Ads: (Please Click!)

Friday, June 03, 2011

Kenangan Di Hari Guru


Berdasarkan kisah benar.

Seorang budak kecil datang kepadaku sambil menghulurkan sesuatu kepadaku. Tingkahnya yang comel dan lirik senyumnya begitu mempersonakan. Terang anak mata yang memutih seakan memberitahuku bahawa perbuatannya itu lahir dari hati yang kudus dan ikhlas. Walaupun sebenarnya aku bukanlah pawang. Aku bukanlah penafsir. Yang bisa membaca pemikiran sesiapa termasuklah budak kecil yang berdiri di hadapanku kini.

READ MORE / LESS >>

Kebelakang, aku agak terkesima tatkala budak kecil itu datang kepadaku. Suasana masih gelap. Hanya ruangan bilik itu diterangi dengan lampu kalimantang. Ia memutih menerangi bilik lantas menyuluh susunan buku-buku yang menimbun di hadapanku. Satu persatu buku itu aku selak dan teliti. Sesekali kaca mataku yang menggelongsor dari batang hidung, aku perbetulkan. Tatkala itu, budak kecil itulah berdiri tidak jauh dari mejaku.

Aku memandangnya dari bawah ke atas. Dari kasutnya hingga ke rambutnya. Pakaiannya kusut dan terdapat kekotoran di sana sini. Namun, semua itu tenggelam dengan senyumannya yang comel. Tangannya ke belakang seakan menyembunyikan sesuatu.

"Eh, awalnya kamu datang ke sekolah hari ni, Iqbal?" tegurku. Pandanganku masih tidak lekang dari melihat tepat ke arah anak matanya. Budak kecil tadi tersengih.

"Saya nak datang lebih awal dari Muhaimin. Saya tak nak Muhaimin mendahului saya," jawabnya.

"Eh? Kenapa pula?"

Berlegar wajah Muhaimin di mataku. Ya. Selalunya setiap hari Muhaimin yang berbadan gemuk itulah yang paling awal hadir ke kelas. Tetapi kenapa kali ini Iqbal pula yang awal? Malah terlalu awal. Jam ditanganku pun masih menunjukkan pukul 6 pagi! Iqbal masih tersengih-sengih seperti kerang busuk. Aku masih tidak mengerti.

"Saya tak mahu Muhaimin atau orang lain mendahului saya, cikgu. Saya nak saya orang pertama dan awal datang ke sekolah," kata Iqbal.

Aku masih terkesima. Hairan. Kenapa pula? Pelik benar gelagat budak Iqbal 'ni, fikirku.

"Saya nak bagi ni sempena Hari Guru. Selamat Hari Guru, cikgu."

Kata-kata Iqbal membuat aku tersentak. Ya, benar! Aku betul-betul terlupa. Aku menarik nafas panjang seraya menggelengkan kepala beberapa kali.

Melihat tingkahku, Iqbal menghulurkan satu bungkusan yang cantik kepadaku. Sederhana besar saiznya. Aku mengambilnya seraya mengucapkan terima kasih. Rasa terharu menerjah jiwa sanubariku. Kotak itu yang dibaluti dengan kertas balutan hadiah berwarna merah putih, ku capai. Terdapat lukisan berbentuk hati di tengah-tengahnya. Besar. Aku memuji-muji hadiah yng diberi oleh Iqbal.

"Bukalah, cikgu," pinta Iqbal.

Aku hanya membalasnya dengan ukiran senyum. Aku membuka hadiah tersebut dengan perlahan. Bila habis balutan hadiah ku buka, aku terperanjat.

"Cikgu suka tak?" soal Iqbal, sambil menyeringai sengih.

Aku tidak segera menjawab. Hanya merenung ke arah hadiah yang ku pegang.

"Banyak duit kamu beli hadiah ni? Ayah kamu bagi duit?" soalku.

"Tak, cikgu. Ayah saya tak ada duit."

"Jadi, dari mana kamu dapat duit?"

Iqbal menundukkan kepala lalu ceritakannya satu persatu.

"Cikgu. Saya sayang cikgu," katanya di pengakhiran cerita.

Seperti ada seketul batu menghimpit perasaan dan emosiku, aku melurut-lurutkan dada dengan tangan. Jiwaku tersentuh dengan kata-kata budak kecil di hadapanku ini. Aku rasakan pipiku membasah. Raut wajah Iqbal yang manis memaksa aku untuk mengukir senyum sedangka di dalam hati diterjah seribu kesayuan. Terdorong dengan perasaan itu, aku memeluk budak kecil di hadapanku itu. Kusut dan bau hamis budak itu tidak lagi aku hiraukan.

* * * * * * * * * *

"Hey, Cikgu Reen! Apa yang kau tilik-tilik tu?" tegur Cikgu Adah, rakan sejawatku.

Tegurnya membuat ku tersentak. Aku melepaskan keluh dengan agak berat. Cikgu Adah kulihat masih mengangkat-angkat kepalanya.

"Hadiah ni," kataku sambil menunjukkan sebiji mug berwarna kuning kepada Cikgu Adah.

"Wah! Baju kurung?" soal Cikgu Adah.

Aku mengangguk perlahan. Cikgu Adah hanya ketawa kecil.

"Siapa yang bagi?"

"Iqbal. Murid kelas aku," kataku ringkas.

"Iqbal? Budak selekeh lagi nakal yang kau cerita tu ke? Budak kelas kau?"

Aku menganggukkan kepala.

"Eh, banyak duit dia?"

Aku terdiam. Ya, dahulunya Iqbal memang budak yang sangat nakal. Dengan didikan aku, lama kelamaan dia jadi baik. Sesekala sahaja dia nakal namun tidaklah seteruk dahulu. Iqbal memang selekeh. Pakaian sekolahnya tidak pernah dibasuh selama penggal baru sekolah dibuka.

Aku letakkan kembali baju kurung berwarna ungu dan berbunga putih kuning itu di atas mejaku. Bersama ia, terdapat beberapa lagi bungkusan-bungkusan dengan saiz yang pelbagai terdapat di atas mejaku. Itulah hadiah Hari Guru yang aku terima sedari pagi tadi daripada murid-murid kelasku. Namun hanya hadiah dari Iqbal satu-satunya hadiah yang kubuka setakat ini.

Aku memandang wajah Cikgu Adah lama. Kemudian aku menceritakan perihal Iqbal dari mula aku mengajarnya di kelasku sehingga kejadian pagi tadi. Aku lihat Cikgu Adah mula mengalirkan air mata. Disekanya perlahan dengan hujung kain lengannya. Tanpa sebarang patah kata, Cikgu Adah mengambil timbunan buku di atas mejanya lalu meminta izin untuk keluar mengajar.

Aku mencapai beg sandangku yang kuletakkan di bawah meja. Lalu aku capai diariku. Dengan perlahan aku membelek mukasurat bertarikh hari ini. Dengan bacaan basmallah, aku menulis dengan tenang.

"Aku ada seorang murid. Nama dia Iqbal. Dia budak miskin. Selama dia ke sekolah, dia tidak pernah bawa duit. Kerana kasihan, setiap hari aku bagi dia duit untuk makan. Hari ini, dia bagi aku baju kurung yang sangat cantik. Sangkaanku, mungkin hampir mencecah RM100 atau lebih. Hadiah sempena Hari Guru untukku. Aku tanya dari mana dia dapat duit? Dia cakap dia guna duit aku yang aku beri untuk membeli makanan tengahari. Ujarnya dia simpan duit yang aku kasi tiap-tiap hari tu untuk beli pembalut hadiah, baju kurung, bunga plastik, dan kotak. Dia tak guna langsung pun duit yang aku kasi tu. Sungguh murni hati budi budak itu walaupun dia miskin. Perbuatan Iqbal membuka hatiku untuk terus berjasa, mendidik, dan membentuk jati dirinya supaya cemerlang di dalam pelajaran. Ya Allah, berikanlah aku kekuatan untuk tidak menghampakan ibubapa dan Iqbal sendiri!"


PERHATIAN! Aktiviti PLAGIAT (copy & paste) sesuatu artikel tanpa pengetahuan dan kebenaran penulis adalah satu aktiviti/perbuatan yang TIDAK BERMORAL!

Ads: (Please Click!)
Comments
1 Comments


1 Orang Kentut Madu:

Anonymous said... [Reply]

best cerita ni

Post a Comment

Ruang komen telah di-set sebagai 'dofollow'. Sila tinggalkan URL blog anda dengan cara yang bijak. Baca DI SINI untuk mempelajari SEO mengenai 'dofollow' link.

Kepada ANONYMOUS, sila tinggalkan link dengan cara yang bermoral sedikit.

Terima kasih kerana sudi membaca artikel ini dan menurunkan komen anda.

 

Blog Aduka Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger