"Anda kenal siapa P. Ramlee?"
Bila diajukan soalan yang sedemikian, jarang sangat kita dengar (mungkin tidak akan dengar langsung) jawapan yang dijawab adalah TIDAK. Tanyalah sesiapa sahaja, semua golongan, bahkan segenap lapisan masyarakat dan usia mengenali seniman agung tanahair ini. Jangan ditanya kepada budak-budak bawah 3 tahun pula ya.
Read more/less..
Bila diajukan soalan yang sedemikian, jarang sangat kita dengar (mungkin tidak akan dengar langsung) jawapan yang dijawab adalah TIDAK. Tanyalah sesiapa sahaja, semua golongan, bahkan segenap lapisan masyarakat dan usia mengenali seniman agung tanahair ini. Jangan ditanya kepada budak-budak bawah 3 tahun pula ya.
Read more/less..
PERHATIAN! Aktiviti PLAGIAT (copy & paste) sesuatu artikel tanpa pengetahuan dan kebenaran penulis adalah satu aktiviti/perbuatan yang TIDAK BERMORAL!
Aku sebenarnya bukan mahu bercerita mengenai siapa P. Ramlee. Aku bukan mahu membuat biodata mengenai beliau juga. Sebaliknya aku mahu bercerita sedikit sebanyak bagaimana aku mula mengenali P. Ramlee.
Pada zaman awal 90-an, jangan haraplah mahu cari CD. Tidak akan jumpa. Dahulu cuma popular dengan VHS tape. Kalau budak-budak zaman sekarang tengok, mereka akan cakap itu 'kaset saiz XL'. Sebab? Sebabnya dia memang besar! Lihat gambar di bawah.
Sewaktu kecil, aku sudah didedahkan dengan filem-filem Melayu selain dari cerita-cerita kartun. Ayah akulah pembawanya di dalam keluarga. Ayah aku adalah salah seorang peminat setia seniman agung Tan Sri P. Ramlee. Selain P. Ramlee, ayah aku juga pengumpul VHS tape cerita-cerita hindustan klasik seperti 'Roti Kapada Aur Makann', 'Sanggam', dan sebagainya. Yang menariknya, koleksi-koleksi filem VHS yang ada pada ayah aku bukannya dari filem yang direkod khas sepertimana era CD sekarang. Tunggu enam bulan, sudah boleh dapat dalam bentuk CD atau DVD. Gambar pula cantik. Berminyak. Sebaliknya, filem di VHS tape dahulu hanya direkod yang tersiar di televisyen sahaja! Mahu cari filem-filem terbaru di kedai-kedai? Jangan harap mahu jumpa!
Apa kaitan VHS tape dengan P. Ramlee?
Yalah. Budak-budak sekarang boleh mengenali P. Ramlee di televisyen dan koleksi CD. Dahulu kalau mahu tengok cerita P. Ramlee tersiar, amat jarang sekali kecuali pada hari-hari peringatan kepada seniman agung itu. Kalau ada pun, hanya filem-filem yang masyhur sahaja. Filem-filem lain yang kurang menyengat boleh dikatakan tidak tersiar langsung! Pada zaman aku pula, aku mengenali P. Ramlee hanya dari VHS tape yang direkod oleh ayah aku.
Antara banyak-banyak filem lakonan P. Ramlee, aku paling gemar tengok 'Seniman Bujang Lapok'. Cerita itu agak lawak bagi aku hatta waktu itu aku berumur 6 hingga 8 tahun. Aku akan mainkan VHS tape filem tersebut berulang-ulang kali tanpa rasa jemu. Filem 'Pendekar Bujang Lapok' pun begitu juga. Boleh dikatakan waktu kecil aku banyak masa lapang. Dengan masa lapang itulah aku boleh katakan sepanjang masa melayan VHS tape filem-filem P. Ramlee.
Pernah suatu hari oleh kerana acap kali 'Rewind', 'Stop', dan 'Play', tali VHS tape itu terputus. Bila terputus tali VHS tape itu akan terlekat di dalam VHS player. Ayah aku kerap kali juga membebel dan memarahi aku. Pernah juga ayah aku menyembunyikan remote control VHS player semata-mata tidak membenarkan aku 'Rewind', 'Stop', dan 'Play' mana-mana VHS tape cerita P. Ramlee.
