Ucapkan selamat tinggal kepada Picasa dan Blogger (blogspot)! Ops! Nanti dulu. Adakah ini perkhabaran angin lagi? Mungkinkah ini hanya artikel yang hanya berniat mahu mencari trafik dan populariti? Oh, tidak tidak. Ini adalah artikel yang telah dipetik dari 'newsletter' yang telah diterbitkan dan boleh dipercayai pada awal pagi tadi.
READ MORE / LESS >>
Walau bagaimanapun, Blogger dan Picasa tidak dibiarkan atau pupus begitu sahaja. Dua produk ini adalah antara produk Google yang sangat popular. Sebaliknya, Google merancang untuk menamakan semula Picasa kepada "Google Photos" dan Blogger kepada "Google Blogs"! Produk Google masyhur yang lain contohnya YouTube dikatakan tidak akan dijenamakan semula. Mujurlah. Cuma pada bulan May yang lalu, Google telah menutup service video terbesarnya iaitu Google Video.
Tindakan penjenamaan semula ini bukanlah pertama kali dibuat oleh Google. Malah sebelum ini, JotSpot yang dimiliki oleh Google pada tahun 2006 juga pernah mengalami penjenamaan semula kepada Google Sites pada tahun 2008. Pada tahun 2007 pula, Google telah memiliki VoIP platform GrandCentral dan dijenamakan semula kepada Google Voice pada tahun 2009.
Picasa dan Blogger juga telah diambil alih oleh Google, walaupun kedua-dua syarikat ini menjadi sebahagian laman servis yang masyhur sebelumnya. Picasa diambil alih oleh Google pada tahun 2004, dan Blogger pula pada tahun 2003. Walaupun penjenamaan semula ini bakal mengecewakan pelanggan dan pengguna mereka yang sedia ada, ia memberikan Google keupayaan untuk mengintegrasikan kedua-dua perkhidmatan ini ke Google+. Kekecewaan pengguna sebelumnya dijangkakan akan terubat dengan lahirnya Google+ kelak.
Menurut sumber, peralihan atau proses penjenamaan semula ini bakal terjadi pada maksimum dua bulan dari sekarang. Ia dikatakan berserentak dengan pelancaran secara umum Google+ nanti. Saya menjangkakan ia mungkin dilancarkan sebelum atau pada awal bulan September 2011.
Oleh itu, perkhabaran bahawa Blogger dan Picasa akan diberhentikan perkhidmatan (ditutup) mungkin tidak akan berlaku. Malah, ia adalah sesuatu yang mustahil memandangkan dua produk Google ini adalah produk terbesar Google yang memiliki lebih jutaan pengguna di dunia.