Ini adalah satu pengalaman yang tidak dapat aku lupakan. Setiap kali aku mendengar sesiapa sahaja menyebut "one missed call", pasti peristiwa ini akan tergambar di dalam fikiran. Peristiwa ini berlaku ketika aku masih bergelar siswa junior di kolej.
Di kolej, aku mengenali satu bilik senior yang boleh aku katakan 'layan kepala'. Jika ada kelapangan, aku dan seorang rakanku, Johan, berkunjung ke bilik senior tersebut. Senior-senior yang ramah dan pandai buat lawak senantiasa membuatkan kami tidak kering gusi. Ada saja lawak dan celoteh dari mereka. Dengan yang demikian, kami mudah serasi dan berkawan walaupun waktu itu baru saja beberapa bulan kami di kolej.
Klik spoiler ini untuk meneruskan bacaan..
"Macam biasa la.. Depa (mereka) semua 'merendet' dengan marka (teman wanita) depa," kata Ery dalam loghat utara sambil ketawa kecil. Din hanya tersengih. Hairi pula merenungku. Mukanya kelat. Badannya yang gempal memeluk kemas gitar hitam coklat kesayangannya. Itulah hobi Hairi di masa kelapangan selain tidur.
"Apa cerita?" soal Johan kepada Ery. Lantas Johan duduk di birai katil bersebelahan dengan Ery. Aku yang sedari tadi hanya diam sepatah kata, duduk di lantai bersebelahan Hairi. Aku biasa dengan Hairi. Alasannya, hobi dan minat kami sama. Gitar.
"Takda apa lah.. Lagu (macam) ni la jejaka takda marka.. Duk berkurung ja dalam bilik main acara gentel t*l*q beramai-ramai," balas Ery lalu ketawa berdekah-dekah. Kami turut ketawa serentak.
"Hek eleh! Linda tu apa cerita? Kau juga asyik duk sebut-sebut Linda kau tu. Sikit-sikit Linda. Sikit-sikit Linda. Takde marka la konon," perli Johan sambil mengangkat tangan. Dia tersengih melihat reaksi Ery yang mata membulat. Aku menyeringai, lucu dengan reaksi Ery yang spontan itu.
"Hang (kau) ni.. Hingak (kecoh/bising) btoi la..!" kata Ery. "Linda tu lain cerita. Itu bukan marka. Itu..."
"Itu apa?"
"Haaa.. Dia la wife aku!"
"Cis! Berangan la kau!"
Ery tergelak besar sambil menekan-nekan perutnya yang terdedah kerana badannya tidak dibaluti baju.
"Dah dapat ke?" soal Johan lagi.
"Dapat? Dapat apa?"
"Linda la!"
Ery seakan tersentak. Spontan dia menggeleng-gelengkan kepalanya laju.
"Gila haaannggg..! Gadis bak bidadari.. bak artis.. bak puteri Arab tu.. mana nak ngan dengan akuuu.. Sapa la aku ni kan.. Dah la kuruih (kurus), hitam legam cam arang plak tuh! Tak ngam!" tegas Ery, malu-malu.
Ya, memang benar. Pada pandangan aku, Ery memang berkulit gelap. Kurus melidi dan tinggi pula. Dia berketurunan mamak. Berbulu lebat di dada dan lengan. Masakan wanita secantik Linda itu boleh menjadi pasangan kekasih kepada Ery? Hati aku ketawa sendirian. Memang jauh panggang dari api. Namun, kerja ini semua dari atas. Kehendak Allah s.w.t. Jika dikatakan jodoh, tidak ke mana-mana juga.
Aku mengenali Linda setelah ditunjukkan oleh Johan beberapa bulan yang laku ketika kami sama-sama berjalan kaki ke kuliah. Pertama kali aku memandang Linda, aku beristighfar dan mata tidak berkedip kerana terpegun. Memang. Memang Linda amat cantik. Wajah ayu sebujur sirih, kulit putih melepak, alis kening yang tebal dan lebat, hidung mancung, dan bibir yang munggil. Persis bidadari Arab! Patutlah Lina digilai oleh ramai lelaki senior, termasuk Ery. Mahu pula tatkala mendengar khabarnya Linda anak kacukan Melayu Pakistan.
"Kalau dah jodoh tak ke mana, Ery oi!" kata Johan mengejutkan aku dari lamunan.
"Memang," balas Ery ringkas sambil tersenyum lebar. Dia menyandar badannya pada katil. Dia mendongak ke atas dan merenung siling.
"Hah, teringat kat Linda la tu!"
Tiba-tiba Hairi menyampuk. Ery tersengih menyeringai bagai kerang busuk. Matanya masih lagi memandang siling, tidak berkedip.
"Ah sudaaahhh.. Start berangan la tu, kawan kita tu!" sampuk Din yang sedari tadi dia hanya memerhati dan memasang telinga. Ditangannya tidak lekang dengan telefon bimbit.
"Hoi, Mat Jenin! Jangan berangan la wei! Ingat kau sorang je ke yang admire kat Linda tu? Ni.. Aku ni.. selagi aku hidup, jangan kata memiliki, sentuh Linda pun kau takkan dapat tau?" bentak Hairi sambil mendabik-dabik dadanya.
"Eleh.. Linda tak suka sama hang la," kata Ery, sinis.
"Kenapa plak?" soal Hairi kembali.
"Sebab badan hang macam tong dram, tak pun macam Bluehyppo!" kata Ery sambil ketawa. Dia menghentak-hentak kakinya ke lantai sambil menekan-nekan perutnya. Satu balingan bantal terkena tepat pada muka Ery. Namun ia tidak menghenti Ery dari terus ketawa.
"Alaa.. at least aku ada phone number Linda! Kau ada ke?" gumam Hairi sambil mengangkat keninh beberapa kali.
"Hang ingat hang sekelas dengan dia, hang sorang ja ada nombor phone Linda? Piiirraaahhh! Aku pun ada laaa..!"
"Dahla wei! Korang bertekak pasal Linda tak guna la wei. Macam la korang dua ekor contact contact sama Linda." Tiba-tiba Din mencelah. Hairi dan Ery menoleh ke arah Din serentak. Din tersengih.
"Sapa cakap takda?" Ery menggertak.
"Ntah. Siapa cakap?" Hairi pula menyoal.
"Macam la hang tu contact sama Linda! Piiirraaahh!" tempik Ery seraya berdiri dan mengangkat tangan kirinya ke arah Din. Din tersengih. Aku dan Johan sedari tadi ketawa kecik melihat gelagat senior kami yang 'kepala tidak berapa betul' itu.
"Bila? Bila? Bila?" soal Din berkali-kali.
Terasa tercabar, Ery bergegas ke meja kecil di satu sudut bilik. Hairi pula menyerahkan gitarnya kepada aku dan gegas ke almarinya. Mereka berdua mencapai telefon bimbit mereka.
"Niii.. tengok ni..!" kata Ery sambil menunjukkan satu pesanan ringkas kepada Din. Hairi pun begitu juga.
Aku dan Johan merapat ke sebelah Din dan melihat pesanan ringkas di telefon bimbit mereka. Din dengan selamba menunjuk telefon bimbitnya. Di skrin terpampang satu nama yang mengejutkan kami.
"Linda!"
Din tersenyum bangga. Dia sengaja mengembang kempis hidungnya.
"Jadi.. hang dari tadi duk SMS dengan Linda la noo, Din?" tanya Ery sambil mencekak pinggang dan menjegilkan mata. Dia mendengus. Din hanya ketawa terbahak-bahak selepas mengiakan persoalan Ery tadi.
"Berani hang ekjas marka aku!" tempik Ery. Serentak dengan itu, Din 'dibelasah' oleh Ery dan Hairi. Din masih lagi ketawa kerana dia tahu belasah dari kawan-kawan sebiliknya itu hanyalah gurauan semata-mata.
Tiba-tiba telefon bimbit Ery, Din dan Hairi berbunyi dengan nada yang pendek secara serentak. Mereka berhenti. Masing-masing menatap telefon bimbit.
"Waaaahhh! Linda missed call aku nii..! Mesti Linda rindu kat aku ni! Confirm sangap ni!"
Din dan Hairi kelihatan terkejut. Mereka saling berpandangan. Din mengerutkan dahi. Hairi kehairanan, menggaru kepalanya yang tidak gatal.
"Awat (kenapa)?" soal Ery, bingung. Dia perasan akan perubahan kedua-dua oran rakan sebiliknya itu. Din dan Hairi terdiam seribu bahasg. Setelah berulang kali diajukan soalan yang sama oleh Ery dek kehairanan, Din membuka mulut.
"Errr.. Lin.. Linda pun.. miss.. missed call aku!"
Suara Din seperti tersekat-sekat di kerongkong. Kami terdiam serentak. Aku memandang ke arah Ery. Dia tersenyum. Mungkin dia tidak mempercayai kata-kata Din tadi.
"A.. Aku.. Aku pun!" kata Hairi pula memecahkan kesunyian.
"Hangpa tipu aku laaa..! Loqlaq la hangpa ni! Mana boleh Linda tu missed call kita tiga orang serentak! Gila? Hang nak menakutkan aku?" herdik Ery lantas dia duduk semula di lantai dan menyandar badannya yang melidi pada katil.
"Tidak, Ery. Betul ni!" tegas Din bersungguh.
"Ya, Ery! Betul! Tengok ni," kata Hairi pula sambil menghulurkan telefon bimbitnya.
Kami beramai-ramai duduk merapat. Kami perhatikan ketiga-tiga telefon bimbit yang berbeza. Aku tersentak. Jantung aku mula berdetak laju. Bulu roma berdiri tegak. Rasa meremang. Tengkuk rasa kembang semacam. Memang sah! Miss call dari Linda! Untuk kepastian, kami melihat nombor telefon yang tertera pada ketiga-tiga telefon bimbit tersebut. Sama! Nombor telefon Linda!
"Awat.. awat jadi lagu ni?!" Ery bersuara meninggi. Suaranya bergetar.
Kami saling berpandangan. Terpampang ketakutan di wajah masing-masing. Aku lihat tangan Din menggigil.
"Eh? Mana Johan?" tanya aku. Aku memandang sekeliling. Johan tiada di dalam bilik itu. Aku lihat pintu bilik luas terbuka. Johan sudah lari.
Keesokkannya, aku, Ery, Hairi, dan Johan pergi mencari Linda di kolej. Sebaik bersua, aku lihat Din ada bersama Linda di taman kolej. Tanpa membuang masa, Ery mengajukan seribu satu persoalan kepada Din dan Linda. Din hanya membatu dan membisu. Linda terpinga-pinga.
"Mana ada!" tegas Linda bersungguh. "Ya, memang Lin ada SMS dengan Din semalam. Tapi jujur ya Lin cakap. Lin tak miss call sesiapa pun semalam! Sumpah!"
Aku dan Ery berpandangan. Ery mula serba salah.
"Habis tu, awat nama hang naik pada handphone kami?"
"Mana la Lin tahu!" tegas Linda lagi. Kali ini Linda agak melenting.
"Baik. Lin ceritakn dari awal apa yang Lin buat semalam," kata Linda sambil menongkat dagunya. Linda menyambung kata-katanya, "Selepas Lin makan malam, Lin terus balik ke hostel. Sampai kat bilik, Lin capai homework dan handphone Lin. Lin berSMS dengan Din sambil buat homework sampailah homework Lin siap. Pastu, Lin baring atas katil. Lin SMS lagi dengan Din. Tapi tak lama sebab.. Lin terlelap!"
"Betul ke, Din?" soal Hairi pada Din.
Din mendongak dan matanya tertancap pada wajah tegas Hairi. Din mengiakan seraya mengangguk. Dia menunduk kemudiannya.
"Habis, 'Linda' mana yang buat 'one missed call' pada kami semua?"
Kami saling berpandangan. Mimik takut, hairan, dan gusar jelas terpamer di wajah masing-masing. Linda mulai tidak senang duduk kerana takut. Dia terus beredar beberapa minit kemudian.
Benakku masih memikirkan peristiwa semalam. Aku lihat di skrin telefon bimbit Ery, Hairi, dan Din. Ejaan nama Linda berbeza. Ery 'berbunga-bunga sedikit. Din mengeja 'Lin' sahaja. Manakala Hairi pula mengeja 'Linda'. Cuma yang pastinya, nombor Linda masih sama! 019-3******! Yang paling menyeramkan dan pelik, tarikh dan masa missed call dibuat adalah sama! Adalah menjadi suatu yang mustahil dan tidak munasabah bagi Linda membuat missed call kepada ketiga-tiga nombor yang berbeza serentak. Tambahan lagi, tempoh sela masa antara rekod terakhir mesej Linda dengan masa missed call adalah lebih 30 minit. Ini bermakna missed call dibuat semasa 30 minit Linda tertidur dan diulit mimpi!
Jika bukan Linda, siapa lagi yang berupaya membuat 'one missed call' pada malam itu?
Beberapa hari selepas kejadian itu, Ery, Hairi, dan Din nekad menukar nombor telefon bimbit mereka. Mereka juga tidak lagi menghubungi Linda. Johan pula begitu. Eh, apa kena mengena dengannya? Sebenarnya, Johan pun menaruh hati kepada gadis cantik idaman setiap lelaki itu. Dan malam itu juga, Johan mendapat ONE MISSED CALL dari Linda!