"Cerita (VHS tape) kartun tak apa!" marah ayah aku.
Maka pernah juga beberapa kali ayah aku menyimpan VHS tape filem-filem P. Ramlee di dalam almarinya dan dikunci. Yang diletakkan di ruang tamu hanya cerita-cerita yang kurang 'menyengat' dan bosan bagi ayah aku. Ya. Ayah aku sangat sayangkan VHS tape cerita-cerita P. Ramlee. Minatnya menurun kepada anak-anaknya. Salah seorang adalah aku.
Waktu sekolah, aku pernah membuat satu folio lengkap Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee. Agak tebal. Boleh dikatakan folio aku antara tertebal berbanding dengan kawan-kawan sekelas yang lain. Punyalah minat.
Selepas kegemilangan pemain CD, kami sekeluarga seolah-olah 'meminggirkan' VHS tape tersebut. Hampir satu tahun VHS tape tersebut terbiar sebelum kami berpindah rumah. Sewaktu membuka almari hijau milik ayahku itu, aku dapati kesemua VHS tape itu sudah dijangkiti kulat. Ia berwarna putih. Biasanya kulat akan menyerang pada pita dan kawasan dalam tape. Sebenarnya kulat tersebut boleh dicuci dengan cecair alkohol, seperti pencuci CD sekarang. Namun, kulat yang menyerang agak terlalu kritikal.
Aku mengumpul VHS tape yang rosak di suatu sudut. Aku lihat ayah kelihatan sugul. Matanya merenung ke arah VHS tape tersebut. Agaknya kenangan-kenangan mula berputar di dalam benaknya, fikirku. Aku senyum dan bertanya adakah ayah mahu menyimpan lagi VHS tape tersebut? Ayah mahu membuangnya. Semua? Ya, semua! Duka dan kenangan ayah terubat setelah ayah menemui VCD filem-filem P. Ramlee dan hindustan klasik di pasaraya Mydin. Itu dia! Hampir ratusan ringgit dihabiskan untuk memborong VCD tersebut. Kekadang ada filem yang tertinggal. Itu kami berpakat adik beradik membelinya sekeping ada dua keping pada hari-hari lainnya. Seronok juga melayan VCD filem klasik. Gambarnya lebih cantik. Tiada gambar belang-belang di kaca televisyen yang boleh mengganggu tontonan kami lagi. Seronok!
Sayangnya, dalam bertahun selepas itu banyak koleksi tersebut hilang. Samada dicuri atau dipinjam orang. Ada juga beberapa keping yang rosak akibat calar balar. Bila difikirkan, ada keburukan juga CD ini.
Biasalah. Tahun makin meningkat, sifat ingin tahu manusia semakin meningkat juga. Era semakin baharu, teknologi juga semakin maju dan baharu juga. Terkini dan sentiasa up-to-date. VHS atau CD sebegini sudah ketinggalan jauh. Itu belum lagi 'piring hitam'. Terus terang cakap, aku sempat mendengar bunyi-bunyian yang keluar dari cerobong pemain piring hitam. Jika tidak silap, aku mendengarnya pada tahun 1991 meskipun pemain piring hitam susah dijumpai lagi pada tahun 90-an. Kebanyakkannya adalah koleksi khazanah peribadi. Dan.. ya. Muzik yang aku dengar dari cerobong piring hitam itu adalah nyanyian dari P. Ramlee!
Dapat hidup di zaman milennium 'titanium' ini sebenarnya dirasakan amat bertuah sekali. Walaupun lambakan sinetron dan drama yang ntah-apa-apa semakin menjadi-jadi di televisyen sekarang, terselit juga filem-filem Melayu agung di antaranya. Baguslah. Terkini, pihak Astro menayangkan beberapa filem-filem P. Ramlee yang dimuatkan di channel-channel mereka yang tertentu. Walaupun tidak semua filem P. Ramlee ada, namun memadailah.
Sekarang pun ramai blogger yang menulis fasal P. Ramlee, bukan? Bagus sangatlah. Sekurang-kurangnya melambang sedikit penghormatan kepada Allahyarham P. Ramlee. Hormat itu dibolehkan. Jangan sampai 'memuja' pula, okey?
Al-Fatihah kepada Allahyarham Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee atau nama sebenar beliau Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh.