif sebagai aktivis sosial, seperti membantu ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim, dan fakir miskin. Berkat aktiviti sosialnya, beliau kini masih sihat seperti kebanyakan lelaki yang berumur lingkungan 30 hingga 40-an. Walhal umur Aboh dengan ayah penulis tidak jauh beza. Tetapi ayah penulis tidaklah seaktif Aboh. Jadi, marilah kita bersenam untuk kesejahteraan dan kesihatan tubuh badan kita. =)

Friday, December 11, 2009

Tersadung Kaki Memang Menyeronokkan

Petang semalam aku pulang ke rumah kira-kira pukul 7 petang. Selepas puas lepak menghabiskan masa bersama rakan-rakan, aku pulang bersama majalah Mastika, majalah kegemaran aku. Aku cuba menyoroknya di bawah seat motosikal. Aku sudah sedia maklum akan 'larisnya' majalah ini bila sampai ke rumah kelak. Ada saja tangan-tangan yang hendak merampasnya dari aku.

Tiba di rumah, aku selitkan majalah itu di dalam baju. Aku kuakkan pintu rumah. Mujur, tiada sesiapa. Aku keluarkan majalah itu dari baju dan memalingkan muka ke arah pintu dan terus menguncinya. Sebaik berpaling ke dalam rumah, aku terperanjat apabila memandang sebujur tubuh yang amat aku kenali. Berdiri bercekak pinggang. Kakak!!!

"Sorok apa tu?" tanya tanya kakakku. Dia menggerakkan sedikit keningnya, turun naik. Dia tersenyum simpul. Kaki kanannya menghentak-hentak lantai perlahan. Gaya ala Robinhood pula.

Klik sini untuk teruskan bacaan..

Aku kelu untuk berkata-kata. Hanya perkataan 'er' yang keluar dari mulut. Aku tersengih seperti kerang busuk. Aku mengalihkan majalah Mastika ke belakang aku. Namun aku tahu aku sudah terlambat.

"Tak payah nak sorok-sorok. Akak dah nampak. Bak sini!" pinta kakakku secara paksa tetapi terselit gurau. Aku cuba lari. Berjaya. Aku berlari anak sambil perli ke arah kakak aku yang berlari perlahan. Macam siput, kataku. Bak kata orang tua-tua, jangan berkasar dan menyakiti hati orang yang lebih tua. Padah jawabnya.

Bila aku berpaling ke depan sambil berlari, aku tersadung kakiku sendiri. Kedebuk! Aku jatuh seperti nangka busuk. Dahi aku tersembam ke lantai. Sakitnya, hanya Allah yang tahu. Kakakku menjerit. Dia mendapatkan aku. Dia bertanya adakah aku okay atau tidak. Aku mengangguk. Aku memberitahunya yang aku sedikit pening. Dia gelakkan aku separuh mati. Aku diam dan tersengih.

Selepas ketawa seketika, aku bingkas bangun. Aku lihat kakak aku terus meluru masuk ke biliknya. Aku terdengar dia mengunci pintu biliknya. Aku langsung saja melangkah menuju ke arah bilikku. Seketika, aku teringat akan majalah Mastika yang baru saja aku beli petang tadi. Eh? Di mana? Aku mencari sekeliling. Tempat aku jatuh seperti nangka busuk tadi. Tiada. Aku terus jatuh syak.

Aku menuju ke bilik kakakku. Terus aku mengetuk pintu biliknya bertalu-talu. Diam di dalam. Dalam beberapa minit, emak aku keluar dari bilik kakakku. Aku pula yang dimarahi emak sebab membuat bising. Memang kebiasaan bagi emak aku, bersolat di dalam bilik kakak aku berbanding biliknya sendiri. Nah. Mastika 'dirampas', aku pula dimarahi. Dengan langkah longlai, aku masuk ke bilikku dengan perasaan dendam yang mendalam. Di dalam kepalaku terbayang betapa besarnya kakakku gelak. Ditangannya memegang majalah Mastika, kepalanya bertanduk merah, mukanya bengis. Hampeh!

Aku menggosok-gosokkan dahiku yang sakit tadi. Daripada kejadian tadi, sakit dapat, marah maki pun dapat. Majalah kesayangan aku.. esok sajalah aku baca!

Tuesday, December 01, 2009

"Haiya..!"

Saya adalah seorang guru. Saya sudah berkecimpung dalam bidang ini sudah lebih 7 tahun. Saya sudah berkahwin dan dikurniakan 4 orang anak. Alhamdulillah, kerjaya saya selaku guru sangat memuaskan hati sendiri dan guru-guru yang lain. Berpengalaman kerjaya saya ini, saya telah dilantik oleh kerajaan sebagai pegawai pemeriksa peperiksaan besar bagi sekolah menengah iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2 tahun lepas. Selama 2 tahun itu, pelbagai pengalaman pahit manis telah saya tempuhi. Ada yang lucu juga.

Tahun ini, saya ditugaskan untuk menjadi petugas peperiksaan SPM di sekolah menengah di sebuah daerah di Johor. Saya ditugaskan untuk berkawal di dewan peperiksaan di sana. Pada sepanjang hari pertama, peperiksaan berjalan dengan lancar. Tiada masalah besar yang saya hadapi. Kes kelewatan, tertinggal kad pengenalan, dan ketidak hadiran pelajar ke dalam dewan peperiksaan adalah perkara biasa.

Klik sini untuk teruskan bacaan..

Masuk pada hari ke-empat saya bertugas, saya hadir bertugas di dewan peperiksaan agak lambat kerana kereta saya bermasalah ketika di dalam perjalanan. Alhamdulillah, ketua petugas tidak memperbesarkan perkara itu. Peperiksaan bermula pada pukul 8 pagi dan jadual seterusnya menyusul pula pada pukul 2 petang.

Pada hari tersebut, setelah saya selesai membuat edaran kertas penanda jawapan di setiap meja calon di dalam dewan, saya keluar dan berdiri di luar dewan. Waktu itu sudah terdapat hampir separuh calon yang telah bersiap sedia untuk masuk ke dalam dewan. Setelah hampir pukul 2 petang, saya mengarahkan calon-calon itu masuk ke dalam dewan segera. Calon-calon tersebut memasuki dewan peperiksaan. Cuma pada ketika itu saya terlihat ada seorang pelajar perempuan cina masih di luar dewan dan terbongkok-bongkok seakan mencari sesuatu. Saya perhatikan pelajar itu yang hanya beberapa meter saja jaraknya dari tempat saya berdiri. Pelajar itu menguis-nguis rumput-rumput yang kelihatan panjang dengan kakinya. Tangan kirinya memegang erat sesuatu. Pen dan nampak sedikit hulu pembaris. Setelah beberapa minit saya melihat gelagat pelajar perempuan cina itu, saya kehairanan. Apa yang dicarinya?

"Hello, cari apa?" tegur saya setelah mendekatinya. Pelajar itu memaling mukanya kepada saya. "Haiya..!" balasnya sambil kembali terbongkok-bongkok. Dia menyambung kembali pencarian yang tidak diketahui. Saya kaget. Saya mengerutkan muka. Pelajar tadi tidak langsung menjawab soalan saya. Saya bertambah kehairanan.

"Kamu mencari apa dari tadi?" tanya saya lagi. Saya tidak berpuas hati. Dan lagipun peperiksaan akan bermula tidak lama saja lagi. Saya tidak mahu mana-mana calon lewat dan lambat memasuki dewan. Mengikut undang-undang peperiksaan SPM pun memerlukan masa kehadiran awal 30 minit sebelum masa sebenar peperiksaan bermula. Pelajar tadi memalingkan mukanya kepada saya. Sama juga jawapannya. "Haiya..!" katanya sambil menepuk dahi. Dia tercari-cari lagi.

"Kamu cari pen kamu jatuhkah?" tanya saya, cuba menganggar agak. Sama juga jawapan yang terpacul dari mulutnya. "Haiya..!" Cuma nadanya agak tinggi sedikit.

"Kamu mencari IC kamu kah?"

Sebaik saja saya bertanya soalan itu, pelajar perempuan cina itu menepuk dahi sambil melihat sesuatu di tangannya. Saya nampak kad pengenalan di dalam genggamannya. Lagi sekali pelajar itu menjerit. Agak kuat. "Haiyaaaa..!!" Dia bingkas bangun dan terus memasuki dewan. Tinggallah saya terkebil-kebil berdiri di luar dewan. Barulah saya ketahui apakah bendanya yang dicari oleh pelajar tersebut. Kad pengenalan rupa-rupanya. Agak lucu tingkahnya. Saya cuba menahan ketawa dan terus melangkah memasuki dewan.

Sewaktu pulang ke rumah, saya menceritakan kejadian tadi kepada suami. Tergelak besar suami saya. Masakan tidak. Sesuatu benda yang kita sangkakan tercicir atau hilang sebenarnya ada pada tangan kita. Suami saya juga pernah bercerita sewaktu masa dahulu. Lebih kurang juga ceritanya. Cuma ia berlaku kepada suami saya sendiri. Kami gelak bersama-sama setelah suami saya cuba membezakan ceritanya dengan cerita saya tadi. Geli hati sungguh.
Cerita ini adalah berdasarkan kisah benar cuma ada penokok tambahan untuk menyegarkan jalan cerita.
 

Blog Aduka Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger