Yusof menggaru-garukan kepalanya yang hampir botak itu yang tidak gatal. Matanya direnung pada pancang-pancang tiang di tengah-tengah tasik itu. Misainya yang lebat pula kemudiannya diurut-urut. Jauh disudut benak dan zahirnya berkampung seribu satu persoalan yang memeningkan kepala. Teka teki asyik bersipongang di dadanya. Apakah salah dan silap yang menggoyahkan ilmunya dalam bidang yang diceburi selama ini? Apakah kurangnya teknik yang menakjubkan yang lahir dari diri yang kerdil itu selama ini? Masakan kerja yang mudah itu terlalu silap buatnya. Ah, tidak mungkin. Walaupun aku hanya lepasan SRP, namun aku berilmu dalam bidang aku. Itulah bisik hatinya saban hari.
"Bagaimana ni Encik Yusof? Kita silap tang mana?" kata Ziman kepada Yusof. Mukanya yang sudah dimamah usia seabad itu dikerutnya. Persoalan yang diajukan oleh Ziman membuatkan dia betul-betul rasa tercabar.
"Hari ini hari yang ke berapa?" soal Yusof.
Klik spoiler ini untuk meneruskan bacaan..
PERHATIAN! Aktiviti PLAGIAT (copy & paste) sesuatu artikel tanpa pengetahuan dan kebenaran penulis adalah satu aktiviti/perbuatan yang TIDAK BERMORAL!
Yusof menunduk dan merenung ke tanah. Dadanya berombak perlahan. Dia cuba menenangkan dirinya. Hatta fikirannya masih berteka teki, masih berkira-kira, masih mencongak-congak. Masakan rancangan projeknya itu menemui kesilapan? Dicapainya selembar kertas di atas bonet Pajeronya. Kemudian topi keselamatan disambarnya. Dia melangkah laju ke bibir tasik. Dia merenung pada pacang-pacang tiang satu persatu. Dia membuka lembaran kertas itu.
"Berapa pancang tiang yang bengkok?" soal Yusof tiba-tiba. Dia mengerling ke arah Ziman yang sedia berdiri disampingnya sedari tadi. Ziman mengesat keringat yang memercik di dahi. Dia menghembus nafasnya ke dada. Panas terik kian membahang pada tengahari itu.
"5 batang, encik!" jawab Ziman. Yusof mengangguk.
"Kita tak boleh berlengah, Ziman. Projek ini perlu siap segera. Kalau asyik bertangguh, kita rugi!" kata Yusof tegas. Dia berpaling dan berjalan ke arah Pajeronya. Ziman membontoti Yusof.
"Tapi, encik.. macam mana?" soal Ziman terpinga-pinga.
"Kau upahlah siapa-siapa yang arif dalam hal macam ni. Panggil bomoh. Panggil ustaz. Panggil imam. Panggil bilal. Panggillah sesiapa saja yang kau mahu."
"Imam? Bilal?"
"Ya! Sesiapa saja yang mahir!"
Yusof menghidupkan jentera Pajero. Dia mengerling sekejap ke arah pekerjanya di sekitar tasik. Kemudian pandangan dialihkan pula ke arah jentera berat yang sedang menaikkan tiang tinggi baik di atas tasik itu. Ziman membuka pintu Pajero di sebelah pemandu. Dia duduk lalu menanggalkan topi keselamatannya.
"Aku rasa tempat ini ada sesuatu tak kena," bisik Yusof. Ziman terdiam. Dia merenung wajah Yusof yang berkedut itu.
Pagi itu seperti hari-hari paginya yang lain. Biasa dan seperti biasa. Kelihatan kelibat lelaki tua separuh abad berpakaian serba putih dan berkopiah sedang duduk di alas tikar yang terbentang di atas tanah. Di sebelahnya, Yusof dan beberapa lagi orang pekerja Yusof, termasuk Ziman. Mereka turut duduk. Waktu itu, aktiviti projek dihentikan secara mengejut oleh Yusof. Semua kerana lelaki tua itu. Semua kerana upacara itu.
Mulut lelaki tua itu terkumat kamit membaca jampi serapah. Sekejap dia menunduk, dan kemudian mndongak pula ke langit. Badannya bergetar seperti berzikir. Ziman yang duduk di belakang lelaki tua itu sesekali memandang dengan penuh perasaan hairan dan taksub. Ini sudah masuk hampir 1 jam lelaki tua berkopiah itu begitu.
"Boleh percaya ke ustaz yang kau bawa ni, Ziman?" soal Yusof separuh berbisik kepada Ziman yang berada di sebelahnya. Ziman menoleh.
"Kata orang kampung, Ustaz Zul ni memang handal!" jawab Ziman, berbisik.
"Harap-haraplah," ujar Yusof sambil mengangguk.
Tidak lama kemudian, lelaki tua berkopiah bernama Ustaz Zul itu menunduk. Badannya tidak lagi bergetar. Lantas dia berpaling ke belakang dan memandang wajah seorang demi seorang yang ada di situ. Dia mengukir senyum ke arah Yusof seraya bangkit berdiri.
"Yusof ya?" soal Ustaz Zul. Di tenungnya wajah Yusof.
"Eh, ya. Saya," jawab Yusof lalu berjalan merapati Ustaz Zul. Mereka berdua berjalan menjauh dari mereka yang lain. Ziman melihat mereka berdua berbisik sesuatu.
"Saya rasa jambatan ini tak sesuai didirikan merentasi tasik ini, Encik Yusof," ujar Ustaz Zul. Yusof terkejut.
"Kenapa, ustaz? Ada yang tidak kena ke?" soal Yusof kembali. Ia berbalas dengan anggukan perlahan Ustaz Zul. Terlintas seribu persoalan dibenak Yusof.
"Tempat ini keras, Encik Yusof. Kebetulan pula jambatan yang kamu ini bina ini sehaluan dengan laluan makhluk halus yang tinggal di sini."
"Makanya?" Suara Yusof tiba-tiba meninggi.
"Batalkan saja." Kata-kata Ustaz Zul menaikkan darah Yusof. Masakan dihentikan projek itu. Berapa banyak kerugian yang bakal ditanggung Yusof jika projek itu dihentikan. Tidak. Sesekali tidak!
"Halau mereka itu, ustaz! Sekat mereka supaya tidak mengganggu projek saya ini lagi. Rugi saya kalu hentikan!" bentak Yusof. "Ustaz cuba tengok. Berapa banyak pancang tiang mereka alihkan dan bengkokkan? Rugi saya, rugi!"
"Sabar, Encik Yusof. Ini 'kampung' mereka. Bukan kita!" tegas Ustaz Zul.
"Tidak! Saya tetap enggan. Saya mahu teruskan projek ini!"
Ustaz Zul menunduk lalu melemparkan pandangan ke arah tasik itu. Jelas kelihatan pancang-pancang tiang yang terpacak di tengah-tengah tasik itu. Lurus dari hulu kemudian membengkok di tengah-tengah dan kemudian lurus kembali di sebelah hilirnya. Pancang-pancang tiang di tengahnya pula ada yang membengkok dan ada yang patah. Adalah mustahil bagi sesiapa untuk membengkokkan tiang yang berdiameter 2 kaki itu. Masakan manusia? Siapa yang mahu khianat pula? Dengki? Mustahil sungguh!
"Macam inilah, Encik Yusof," kata Ustaz Zul. Yusof berpaling menatap wajah lelaki tua berkopiah itu.
"Projek ini boleh diteruskan, namun jambatan merentasi tasik ini perlu diubah bentuknya," ujar Ustaz Zul lagi.
"Ubah bentuk? Maksud ustaz?" soal Yusof seakan tidak mengerti.
"Jambatan ini bukan lurus. Sebaliknya membengkok sedikit ke arah barat kemudian berakhir ke arah sana," kata Ustaz Zul seraya diacungkan jari telunjuknya ke arah hutan tebal. Jantung Yusof tiba-tiba berdegup kencang. Dia berdebar.
"Tapi.."
"Tapi apa, ustaz?"
"Berwaspadalah. Seperti yang saya cakap sebelum ini, tempat ini keras. Ada penghuni yang tidak suka akan projek ini," kata Ustaz Zul tegas. Yusof hanya mengangguk perlahan. Pandangannya dilemparkan ke arah hutan yang ditunjukkan oleh Ustaz Zul tadi.
Puan Mazidah memandang aku dengan pandangan serius. Dia mencapai remote control penghawa dingin yang ada di atas mejanya. Lantas dia menutup penghawa dingin. Sejuk sangat, katanya. Ya, memang sejuk. Dibuatnya pula mendengar cerita yang tidak menyenangkan darinya.
"Kenapa dengan hutan tu, puan?" soalku. Puan Mazidah mengeluh seketika.
"Sebelum projek jambatan kat tasik tu siap, kontraktor tu pernah nampak sesuatu kat situ.." kata Puan Mazidah tanpa menghabiskan ayatnya.
"Sesuatu? Apa dia?" soalku beria.
"Tak pasti. Katanya macam kelibat perempuan tua. Entah siapa."
"Perempuan tua? Ada mirip makcik cleaner yang saya jumpa tu tak?"
"Entahlah. Mungkin juga."
"Kemudian?"
"Jambatan itu siap sepatutnya dua atau 3 bulan saja. Itu jika ikut jadualnya. Tapi disebabkan tiang asyik bengkok, laluan jambatan asyik saja beralih, projek tu siap setelah hampir enam bulan. Dengar khabarnya, kontraktor tu rugi banyak juga. Kasihan."
Aku mengangguk perlahan.
"Jadi apa kena mengena dengan jambatan dan kawasan tasik tu, puan?"
"Ada kena mengena," jawab Puan Mazidah ringkas. Mukanya kembali serius dan hambar.
Bersambung...