Ads: (Please Click!)

Wednesday, December 16, 2009

Bersenamlah



Nama saya Zulkifli. Saya seorang pesara guru. Saya dikenali dengan panggilan Aboh (Abah) atau Cikgu Zul. Umur 57 tahun. Melihat kepada wajah, ramai yang tidak menyangka saya sebenarnya seorang 'lelaki pencen'. Saya sudah tua. Tapi sesiapa yang mengenali saya, pasti sudah sedia maklum akan umur sebenar saya, termasuk guru-guru, bekas guru, pegawai dalam kementerian pendidikan, bekas murid, dan kakitangan sekolah yang pernah saya bekerja suatu ketika dahulu. Tetapi tidak kepada yang baru mengenali saya. Ramai yang menyangka saya dalam lingkungan 40-an saja. Kenapa? Saya ada rahsianya.

Ini bukan cerita karut mahupun cerita rekaan. Cerita ini juga bukan berbentuk iklan, mengajak orang ramai membeli sesuatu produk. Tidak perlu produk. Cerita ini adalah dari pengalaman saya sendiri. Semoga cerita saya ini sedikit sebanyak memberi pandangan luas dan fikiran yang membuka kepada anda.

Klik sini untuk teruskan bacaan..

Sewaktu di sekolah dahulu, saya pernah menjadi guru sukan. Saya mengajar anak murid di bawah jagaan saya mengenai sukan. Sehingga pencen pun saya tidak tinggalkan untuk bersukan, termasuk senaman. Namun pada usia saya kini, saya sudah kurang bersukan. Namun aktiviti bersenam di pagi hari tetap wajib dalam diri saya.

Pada suatu hari iaitu beberapa tahun sebelum saya bersara, terjadi kejadian yang agak melucukan. Disebalik kejadian itu juga sebenarnya terselit ilmu dan contoh tauladan untuk saya, dan juga sesiapa yang mendengar cerita saya. Sewaktu itu saya ke bandar keseorangan, tanpa bertemankan isteri, atas urusan peribadi. Saya pun lupa apakah urusan tersebut. Saya berjalan menyusuri kaki lima di sebuah bank di bandar Chukai, Kemaman. Sewaktu saya berjalan, saya mendengar jeritan kuat tidak jauh dari situ. Saya dapat pastikan suara itu adalah suara seorang wanita. Saya berhenti melangkah. Saya lihat ada seorang lelaki berlari dari arah bertentangan dengan saya. Dia lari lurus menapak di atas jalan raya yang agak lengang.

"Tolong! Beg saya! Beg saya!" jerit seorang remaja perempuan sambil melambai-lambaikan tangan. Dia seakan memanggil sang peragut untuk memulangkan kembali beg sandangnya. Kadang-kadang bila kita fikir, lucu juga. Mungkin tabiat orang kita. Lebih tepat lagi orang wanita kita. Bila 'dirampas' sesuatu dari genggaman atau diragut oleh seseorang, secara spontan tangan mereka akan melambai. Entah melambai kepada siapa. Panggil beg itu agaknya.

Kebetulan peragut itu berlari bertentangan arah dengan saya yang sedang melintas jalan untuk ke lot bangunan di seberang. Entah apa nasib saya, pada waktu itu tiada seorang pun yang melihat atau cuba untuk masuk campur. Saya seorang diri pada waktu itu. Saya beranikan diri bersetentang muka dengan peragut. Namun peragut itu licik benar. Bila hampir dengan saya dalam beberapa meter, dia cuba mengelak dan terus melarikan diri. Saya lihat dia memeluk erat beg warna hitam milik remaja wanita yang menjerit tadi. Dengan tenaga yang ada, saya mengejar. Sampai di suatu simpang, dia berhenti kerana keadaan sesak dengan kenderaan. Peragut itu memalingkan badan dan melihat saya berlari dan menghampiri. Saya agak ranjat bila peragut itu membuka langkah silat!

"Ah, sudah," bisik saya. Saya cuba menapak perlahan untuk menghampirinya. Tetapi saya lagi sekali agak terperanjat bila satu jurus tumbukan laju hampir mengenai muka saya. Saya melangkah undur beberapa tapak. Saya perhatikan peragut itu membuka jurus silatnya lagi. Tetapi agak berterabur. Malang bagi saya, saya tidak tahu bersilat!

"Jangen rapat'in! Kalo berani masukk! Masuukkk!!!" jerit peragut itu kuat. Dari jeritannya saya dapat mengagak bahawa lelaki peragut itu adalah Mat Indon atau lebih tepat lelaki pendatang dari Indonesia. Saya tidak endah. Saya cuba rapat dan merampas beg dari genggaman lelaki peragut itu. Zus! Zus! Beberapa jurus sepak terajang diberikan kepada saya. Tapi saya dapat elak dengan jayanya. Angin hayunan kaki menyapu lembut muka saya. Kami berdua bertarung agak sengit. Saya tidak mampu berbuat apa-apa kecuali elak dan terus mengelak. Langsung tiada peluang untuk menyerang balas. Agak hebat juga jurus peragut itu. Setelah 30 minit bertarung, lelaki peragut itu berhenti dan nafasnya naik turun laju. Dia semput.

"Ini tidak boleh jadi. Aku mesti tewaskan dia," bisik saya. "Serahkan beg. Kalau tidak, kau menyesal," ugut saya kepada peragut itu. Ternyata peragut itu berdegil. Sudah namanya penjenayah. Mereka tidak akan mengaku kalah. Langsung peragut itu memberi satu tendangan laju ke arah muka kiri saya. Saya dapat membaca langkahnya. Saya membuat satu aksi akrobatik. Saya kangkangkan kaki. Saya lentur badan saya kebelakang. Tangan saya menapak ke tanah. Zusss! Saya menendang laju ke arah 'anu'nya. Thuddd!! Lelaki tadi tumbang dan menggelepar sambil memegang 'anu'nya.

Sewaktu itu barulah saya dapat mencapai beg sandang bewarna hitam. Ketika itu juga, datang ramai orang mengelilingi saya. Ada yang menepuk bahu dan bertanya, "Pakcik tak apa-apa?" "Pakcik okay?" Alhamdulillah saya okay. Jawab saya dengan nada selamba. Mulut peragut itu berbuih menahan kesakitan. Saya terus meminta salah seorang lelaki untuk menghantar peragut itu ke balai polis. Tetapi lelaki itu seakan panik. Tidak tahu berbuat apa-apa bila melihat mulut peragut berbuih dan badan menggeletar. Dia sarankan untuk dihantar ke hospital terlebih dahulu. Datang seorang lelaki tua dan menahan lelaki itu dari mengangkat peragut. "Biarkan. Biar saya buat," katanya.

Saya lihat lelaki tua itu memegang sesuatu di celah kangkang peragut. Saya membongkokkan badan dan mengendap dekat. Lelaki tua itu memegang buah 'anu' si peragut. Lalu ditariknya. Tup! Seraya itu, lelaki peragut itu bangun dan agak terpinga-pinga. Selepas sedar, peragut itu dibawa ke balai polis. Berkampunglah si peragut dilokap selama seminggu.

Keesokkan harinya, kecoh satu sekolah tempat saya bekerja. Rasa bangga pun ada. Malu pun ada. Bila masuk ke kelas, ramai anak murid saya bertanyakan saya tentang kejadian tersebut. Saya bercerita kepada mereka. Berderai hilai ketawa kerana lucu mendengar cerita saya.

Pernah suatu petang, ada cikgu-cikgu bertanyakan kepada saya. Bagaimana saya boleh melenturkan badan seperti akrobatik? Dengan tenang dan kuntum senyum dibibir, saya menjawab, "Bersenam dengan tali. Skipping!" Saya menegaskan bahawa saya boleh buat pelbagai gaya dengan tali skipping. Sambil duduk. Berdiri. Malah dengan bangkit tubi pun. Ramai cikgu yang teruja. Saya juga mengesyorkan mereka agar terus bersenam kerana senaman itu amat penting terutama kepada mereka-mereka yang sudah lanjut usia.

Jadi secara kesimpulan dari cerita saya, bersenamlah! Bersenam itu penting. Mana tahu besar kemungkinan perkara seperti ini berlaku juga kepada kita. Malang tidak berbau, bukan?
Seperti yang diceritakan sendiri oleh Cikgu Zul atau Aboh kepada penulis. Kini Aboh tidak lagi mendidik anak murid. Aboh kini aktif sebagai aktivis sosial, seperti membantu ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim, dan fakir miskin. Berkat aktiviti sosialnya, beliau kini masih sihat seperti kebanyakan lelaki yang berumur lingkungan 30 hingga 40-an. Walhal umur Aboh dengan ayah penulis tidak jauh beza. Tetapi ayah penulis tidaklah seaktif Aboh. Jadi, marilah kita bersenam untuk kesejahteraan dan kesihatan tubuh badan kita. =)


PERHATIAN! Aktiviti PLAGIAT (copy & paste) sesuatu artikel tanpa pengetahuan dan kebenaran penulis adalah satu aktiviti/perbuatan yang TIDAK BERMORAL!

Ads: (Please Click!)
Comments
4 Comments


4 Orang Kentut Madu:

Cikgu Ije said... [Reply]

senaman memang bagus. rajin malas je beza dia.

suliza said... [Reply]

nie bukan nk comment psl senam tuu...nk wish epy burfday to u,abg latip...semoga pjg umo n murah rezeki..amin

GadisKasutConverse said... [Reply]

lama gler x bersenam btl2...ngee~

Unknown said... [Reply]

bersenam dan teruslah bersenamm :)

Post a Comment

Ruang komen telah di-set sebagai 'dofollow'. Sila tinggalkan URL blog anda dengan cara yang bijak. Baca DI SINI untuk mempelajari SEO mengenai 'dofollow' link.

Kepada ANONYMOUS, sila tinggalkan link dengan cara yang bermoral sedikit.

Terima kasih kerana sudi membaca artikel ini dan menurunkan komen anda.

 

Blog Aduka Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger